fbpx

Ramai ‘tukang buru’, populasi belangkas merosot

PENGUSAHA restoran sajian belangkas, Azizi Buyaman menunjukkan bekalan belangkas di Restoran Citarasa Belangkas di Kuala Linggi, Melaka. - UTUSAN/MUHAMMAD SHAHIZAM TAZALI

ALOR GAJAH: Kemerosotan belangkas di pantai sekitar Tanjung Dahan dan Kuala Linggi dekat sini bukan disebabkan pembangunan laut, sebaliknya harga dan permintaan tinggi di pasaran membuatkan orang ramai ’berlumba-lumba’ menangkap haiwan eksotik itu.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Pengarah Perikanan negeri, Mohd. Fauzi Salehon berkata, ini kerana tambakan laut di Kuala Linggi belum bermula dan kawasan paya bakau di sekitarnya juga belum terjejas.

Menurut beliau, kemerosotan tangkapan oleh nelayan mungkin disebabkan semakin ramai individu yang mencari hidupan laut itu kerana mempunyai harga dan permintaan memberangsangkan.

“Kalau diikutkan bahagian Kuala Linggi masih belum ada lagi pembangunan tambakan laut kerana yang banyak berlaku (tambakan) di Melaka Tengah. Tetapi di Linggi belum lagi dan kawasan paya bakau juga masih ada.

“Kalau nelayan kata masalah ini telah berlarutan sejak dua atau tiga tahun kebelangan ini, aktiviti tambakan laut memang tiada di kawasan itu. Jadi pada saya berkemungkinan masalah ini disebabkan semakin ramai yang menangkap belangkas.

“Belangkas semakin berharga kerana nilainya mencecah antara RM10 hingga RM20 seekor. Apabila permintaan tinggi, maka harga belangkas juga naik sekali gus mendorong orang ramai untuk mencarinya,” katanya ketika dihubungi.

Terdahulu Utusan Malaysia melaporkan, pantai sekitar Tanjung Dahan dan Kuala Linggi layak dipanggil ‘syur­ga belangkas’ suatu masa dahulu memandangkan rata-rata nelayan di lokaliti berkenaan menjadikan haiwan eksotik itu sebagai punca pendapatan lumayan.

Maka tidak hairanlah res­toran dan kedai makan di sekitar kawasan itu juga banyak menawarkan hidangan unik tersebut, memandangkan belangkas sememangnya mendapat permintaan tinggi dalam kalangan penggemarnya tersendiri.

Bagaimanapun saban hari, nelayan tempatan mendakwa populasi haiwan itu semakin merosot, lantas menjejaskan mata pencarian mereka.

Tambah Mohd. Fauzi, belangkas bukanlah komoditi utama seperti ikan kerana hidangan berasaskannya hanya digemari kelompok tertentu.

Bagaimanapun katanya, populasi belangkas harus dipelihara agar tidak pupus, namun setakat ini ia belum dikategorikan sebagai spesies terancam.

“Saya kena lihat semula masalah kekurangan sumber di Melaka. Di Jasin ada juga orang ambil belangkas, tetapi tiada masalah pun.

“Orang mula minat makanan eksotik, jadi ramai nelayan turut menangkap belangkas. Mungkin sebab itu tangkapan belangkas bagi setiap nelayan semakin berkurang kerana wujudnya persaingan,” jelasnya. – UTUSAN

Ikuti kami di saluran media sosial : Facebook, Twitter, Instagram, Youtube, Telegram & TikTok

BERITA BERKAITAN