SEMUA tahu Pilihan Raya Umum Ke15 (PRU15) tidak menghasilkan sebarang pemenang mutlak di mana Pakatan Harapan (PH) hanya menang 82 kerusi, diikuti Perikatan Nasional (PN) 73, Barisan Nasional (BN), 30 dan Gabungan Parti Sarawak (GPS), 23.
Oleh kerana natijah daripada PRU15 pada 19 November lalu ialah tidak ada gabungan yang secara sendirian mampu melintasi titik keramat 112 kerusi, maka seluruh rakyat terpaksa menanti berhari-hari dalam suasana ketidaktentuan pembentukan sebuah kerajaan baharu.
Syukurlah, kebijaksanaan Yang di-Pertuan Agong, AlSultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, dalam sesi menerima menghadap wakil pimpinan PH, PN, BN dan GPS menyebabkan gagasan kerajaan perpaduan diterima dengan baiknya.
Ini ditambah tindakan julung kali Seri Paduka mendapatkan pandangan raja-raja Melayu dalam Perbincangan Khas Raja-Raja Melayu pada 24 November lalu bagi membuat keputusan demi kepentingan dan kesejahteraan negara dan rakyat.
Akhirnya dengan kerelaan semua pihak terlibat, maka terzahirlah sebuah kerajaan perpaduan dianggotai PH, BN, GPS, Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dan Parti Warisan dengan Pengerusi PH, Datuk Seri Anwar Ibrahim dilantik sebagai Perdana Menteri ke-10 (PM10).
Kelima-lima gabungan politik yang membentuk kerajaan perpaduan ini juga memeterai satu perjanjian persefahaman pada 16 Disember lalu dengan pembahagian portfolio jemaah menteri hendaklah berkadar dengan jumlah ahli Parlimen setiap gabungan di dalamnya.
Disebut dengan jelas di dalam perjanjian ini hasrat semua bergabung untuk mewujudkan satu sistem pemerintahan yang dapat mengelakkan pemusatan kuasa dan penyelewengan selain mengamalkan ekonomi adil dan bebas daripada sebarang bentuk penyelewengan.
Diwujudkan juga Majlis Perundingan untuk memastikan segala terma-terma yang dipersetujui dalam perjanjian ini dapat dilaksanakan dengan cermat dan teratur sementara sebarang perselisihan dan salah faham hendaklah diselesaikan secara harmoni.
Sehubungan itu, amatlah tidak wajar sekali bila ada mana-mana pemimpin dalam gabungan kerajaan perpaduan ini mengutarakan apa-apa kenyataan mahupun melakukan apa-apa tindakan yang boleh memporak-perandakan kesatuan yang sudah mula wujud sesama ahli.
Malangnya, inilah yang dilakukan oleh Timbalan Ketua Menteri Pulau Pinang dari DAP, Dr. P. Ramasamy yang berkata, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi akan menjadi satu bebanan kepada UMNO, PH dan kerajaan perpaduan selagi beliau kekal sebagai Presiden parti.
Ramasamy juga mendakwa, pertuduhan-pertuduhan rasuah ke atas Ahmad Zahid adalah sebab mengapa UMNO kalah teruk dalam PRU15, UMNO tidak boleh dibaik pulih tanpa pembersihan imej rasuah dan Ahmad Zahid kelihatan pemimpin paling tercemar dalam UMNO.
Beliau juga menyatakan, sekarang UMNO yang lebih memerlukan PH, bukan di sebaliknya, di samping mempersoalkan kemampuan UMNO mendapatkan sokongan orang-orang Melayu kepada PH dalam enam pilihan raya negeri (PRN) akan berlangsung.
Kesemua perkara sensitif yang ditimbulkan oleh pemimpin dengan kedudukan tinggi baik dalam parti mahupun kerajaan seperti Ramasamy ini, walaupun hanya bersifat pandangan peribadi, sudah pastilah berpotensi untuk menimbulkan ketidakpuasan hati pihak yang disentuh.
Kerajaan perpaduan sudah terbentuk dengan perjanjian terperinci dipersetujui secara sukarela oleh semua pihak demi kepentingan negara. Oleh itu tidak berbangkit sama sekali soal kononnya parti tertentu terpaksa menyertainya atau parti tertentu lebih memerlukan parti lain.
Di dalam sebuah kerajaan perpaduan pastilah semua pihak memerlukan antara satu sama lain kerana kerajaan ini boleh goncang malah mungkin terbubar terus jika mana-mana pihak melakukan perkara-perkara yang bertentangan dengan semangat kerjasama.
Penglibatan UMNO dalam kerajaan perpaduan adalah atas daya utama Ahmad Zahid sebagai Presiden parti itu, jadi tidak wajar untuk beliau dicerca sebagai pemimpin paling tercemar yang konon menyebabkan UMNO sukar mendapatkan sokongan orangorang Melayu kepada PH.
Pertuduhan-pertuduhan rasuah ke atas Ahmad Zahid, sepertimana pertuduhan-pertuduhan rasuah ke atas Pengerusi DAP, Lim Guan Eng adalah sesuatu yang belum terbukti dan dalam Islam mahupun common law Inggeris, seseorang tidak dikatakan bersalah sebelum dibuktikan bersalah.
Dalam ucapan dasar di Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2022 baru-baru ini, Ahmad Zahid ada menegaskan betapa sebagai sebuah kerajaan yang bertanggungjawab, UMNO sependapat dengan pelbagai pandangan yang diberikan agar soal tata kelola kerajaan mesti dijalankan dengan telus.
Ahmad Zahid juga melahirkan keazaman sekali gus mengajak semua ahli dan pemimpin UMNO untuk menjayakan tata kelola politik baharu yang matang dan segar agar UMNO menjadi sebuah parti berdisiplin, cekap dan efisien dan harapan yang diberikan rakyat tidak disiasiakan.
Pemimpin-pemimpin UMNO pun tidak mempersoalkan secara terbuka integriti DAP walaupun Guan Eng sedang berhadapan pertuduhan-pertuduhan rasuah dan pernah dibebaskan daripada pertuduhan- pertuduhan rasuah sewaktu zaman pemerintahan PH dahulu.
Oleh itu, setiap parti seharusnya mengamalkan prinsip tolak ansur dan tiada campur tangan dalam urusan parti masing-masing di mana perbezaan pendapat, percanggahan, ketidakpuasan hati atau bantahan dari satu parti terhadap parti lain perlu disuarakan mengikut saluran dalaman.
Pertikaian sebegitu seharusnya hanya dibawa untuk dibincangkan dalam Majlis Perundingan bila melibatkan soal perjalanan kerajaan perpaduan dan di dalam sekretariat bersama parti-parti bila melibatkan soal perjalanan parti.
Peruntukan juga seeloknya diwujudkan bagi membolehkan mana-mana anggota dari mana-mana parti yang bertindak di luar batasan sehingga mengakibatkan kerugian, memalukan atau mencemar nama baik parti rakannya dibicarakan dan diambil tindakan sewajarnya.
Hanya dengan cara ini maka barulah kestabilan politik dan keharmonian hubungan antara parti-parti yang berada di dalam kerajaan perpaduan akan sentiasa terjaga sekali gus dapat memastikan kerajaan ini berjalan teguh sehingga ke akhir penggal ke-15.-UTUSAN
DATUK Dr. Mohd. Khairuddin Aman Razali ialah bekas Menteri Perusahaan Perladangan & Komoditi dan bekas Ahli Parlimen Kuala Nerus.










