“Dekat tapi jauh. Ada macam tiada. Senyum seperti mesra tetapi ia untuk skrin telefon. Kenderaan meluncur laju namun fokus mata pemandunya tidak pada jalan raya.”
Ini antara suasana kurang enak dan berbahaya yang sering kita lihat dalam kehidupan manusia hari ini.
Ia berleluasa semenjak telefon pintar menakluki kehidupan manusia moden. Walaupun duduk bersebelahan, semuanya tenggelam dalam dunia tersendiri. Ketika mesyuarat penting berjalan, minda anggota mesyuarat sedang berada di serata dunia dibawa telefon pintar masing-masing.
Jika minda tidak berada dalam bilik mesyuarat, bagaimana agaknya pelaksanaan isi mesyuarat mampu dilaksanakan? Sudah sampai masanya pihak kerajaan mengeluarkan surat arahan melarang telefon pintar dibawa masuk ke bilik mesyuarat, Parlimen dan majlis rasmi bagi memaksimumkan fokus semua pihak terhadap isi perbincangan.
Telefon pintar adalah nikmat hebat untuk manusia moden kerana ia mampu memudahkan urusan mereka. Pun begitu, secara tidak langsung ia juga telah merenggut kepintaran fizikal, ekonomi dan sosial manusia.
Kepintaran fizikal sudah hilang kerana anak kecil dan orang dewasa semakin berlapik lemak perutnya dek kurang pergerakan fizikal atau riadah.
Matanya pun semakin rabun dek suluhan cahaya biru skrin telefon pintar hampir sepanjang masa. Ketika telefon pintar belum dilahirkan di dunia, suara sorak sorai ketawa riang anak kecil bermain di luar rumah menjadi melodi indah yang selalu kita dengar. Selepas telefon pintar dilahirkan, suasana itu semakin hilang.
Kepintaran sosial juga semakin hilang kerana ziarah dan menyapa keluarga serta sahabat handai semakin berkurang kerana semua asyik dengan telefon pintar masing-masing. Kepintaran ekonomi juga semakin hilang kerana ketagihan membeli di luar keperluan dan kemampuan semakin berleluasa. Apa tidaknya, godaan berbagai promosi jualan dalam talian masuk bertalu-talu dalam telefon pintar.
Apabila pasar sudah semakin dekat di hujung jari, saya teringat amaran Nabi SAW yang bermaksud: Kiamat hampir berlaku apabila ilmu diangkat (dengan kematian para ulama), munculnya berbagai fitnah (bencana), banyaknya pendustaan, pendeknya masa, pasar jadi semakin dekat dan banyaknya pembunuhan. (Sahih Ibn Hibban).
Awas semua! Kita sedang ‘ditakluk’ oleh musuh yang mesra pengguna. Sudah berapa banyak kita dengar ikatan kekeluargaan dan persahabatan musnah digores bencana telefon pintar yang tidak dikawal.
Rencana ini bukan bertujuan menarik anda ke belakang. Tidak! Ia sebaliknya bermaksud menampar muka dan mencubit kesedaran minda kita agar tidak menjadi hamba telefon pintar. Oleh itu, kita perlu belajar dan praktik ilmu tentang kebaikan serta keburukan telefon pintar.
Ramai pengguna telefon pintar tidak cukup matang dalam menilai baik buruk teknologi ini. Untuk itu, ibu bapa perlu membimbing serta memberi contoh terbaik kepada mereka. Jangan terlalu obsess dengan telefon pintar kerana ibu bapa menjadi cerminan anak-anak.
Jika perlu pihak Kementerian Pendidikan diminta memasukkan sukatan pelajaran khas dalam seluruh tahap pendidikan negara tentang adab dan etika menggunakan telefon pintar. Sebabnya, fenomena baharu ini perlu dibimbing oleh pendidikan yang betul.
Selain itu, kita juga perlu mendalami agama agar tahu menilai baik buruk penggunaan telefon pintar. Anda mahu bukti mudah bagaimana kejahilan menjadi bencana beragama orang Islam?
Lihat sahaja ketika solat Jumaat. Ramai jemaah yang hangus pahalanya kerana asyik bermain telefon pintar ketika khatib berkhutbah.
Seolah-olah amaran Nabi SAW ini tidak pernah mereka tahu. Nabi SAW bersabda yang bermaksud: Apabila engkau berkata kepada temanmu pada hari Jumaat ketika khatib sedang berkhutbah, maka engkau (sendiri) telah lalai (yang membuatkan pahala Jumaatmu hilang). (Sahih al-Bukhari, 882).
Usahkan bermain telefon pintar, menyentuh batu pun ditegah nabi. Ia sebagaimana sabda Nabi SAW yang bermaksud: Sesiapa yang menyentuh biji batu, maka dia juga telah lalai (dan hangus pahala Jumaatnya). (Sahih Muslim, 1419).
Apabila mata dan jari sudah terarah hanya pada skrin telefon, mana mungkin isi khutbah Jumaat dapat dihadam atau dihayati. Sudah sampai masanya pihak berkuasa agama memasukkan ‘skrip tetap’ di awal khutbah menegah jemaah bermain telefon pintar agar kegilaan ini dihentikan segera!
Ambil ayat ini sebagai ubat mujarab untuk melepaskan gari telefon pintar dalam kehidupan harian kita. Firman Allah yang bermaksud: Sesungguhnya Allah menyuruh berlaku adil, berbuat kebaikan, serta memberi bantuan kepada kaum kerabat; dan melarang daripada melakukan perbuatan yang keji, mungkar serta kezaliman. Dia mengajar kamu (dengan suruhan dan larangan-Nya ini), supaya kamu mengambil peringatan mematuhi-Nya. (al-Nahl: 90)
Ayat ini mengandungi suruhan dan larangan yang padat mendalam. Bahkan ayat ini disifatkan para ulama sebagai paling lengkap membicarakan kebaikan dan keburukan. Arahan ayat ini terpakai dalam seluruh sudut kehidupan manusia termasuklah dalam cara tadbir urus penggunaan telefon pintar. Bagaimana?
Adil bermaksud meletakkan sesuatu pada tempatnya. Jangan diletakkan penggunaan telefon pintar dalam semua tempat tanpa mengira masa dan situasinya.
Simpan telefon pintar ketika anda berada dalam bilik mesyuarat, di meja makan bersama keluarga tercinta dan ketika khatib berkhutbah Jumaat. Hormati keluhuran kerja, hubungan keluarga dan kesucian agama dengan menahan diri daripada terus digari telefon pintar.
Melalui ayat tersebut Allah juga mengarahkan kita agar berbuat baik dan meninggalkan kejahatan. Gunakan telefon pintar untuk mencapai kebaikan dan mengumpulkan pahala. Kongsilah hanya yang benar dan baik sahaja.
Jika yang masuk itu sampah sarap minda yang busuk berdosa, jangan gadai kebahagiaan dunia akhirat anda dengan terlibat dengannya. Percayalah! Penghayatan terhadap ayat ini, mampu memerdekakan diri anda daripada gari telefon pintar dan penaklukannya.
Abdullah Bukhari Abdul Rahim al-Hafiz, Timbalan Pengarah Hal Ehwal Pelajar Pusat Bahasa, UIAM.










