Sunway Malls perkenal pusat beli-belah pintar pertama di Malaysia - Utusan Malaysia

Sunway Malls perkenal pusat beli-belah pintar pertama di Malaysia

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Sunway Malls mengukuhkan kedudukannya sebagai pelopor industri runcit tempatan apabila memperkenalkan konsep Pusat Beli-Belah Pintar (Smart Malls) pertama di Malaysia.

Langkah transformatif itu menyaksikan penyepaduan ekosistem berasaskan kecerdasan buatan (AI) dan internet kebendaan (IoT) di seluruh portfolionya bagi memaksimumkan kecekapan operasi serta mengurangkan kebergantungan kepada proses manual.

Didorong oleh kejayaan integrasi IoT di Sunway Pyramid pada 2021 dan pelaksanaan di Sunway Square, inisiatif digital itu kini diperluas secara berperingkat ke seluruh pusat beli-belah di bawah pengurusannya.

Pengarah Urusan Kumpulan Sunway Malls, HC Chan berkata, peralihan strategik tersebut didorong oleh matlamat untuk memanfaatkan teknologi digital sebagai pemboleh daya kritikal bagi memacu perniagaan melangkah ke masa hadapan.

“Ketepatan masa, kejituan dan kerelevanannya membolehkan tindakan intervensi yang lebih tajam dan tuntas dalam pasaran yang kompetitif,” katanya dalam kenyataan.

Teras utama inisiatif ini disokong oleh rangkaian IoT bersepadu melalui Pusat Operasi Bersepadu di Sunway City Kuala Lumpur, yang menghubungkan pengurusan fasiliti dan keselamatan secara proaktif menerusi kesalinghubungan 5G.

Mengulas lanjut, Sunway berkata, antara inovasi operasi belakang tabir yang diperkenalkan termasuk kemudahan tandas pintar yang menggunakan sistem sensor masa nyata bagi memantau kebersihan, serta eskalator pintar yang dilengkapi amaran ramalan automatik untuk mengurangkan gangguan operasi sehingga 50 peratus.

“Bagi barisan hadapan dan pengalaman pelanggan, Sunway Malls menawarkan ekosistem lancar menerusi aplikasi Sunway Super App yang menghubungkan ganjaran, hiburan dan penjagaan kesihatan dalam satu platform sehenti.

“Pengunjung juga boleh memanfaatkan kemudahan direktori pintar yang menawarkan navigasi masa nyata termasuk laluan mesra kerusi roda, fungsi Makan Claw untuk cadangan restoran, serta kemudahan chatbot pelanggan 24/7 yang menyokong lebih 50 bahasa.

“Selain itu, kesesakan kenderaan pada waktu puncak berjaya dikurangkan melalui sistem parkir pintar berasaskan teknologi Pengecaman Plat Kenderaan (LPR) tanpa tiket fizikal, selain dilengkapi Sistem Panduan Parkir Video bagi memudahkan pengunjung mengesan lokasi kenderaan mereka,” katanya. 

Bagi aspek keselamatan dan pengurusan pintar, Sunway Malls memanfaatkan sistem kamera litar tertutup (CCTV) AI yang menawarkan analisis masa nyata untuk mengesan senjata, amaran pencerobohan, beg tanpa pemilik, pagar keselamatan maya serta pemantauan kebakaran dan asap bagi membolehkan tindak balas pantas diambil.

Operasi bangunan turut diperkukuh menerusi Teknologi Operasi Runcit yang menyatukan kawalan penyelenggaraan, tenaga kerja dan vendor dalam platform berpusat, di samping Pengurusan Medium Pemasaran yang mengawal selia kandungan skrin digital secara automatik tanpa pengemaskinian manual.

Selain kemudahan tandas pintar dan eskalator pintar yang mengurangkan gangguan operasi sehingga 50 peratus, aspek kelestarian pintar turut diperkenalkan menerusi mesin pemproses sisa makanan berasaskan mikrob dan enzim untuk menukarkan sisa kepada air kelabu yang boleh diproses semula, sekali gus mengurangkan beban logistik. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN