PUTRAJAYA: Indeks keterjaminan makanan Malaysia 2024 mencatatkan skor keseluruhan 61.5, meningkat berbanding 54.5 pada 2023, sekali gus menunjukkan tahap keterjaminan makanan negara berada pada prestasi yang baik.
Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr. Mohd. Uzir Mahidin berkata, peningkatan itu didorong terutamanya oleh dimensi Kebolehcapaian yang merekodkan skor tertinggi 79.9 berbanding 59.6 pada tahun sebelumnya. Ia diikuti dimensi Kestabilan dengan skor 54.6 (2023: 40.2), pengguna sebanyak 50.4 (2023: 48.5), manakala Ketersediaan mencatatkan 50.0 berbanding 54.3 pada 2023.
“Bagi dimensi kebolehcapaian, peningkatan ketara dipacu oleh skor inflasi kumpulan makanan yang melonjak kepada 84.1 daripada 30.3 pada 2023.
“Turut menyumbang ialah indikator jalan tidak berturap dengan skor 83.6 serta nilai gaji dan upah penengah bulanan sebanyak 81.9,” katanya dalam kenyataan.
Dalam pada itu, dimensi kestabilan turut menunjukkan prestasi lebih baik hasil peningkatan skor penggunaan per kapita kepada 77.5, selain faktor suhu maksimum dan suhu minimum yang masing-masing merekodkan skor 55.9 dan 51.4.
“Dimensi penggunaan pula meningkat kepada 50.4, didorong oleh penambahbaikan dalam kebanyakan indikator termasuk prevalens berlebihan berat badan dan obesiti kanak-kanak bawah lima tahun yang mencatatkan skor 78.0, diikuti jangkaan hayat ketika lahir (53.9) dan akses kepada sumber air (51.5).
“Bagaimanapun, dimensi ketersediaan merekodkan penurunan kepada 50.0 berbanding 54.3 pada tahun sebelumnya. Penurunan itu dipengaruhi oleh beberapa indikator utama seperti import dan eksport pertanian makanan, kerugian lepas tuai serta bekalan tenaga tersedia per kapita mengikut kumpulan makanan terpilih.
“Walaupun begitu, indikator bekalan tenaga tersedia per kapita masih mencatatkan skor tertinggi dalam dimensi berkenaan iaitu 58.7, diikuti eksport pertanian makanan utama (55.1) dan pengeluaran pertanian makanan utama (54.3),” katanya.
Menurut Mohd. Uzir, secara keseluruhan peningkatan skor Indeks Keterjaminan Makanan Malaysia 2024 mencerminkan usaha berterusan kerajaan dalam memperkukuh sistem makanan negara yang lebih berdaya tahan, mampan dan inklusif.
Beliau berkata, penyusunan indeks keterjaminan makanan kini menjadi amalan di pelbagai negara seperti Indonesia melalui Food Security and Vulnerability Atlas (FSVA), United Kingdom menerusi UK Food Security Index 2024, selain Kanada dan Australia yang turut menggunakan kerangka indikator bagi menilai daya tahan sistem makanan masing-masing.
Tambah beliau, Indeks keterjaminan makanan Malaysia merupakan inisiatif strategik yang akan menjadi rujukan penting dalam merangka dan memantau pelaksanaan Dasar Keterjaminan Makanan Negara 2030 serta Rancangan Malaysia Ketiga Belas (RMK13), di samping memperkukuh perancangan dasar berasaskan data dan bukti bagi memastikan sistem makanan negara kekal stabil, mencukupi dan mampan. – UTUSAN










