PORT DICKSON: Tidak berlaku sebarang isu dalaman di peringkat Pakatan Harapan (PH) berhubung pemilihan calon Pakatan Harapan (PH) bagi bertanding di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Chuah.
Ketua Cabang PKR Port Dickson, Datuk Seri Aminuddin Harun berkata, banyak pihak di media sosial cuba membangkitkan isu membabitkan Timbalan Ketua Cabang PKR Port Dickson, Datuk Kenny Chiew Chi Kin dan calon PH dan juga penyandang kerusi tersebut, Yew Boon Lye.
Katanya, isu yang cuba dimainkan adalah kekecewaan di peringkat akar umbi apabila Kenny yang telah memberikan perkhidmatan dan bekerja keras memastikan kekuatan parti tidak dipilih sebagai calon di kerusi Chuah.
“Isu ini telah diselesaikan beberapa hari lepas dan Kenny juga telah memberikan sokongan yang penuh kepada kami, calon-calon PH di Chuah, di Lukut, Seri Tanjung, Bagan Pinang dan juga di Linggi.
“Ia bukan pepecahan tetapi dimainkan isu ini di media sosial. Ia mengundang persepsi negatif kepada bukan sahaja di Chuah tetapi di keseluruhan di Port Dickson.
“Saya juga berterima kasih kepada Kenny yang bersungguh-sungguh sejak beberapa hari lepas memberi penerangan kepada semua jentera terutamanya kepada penyokong kita.
“Pertemuan hari ini amat bermakna kerana kami mahu tutup keseluruhan cerita yang membuat seolah-olah ada perpecahan di DUN Chuah,” katanya.
Sementara itu, Kenny berkata, beliau menerima keputusan tersebut dan melihat kepentingan parti adalah jauh lebih penting berbanding kepentingan peribadi. – UTUSAN










