Lelaki fitnah tok batin 'simpan' Jaslinda direman empat hari - Utusan Malaysia

Lelaki fitnah tok batin ‘simpan’ Jaslinda direman empat hari

MOHD. Alwi Zainal Abidin (tengah) menyaksikan serah terima tugas jawatan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersil antara Asisten Komisioner Mohd. Fahmi Visuvanathan Abdullah (kiri) dan Superintenden Mohd. Ridzuan Nor Ihsan di Mes Pegawai Kanan Perak di Ipoh hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH: Lelaki yang ditahan semalam kerana dipercayai memfitnah Tok Batin Kampung Lubuk Gaharu, Mohd. Asmadi Abdullah, 63, berhubung penemuan pendaki, Jaslinda Saludin, 49, direman empat hari bermula hari ini untuk siasatan.

Ketua Polis Perak, Datuk Mohd. Alwi Zainal Abidin berkata, siasatan terhadap lelaki itu dijalankan mengikut Seksyen 500 Kanun Keseksaan, Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 serta Seksyen 14 Akta Kesalahan-kesalahan Kecil 1955.

“Setakat ini, polis telah merakam keterangan lapan individu termasuk Jaslinda dan tok batin. Suspek telah ditahan semalam dan kini direman selama empat hari untuk siasatan lanjut,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas Majlis Serah Terima Tugas Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersil Perak di Mes Pegawai Kanan Perak, di sini hari ini.

Dalam perkembangan sama, beliau berkata, polis turut merakam keterangan 28 individu yang menyertai pendakian bersama Jaslinda pada 23 Mei lalu bagi membantu siasatan.

Katanya, kertas siasatan yang dibuka di bawah kategori Orang Hilang (OH) masih diteruskan dan siasatan lanjut sedang dijalankan bagi melengkapkan proses siasatan.

“Semua yang berkaitan dengan kes ini telah diambil kenyataan termasuk Jaslinda sendiri,” katanya.

Sementara itu, Mohd. Alwi turut menasihatkan orang ramai agar lebih berhati-hati dalam menyebarkan sebarang maklumat di media sosial.

Beliau berkata, setiap kenyataan atau maklumat yang ingin dikongsi, perlu dipastikan kesahihannya terlebih dahulu.

“Kalau tidak sahih, jangan siarkan kerana ia boleh mendatangkan fitnah kepada mangsa. Kita minta semua masyarakat mengelakkan perkara seperti itu,” katanya.

Terdahulu, tular di media sosial TikTok dakwaan seorang lelaki kononnya Mohd. Asmadi ‘menyimpan’ Jaslinda sepanjang tempoh kehilangan wanita itu sebelum dia ditemukan penduduk Orang Asli di Kampung Lubuk Gaharu, Pos Musoh.

Dakwaan tidak berasas itu mendorong kira-kira 50 tok batin dan wakil masyarakat Orang Asli dari daerah Batang Padang, Muallim dan Kinta membuat laporan polis pada Selasa lalu bagi membantah fitnah yang tular terhadap Mohd. Asmadi.

Jaslinda yang hilang sejak 23 Mei lalu ketika menyertai aktiviti pendakian Trans Spencer Capman di Gunung Batu Putih ditemui dalam keadaan selamat oleh penduduk Orang Asli pada 6 Jun lalu.

Dia dilihat berjalan seorang diri dalam keadaan lemah menyeberangi jambatan berhampiran sungai di Kampung Lubuk Gaharu sebelum dibawa ke rumah Mohd. Asmadi untuk diberi bantuan awal. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN