KUALA LUMPUR: Kumpulan Alpha menutup konsert sulung mereka, The First Wave, dengan detik paling bermakna apabila diumumkan sebagai pemenang bagi kategori Artis Baru Terbaik pada Anugerah Industri Muzik ke-25 (AIM25), malam tadi, di ZEPP Kuala Lumpur.
Kejayaan yang diumumkan di hadapan ribuan peminat itu mencetuskan suasana penuh emosi apabila tujuh anggota kumpulan berkenaan berkongsi rasa syukur di atas pentas sejurus menerima pengiktirafan tersebut.
Mewakili Alpha, Ariel Fesol, berkata, kemenangan itu bukan sekadar milik mereka tetapi menjadi hadiah buat peminat, Alphanites, yang setia mengiringi perjalanan kumpulan berkenaan sejak awal pembabitan dalam industri.
“Alhamdulillah, kami menang. Saya mahu ucapkan ribuan terima kasih kepada AIM25 kerana memberikan Alpha peluang untuk berada dalam industri muzik. Pengiktirafan ini sangat bermakna buat kami dan menjadi semangat untuk terus melangkah lebih jauh.
“Ini tujuh jiwa bersatu. Tanpa anda semua, kami tidak akan sampai ke tahap ini. Anda semua memang hebat dan kami akan terus memberikan yang terbaik buat semua,” katanya.
Sementara itu, konsert ini juga turut diisi dengan pra-tonton eksklusif video muzik Burn It Down, lagu yang dirakamkan ketika mereka berada di Korea Selatan.
Alpha turut mempersembahkan buat pertama kali video muzik Mahkota Cinta, sekali gus memberi peluang kepada peminat yang hadir menjadi antara yang terawal menyaksikan karya visual berkenaan.
Konsert yang berlangsung hampir tiga jam itu menyajikan deretan lagu popular seperti Gerak, Gelato, P. Ramlee Saloma, Mahkota Cinta dan Monalisa.
Persembahan itu turut dimeriahkan dengan kemunculan penyanyi jemputan Dayang Trisha menerusi lagu Haru Biru dan Nadeera yang bergandingan bersama Alpha dalam Zapin Usik Mengusik, sekali gus melengkapkan malam yang penuh bermakna buat perjalanan awal kumpulan tersebut dalam industri muzik.
Turut hadir, guru vokal kumpulan berkenaan, Datuk Syafinaz Selamat, bagi memberikan sokongan serta menyaksikan sendiri persembahan anak-anak didik beliau di atas pentas yang mega itu.











