KUALA LUMPUR: Tidak mahu terlalu mencampuri kehidupan rumah tangga anak, pelakon dan usahawan, Rozita Che Wan memilih untuk menjadi ibu mentua yang santai serta memberi ruang kepada pasangan berkenaan menjalani kehidupan mengikut cara sendiri.
Rozita atau lebih mesra disapa Che Ta berkata, pendekatan itu diambil berdasarkan pengalamannya sendiri yang pernah menerima layanan serupa daripada bekas ibu mentuanya.
Malah, pelakon berusia 53 tahun itu tidak menetapkan sebarang syarat atau peraturan khusus terhadap menantunya, Auni Yasmin, yang mendirikan rumah tangga dengan anak sulungnya, Ammar Effendy.
“Saya mak mentua dari syurga. Saya jenis yang okey sahaja. Sepanjang mereka berkahwin, baru hujung minggu ini mereka balik ke rumah saya. Tetapi saya pula tiada di rumah, Ammar pun sibuk dengan kejohanan golf.
“Saya mak mentua yang ‘chill’ sebab bekas mak mentua saya dahulu pun sangat santai. Dia ada pembantu rumah, kita nak basuh pinggan pun dia kata tak mengapa, biar pembantu yang buat,” katanya.
Menurut Che Ta, dia mahu menantunya berasa selesa setiap kali berada di rumahnya dan bebas melakukan apa sahaja tanpa terikat dengan rutin tertentu.
“Kalau cuti, nak bangun lambat, bangunlah. Tak ada apa pun nak buat di rumah saya.
“Saya cuma buat apa yang saya rasa seronok dahulu. Kalau suami tak ada, nak masak atau tidak, nak tidur sampai lambat pun tak ada masalah,” ujarnya.
Dalam pada itu, Che Ta berkata, dia lebih banyak memberikan nasihat kepada Ammar berbanding Auni kerana percaya seorang suami memainkan peranan penting dalam mencorakkan kebahagiaan sesebuah rumah tangga.
Katanya, sebagai seorang wanita, dia memahami kehendak dan keperluan seorang isteri dalam kehidupan berumah tangga.
“Saya perempuan, jadi saya tahu apa yang kita mahu dalam rumah tangga.
“Saya nasihat Ammar, kalau perangai macam ‘makhluk hampas’, macam mana nak dapat isteri syurga? Awak kena bagi syurga, baru awak dapat syurga.
“Alhamdulillah, Auni budak baik. Setahu saya, mereka pun solat Subuh berjemaah,” katanya.
Berkongsi mengenai perasaannya selepas Ammar mendirikan rumah tangga, Che Ta mengakui kesedihan hanya mula dirasai selepas majlis perkahwinan selesai apabila menyedari anak lelakinya itu tidak lagi tinggal bersamanya.
“Masa beri ucapan saya belum sebak lagi.
“Tetapi selepas mereka berkahwin, setiap malam rasa macam nak menangis apabila tengok bilik Ammar kosong.
“Selama 30 tahun dia tinggal dengan saya,” katanya.
Terdahulu, Ammar dan Auni mengikat tali pertunangan pada 25 Oktober tahun lalu sebelum melangsungkan pernikahan pada 26 Jun lalu.
Ammar kini bertugas sebagai pegawai di sebuah institusi perbankan, manakala Auni bekerja dalam bidang pemasaran di sebuah syarikat swasta.










