Tadbir urus kukuh kunci kepercayaan pelabur, pertumbuhan ekonomi mampan – Dr A. Ahad - Utusan Malaysia

Tadbir urus kukuh kunci kepercayaan pelabur, pertumbuhan ekonomi mampan – Dr A. Ahad

ABDUL Ahad Mohd. Salleh
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Malaysia perlu memperkukuh amalan tadbir urus, akauntabiliti fiskal dan disiplin kepimpinan bagi meningkatkan keyakinan pelabur serta memastikan pertumbuhan ekonomi yang mampan dalam landskap ekonomi yang semakin kompleks.

Tokoh kewangan dan tadbir urus, Dr. Abdul Ahad Mohd. Salleh berkata, kejayaan fasa pertumbuhan baharu negara tidak hanya bergantung kepada dasar ekonomi, pelaburan atau inovasi, sebaliknya turut dipacu oleh kekuatan sistem tadbir urus yang menyokong proses membuat keputusan dan meningkatkan kepercayaan terhadap institusi.

Katanya, tadbir urus tidak seharusnya dilihat sekadar memenuhi keperluan pematuhan dan pelaporan, tetapi perlu menjadi asas kepada budaya kepimpinan yang bertanggungjawab.

“Tadbir urus yang kukuh membina kepercayaan, meningkatkan kualiti keputusan dan mewujudkan disiplin yang diperlukan untuk memastikan daya tahan organisasi dalam jangka panjang,” katanya dalam kenyataan. 

Abdul Ahad yang mempunyai lebih 27 tahun pengalaman global dalam bidang kewangan, pengurusan dan kepimpinan strategik, termasuk sebagai Ketua Pegawai Kewangan di sebuah syarikat berkaitan kerajaan (GLC) berkata, fungsi kewangan kini perlu berkembang daripada peranan pelaporan kepada pemacu penciptaan nilai dan tadbir urus strategik.

Katanya, profesion kewangan berperanan penting membantu organisasi mengurus risiko, mengagihkan sumber secara lebih cekap serta memperkukuh akauntabiliti dalam pengurusan harian.

“Pandangan itu turut disokong hasil penyelidikan kedoktorannya selepas menamatkan pengajian Doktor Falsafah (PhD) dalam bidang Perakaunan dan Kewangan dengan pengkhususan Percukaian di Management & Science University (MSU).

“Kajian yang meneliti amalan pengelakan cukai korporat dalam kalangan syarikat tersenarai awam Malaysia bagi tempoh 2021 hingga 2023 melibatkan 663 pemerhatian syarikat-tahun itu mendapati keuntungan, tahap leveraj dan saiz lembaga pengarah merupakan antara faktor utama yang mempengaruhi pengelakan cukai korporat.

“Penyelidikan itu turut menunjukkan pemilikan pengurusan mengukuhkan hubungan antara mekanisme tadbir urus tertentu dengan amalan pengelakan cukai, termasuk aspek saiz lembaga pengarah, penyertaan wanita dalam lembaga serta imbuhan pengarah,” katanya. 

Mengulas dapatan berkenaan, Abdul Ahad berkata, tadbir urus yang berkesan hanya dapat dicapai apabila kepimpinan, pemilikan dan akauntabiliti bergerak seiring.

“Apabila organisasi membuat keputusan secara lebih telus dan berdisiplin, kesannya bukan sahaja meningkatkan prestasi organisasi, malah memperkukuh keyakinan pelabur, mengukuhkan tanggungjawab fiskal serta memupuk kepercayaan masyarakat terhadap ekonomi,” katanya.

Beliau berkata, keyakinan terhadap institusi tidak dibina melalui dasar semata-mata, sebaliknya bergantung kepada kualiti keputusan yang dibuat setiap hari merangkumi aspek penganggaran, tadbir urus cukai, perolehan, kawalan dalaman, pengukuran prestasi dan penciptaan nilai jangka panjang.

Pandangan itu selari dengan penekanan yang dibawa pada Persidangan Akauntan Antarabangsa MIA 2026 bertemakan Future-Ready, Value-Driven, Trust-Centred, apabila Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan, menggariskan kepentingan profesion perakaunan dalam memperkukuh tadbir urus, disiplin fiskal dan pembangunan negara.

Abdul Ahad turut menyokong cadangan penubuhan Malaysian Management Accountants Association sebagai platform memperkukuh ekosistem perakaunan pengurusan negara serta memperluaskan peranan profesional kewangan dalam proses membuat keputusan strategik dan penciptaan nilai mampan.

“Kerjasama lebih erat antara industri, institusi pengajian tinggi, badan profesional dan sektor awam dapat melahirkan lebih ramai pemimpin kewangan yang mampu menyumbang kepada pengukuhan tadbir urus, daya saing ekonomi dan pembangunan negara,” katanya. –UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN