KUALA LUMPUR: CIMB Group menyasarkan untuk menjadi rakan pengurusan kekayaan utama bagi individu berpendapatan tinggi di ASEAN menerusi pengenalan CIMB Private Wealth, didorong oleh peningkatan pendapatan dan pemindahan kekayaan antara generasi di rantau ini.
Pelancaran segmen baharu oleh CIMB Bank Berhad (CIMB) ini direka khusus untuk menggabungkan penyelesaian kewangan bertaraf institusi bersama pengurusan kekayaan yang disusun khusus oleh penasihat profesional.
Langkah berkenaan adalah selaras dengan aspirasi Forward30 syarikat dalam menyediakan produk pelaburan, pembiayaan dan perlindungan bernilai lebih tinggi bagi menyokong pelanggan individu serta perniagaan yang ingin mengoptimumkan aktiviti rentas sempadan.
Ketua Pegawai Eksekutif Perbankan Pengguna Kumpulan CIMB Group, Haniz Nazlan berkata, pihaknya menyaksikan perubahan besar dalam landskap pengurusan kekayaan di rantau ini apabila pelbagai lapisan generasi kini memainkan peranan aktif dalam pemindahan kekayaan.
Menurut beliau, transformasi besar ekonomi serantau ini turut dipacu oleh pertumbuhan perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PKS) yang mewakili lebih 90 peratus perniagaan di ASEAN, yang mana sebahagian besar pemiliknya merupakan pelanggan individu bank.
“Kelompok usahawan dan pemilik perniagaan ini mempunyai keperluan yang tinggi untuk menggerakkan modal merentasi rantau, sama ada untuk tujuan kiriman wang, melabur mahupun mengembangkan operasi perniagaan ke negara jiran.
“Apabila pengurusan kekayaan menjadi semakin kompleks dan merentasi sempadan, peranan kami bukan sekadar mengurus aset, malah menjadi rakan strategik yang menghubungkan peluang di seluruh rantau ini bagi membantu pelanggan merebut peluang baharu serta membina legasi yang berkekalan,” katanya semasa sidang media selepas majlis pelancaran di sini hari ini.
Mengulas lanjut mengenai potensi pasaran, beliau berkata, ASEAN kini telah berkembang menjadi ekonomi bernilai USD4 trilion (kira-kira RM16.28 trilion) dengan pertumbuhan ekonomi sekitar 4 peratus setahun, sekali gus mengatasi banyak pasaran maju.
Seiring peningkatan pendapatan dan pembandaran yang pesat, populasi individu berpendapatan tinggi di ASEAN dijangka berkembang sekitar 5 peratus hingga 6 peratus setahun, manakala golongan kelas pertengahan diunjur mewakili sekitar 65 peratus hingga 70 peratus daripada jumlah penduduk menjelang tahun 2030.
Didorong oleh jejak serantau yang kukuh melalui lebih 600 cawangan, segmen yang menyasarkan pelanggan dengan nilai aset di bawah pengurusan (AUM) sebanyak RM1 juta ini dibina berasaskan tiga teras utama iaitu rangkaian penyelesaian kekayaan eksklusif (konvensional dan patuh Syariah), khidmat nasihat dan keistimewaan premium.
Melalui segmen ini, CIMB menyasarkan untuk menggandakan jumlah AUM pengurusan kekayaannya menjelang tahun 2030, disokong oleh kekuatan rangkaian pasaran utama termasuk hab kekayaan kumpulan di Singapura.
Bagi mendepani ketidaktentuan global, pelanggan akan disokong oleh semakan portfolio daripada Pejabat Pelaburan Ketua (CIO) CIMB, kemudahan nasihat digital MyWealth dalam aplikasi CIMB OCTO, serta keistimewaan premium termasuk manfaat kad CIMB Private Wealth World Elite.
“Masa depan pengurusan kekayaan bukan lagi berteraskan produk, sebaliknya dipacu pencapaian hasil. Pelanggan kini mengharapkan penyelesaian yang menggabungkan pelaburan, pembiayaan, perancangan pewarisan serta aspirasi gaya hidup dalam satu ekosistem yang menyeluruh,” tambahnya. – UTUSAN










