DALAM Belanjawan 2023 dibentangkan minggu lalu, peruntukan khas diberi bagi merancakkan dan mempergiat aktiviti terjemahan bahan bacaan bermutu. Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim turut menekankan perlunya aktiviti penerbitan bahan bacaan bermutu tinggi oleh penulis tempatan ditingkatkan. Penegasan ini selaras ciapan beliau menerusi Twitter pada 11 Disember 2022 bahawa belum terlambat untuk memupuk budaya membaca dan mencambah daya fikir kritis dalam kalangan generasi muda.
Sebagai individu yang terlibat secara langsung dalam bidang penulisan dan penerbitan sejak 1992, saya amat bersetuju dan menyokong sebarang usaha membantu orang ramai memiliki akses bagi bahan bacaan bermutu dalam mana-mana bahasa. Kumpulan Sasterawan Kavyan yang diasaskan pada 1999 mengendalikan pelbagai acara di seluruh negara bagi memupuk minat membaca dalam kalangan masyarakat akar umbi.
Salah satu masalah yang dikenal pasti ialah kurangnya ibu bapa dalam kategori berpendapatan rendah membelikan buku cerita untuk anak-anak. Saya amat memahami situasi ini kerana turut melalui pengalaman sama sewaktu membesar di Aulong Lama, Taiping.
Salah satu usaha Kavyan ialah mencari jalan bagi membolehkan kanak-kanak di sekolah rendah berpeluang memiliki dan membaca buku cerita, khususnya sastera kebangsaan dihasilkan penulis kaum India.
Buku Nari! Nari! merupakan kumpulan cerita rakyat India yang saya ceritakan semula dalam bahasa kebangsaan untuk bacaan kanak-kanak Malaysia. Buku terbit pada 1995 dan diulang cetak pada 2000 kerana mendapat sambutan hangat, khususnya daripada murid sekolah Tamil.
Kanak-kanak kaum India ternyata teruja membaca cerita rakyat dan kisah-kisah tradisional yang mungkin pernah didengar daripada nenek atau ibu bapa.
Pada 2015, saya menerbitkan semula buku itu dalam edisi baharu. Pada kali ini, saya mendapat sokongan daripada rakan-rakan budiman untuk menampung sebahagian kos cetak. Buku Nari! Nari! dijadikan hadiah apabila Kavyan mengendalikan program galakan membaca di sekolah rendah. Kisah-kisah dalam buku itu turut dijadikan teks untuk siri bengkel asas lakonan.
Selain kanak-kanak, golongan remaja dan ibu bapa turut berminat menghayati kisah-kisah dalam buku itu serta mempersembahkannya dalam bentuk drama pentas. Kanak-kanak amat terhibur menyanyikan lirik yang termuat dalam cerita Si Bodoh dan Lembu Kuil serta Hati Monyet. Program Kavyan menjadi ceria setiap kali kanak-kanak menyanyikan lagu-lagu itu dengan penuh semangat.
CINA
Selain murid sekolah jenis kebangsaan Tamil (SJKT), Nari! Nari! turut mendapat sambutan murid sekolah jenis kebangsaan Cina (SJKC) dan sekolah kebangsaan (SK). Kita sering mendengar rungutan dan kritikan bahawa murid SJKC dan SJKT kurang menguasai bahasa kebangsaan serta tidak menggemari karya sastera kebangsaan. Individu yang mendedahkan segala masalah itu tidak pula memberikan cadangan bagi mengatasinya. Malah, mereka tidak turun padang untuk mengatasinya.
Berdasarkan pengalaman saya dan Kavyan mengendalikan pelbagai program di sekolah dan dalam komuniti akar umbi, cara terbaik mengatasi masalah adalah dengan menyediakan akses kepada bahan bacaan bermutu.
Dalam kes buku Nari! Nari! yang diterbitkan pada 2015, ia dijadikan bahan pelbagai aktiviti semasa program Kavyan. Rakan-rakan tampil menaja buku itu supaya boleh dijadikan hadiah kepada murid dan peserta program.
Rata-rata peserta mengaku amat teruja dan berminat membaca buku cerita selepas menyertai program didik hibur (edutainment) anjuran Kavyan. Hal ini tidak menghairankan kerana segala program dirangka dengan teliti selaras penerapan konsep didik hibur yang disarankan Kementerian Pendidikan (KPM).
Apabila saya bertemu semula sebahagian murid, ibu bapa dan guru terbabit beberapa tahun kemudian, mereka masih ingat bagaimana program Kavyan dan buku Nari! Nari! berjaya memupuk minat mereka terhadap bahasa dan sastera kebangsaan. Ilustrasi cantik dihasilkan Teh Hun Yi turut menjadi daya penarik bagi kanak-kanak pelbagai kaum.
Buku Nari! Nari! dicetak 1,000 naskhah pada 2015 dan sudah lama habis stok. Kanak-kanak yang membacanya dengan penuh minat pada waktu itu sudah berusia hampir 20 tahun sekarang. Sementara itu, kanak-kanak yang kini berada di sekolah rendah merupakan generasi baharu yang masih perlu diberi ruang dan peluang membaca buku cerita bermutu.
Memanglah ada pelbagai bahan bacaan dalam pasaran. Malangnya, selalu juga kita mendengar rungutan ibu bapa bahawa buku yang dibeli terselit unsur negatif dan kurang membina. Harga bahan bacaan bermutu juga semakin hari semakin meningkat.
Dalam situasi ini, saya mengambil keputusan mengulang cetak buku Nari! Nari! sebanyak 500 naskhah. Melalui Kavyan, kami berusaha mendapatkan sokongan orang ramai bagi menampung sebahagian kos ulang cetak. Apabila seseorang menyumbang, sejumlah buku akan dihadiahkan kepada perpustakaan sekolah rendah pilihan penyumbang berkenaan. Dengan itu, murid-murid di sekolah terbabit berpeluang membaca buku Nari! Nari! yang diulang cetak khusus bagi tujuan ini.
Terdapat sekitar 7,780 sekolah rendah di seluruh negara. Tentulah saya, Kavyan dan rakan-rakan penyumbang tidak mampu menghadiahkan buku cerita kepada kesemua sekolah berkenaan.
Memandangkan hanya 500 naskhah dicetak dan setiap sekolah akan menerima tiga buku, maka hanya sekitar 160 sekolah dapat dipilih untuk menyertai projek kali ini. Bagaimanapun, sumbangan diterima sehingga kini hanya memungkinkan buku dihadiahkan kepada 55 sekolah. Sekiranya ada sokongan daripada orang ramai, sekolah lain akan turut berpeluang menerima buku ini. Selepas itu, Kavyan bercadang mengendalikan program didik hibur di sekolah terbabit bagi menanam minat membaca dalam jiwa kanak-kanak. Seperti kata Perdana Menteri, belum terlambat untuk memupuk budaya membaca.-UTUSAN
PENULIS ialah pengasas Kumpulan Sasterawan Kavyan.










