Kenaf saji pemandangan indah ala Eropah di Perlis - Utusan Malaysia

Kenaf saji pemandangan indah ala Eropah di Perlis

PENGUNJUNG tidak melepaskan peluang bergambar bersama bunga kenaf yang menjadi sebahagian daripada tarikan pelancongan di Perlis.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELALUI Jalan Chuping di Padang Besar, Perlis, mata pastinya terarah di tepi jalan di kawasan yang menyajikan pemandangan indah dan memukau pokok bunga kenaf yang seolah-olah seperti berada di luar negara.

Hamparan pokok bunga kenaf di kawasan seluas 182 hektar di Ladang Kenaf tersebut menarik sesiapa sahaja yang melalui lokasi berkenaan serta pengunjung untuk singgah merakamkan gambar dan video keindahannya.

Bunganya yang mekar berwarna putih menjadi tarikan orang ramai untuk merakamkan gambar kenangan sekali gus menjadi salah satu tarikan baharu di negeri ini.

Kenaf atau nama saintifiknya Hibiscus Cannabinus, merupakan tanaman jangka pendek, berserat dan menyerupai pokok bendi.

Tempoh matang pokok berasal dari Afrika itu adalah antara 120-150 hari.

Dahulunya, kawasan Lembah Chuping ini merupakan lokasi tanaman pokok tebu dan kini ia diganti dengan ladang kenaf.

Difahamkan ketika ini adalah musim bunga kenaf sedang banyak dan berkembang dengan dijangka berakhir tidak lama lagi.

Selain itu, bunga lalang seakan-akan bunga lavender berwarna ungu, terletak kira-kira 500 meter memasuki kawasan Lembah Chuping itu turut menyajikan pemandangan mempesona, berlatarkan Bukit Chabang.

Keindahan bunga lalang seperti bunga Lupine itu pula membuatkan kita seakan-akan berada di Tasik Tekapo, New Zealand.

Apa yang menarik, pemandangan tersebut juga membuatkan gambar yang dirakam pengunjung itu seolah-olah seperti berada di luar negara.

Ketika ini, pengunjung termasuk dari luar negeri, dilihat tidak putus-putus mengunjungi kawasan berkenaan untuk bergambar khususnya pada sebelah pagi dan petang.

LOKASI CANTIK MERAKAM GAMBAR
Pengunjung, Rosnani Nazri, 38, berkata, pemandangan indah bunga kenaf dan lalang berwarna ungu tersebut menjadi lokasi cukup menarik untuk merakam gambar.

Kata pensyarah tersebut, melihat pemandangan yang cukup mempersona itu, membuatkan dia cukup teruja untuk singgah merakam gambar dan video di lokasi berkenaan.

“Perlis unik. Ia memiliki banyak lokasi menarik dan indah. Kawasan bunga di sini antara salah satu lokasi menarik untuk merakam gambar.

“Apabila saya berkunjung dan mendekati sendiri kawasan ini, ternyata memang cantik dan berbeza daripada bunga lalang biasa yang saya pernah lihat sebelum ini,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Tambah Rosnani, lokasi tersebut juga dilihat sesuai bagi pasangan pengantin merakam detik indah mereka yang berlatarkan Bukit Chabang.

“Bunga kenaf berwarna putih kekuningan itu mampu memberi kesan berbeza pada gambar sekali gus memberikan hasil foto lebih cantik dan sempurna,” katanya.

Seorang lagi pengunjung, Marzirah Marzuki, 21, mengambil peluang berkunjung ke lokasi berkenaan pada musim cuti sekolah baru-baru ini semata-mata untuk mahu merakam gambar.

“Bergambar di situ seolah-seolah seperti berada di Mestrino, Itali. Ia cukup memukau,” kata pelajar Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam, Selangor ini.

Pengunjung, Liyana Ismail, 25, berkata, dia melihat keindahan kawasan berkenaan selepas tular di media sosial seterusnya mengambil peluang membawa anak-anak mengunjungi lokasi tersebut.

Dia yang datang dari Kedah mengakui pemandangan di situ memukau pandangan.

Malah musim angin timur turut membangkitkan suasana nyaman.

“Saya dan keluarga tidak melepaskan peluang merakamkan gambar dan video. Difahamkan musim bunga kenaf ini mekar berkembang, sudah sampai ke penghujung musim, jadi kami tidak mahu terlepas peluang keemasan ini,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×