PETALING JAYA: Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (Matrade) menerajui inisiatif strategik bagi memperkukuh penglibatan syarikat tempatan dalam perolehan kemanusiaan global melalui program padanan perniagaan khusus.
Langkah tersebut dilaksanakan dengan kerjasama Depot Respon Kemanusiaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNHRD) Kuala Lumpur di bawah Program Makanan Sedunia (WFP) serta Persekutuan Antarabangsa Persatuan Palang Merah dan Bulan Sabit Merah (IFRC) Pejabat Wilayah Asia Pasifik.
Ketua Pegawai Eksekutif Matrade, Abu Bakar Yusof berkata, pasaran perolehan kemanusiaan global menawarkan saluran strategik buat syarikat Malaysia untuk mempelbagaikan pasaran eksport mereka, di samping menyumbang kepada misi bantuan di seluruh dunia.
“Dengan memenuhi piawaian perolehan antarabangsa, pengeksport kita mampu meletakkan diri mereka sebagai rakan kongsi yang dipercayai dalam membekalkan barangan bantuan kritikal serta penyelesaian kemanusiaan penting kepada komuniti yang terjejas akibat krisis,” katanya dalam kenyataan.
Sebagai fasa seterusnya, Matrade akan menganjurkan Program Pendekatan Sumber Antarabangsa (INSP) khusus dengan kerjasama UNHRD Kuala Lumpur dan IFRC bermula Julai hingga Disember 2026.
Program itu bakal menampilkan siri mesyuarat perniagaan ke perniagaan (B2B) terpandu bagi membolehkan syarikat tempatan memamerkan produk, memahami spesifikasi perolehan dan menjalinkan hubungan komersial terus dengan pembeli institusi.
Peringkat awal penglibatan akan memberi tumpuan kepada produk kemanusiaan keperluan asas termasuk kit kebersihan, kit keluarga, set peralatan dapur, serta bekalan bantuan kecemasan yang lain.
Dalam pada itu, Abu Bakar turut mengalu-alukan penganjuran Humanitarian Readiness & Supplies Expo yang dijadualkan berlangsung di UNHRD Kuala Lumpur pada 22 Julai ini sebagai platform pendedahan langsung operasi rantaian bekalan kepada pengilang tempatan.
Inisiatif penstrukturan semula rantaian bekalan kemanusiaan ini turut mendapat sokongan perkongsian strategik merentasi Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), Kementerian Luar Negeri (KLN), Kementerian Pertahanan (MINDEF) dan Kementerian Kewangan (MOF).
Matrade optimis program ini akan menjadi pemangkin utama dalam memperluas bahagian pasaran eksport Malaysia, sekali gua mengukuhkan reputasi negara sebagai pembekal produk kemanusiaan yang berkualiti tinggi dan boleh dipercayai di peringkat antarabangsa. –UTUSAN










