Nabila Razali, matang dek kecaman - Utusan Malaysia

Nabila Razali, matang dek kecaman

Pertama kali bekerjasama dengan Amylea, Nabila mengakui Aku Terluka membawanya keluar dari zon selesa serta mempunyai keistimewaan khususnya daripada segi melodi dan lirik puitisnya.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

HAKIKATNYA bukan mudah bernafas sebagai seorang Nabila Razali. Ada sahaja yang tidak kena. Dia diibarat magnet kecaman, tidak boleh lari jauh. Baik atau buruk lakunya, tetap ada yang laju mengkritik.

Apatah lagi, vokal dan nyanyiannya sering kali menjadi topik perbualan segelintir netizen. Pelbagai kritikan daripada guru vokal tidak bertauliah membanjiri ruangan komen di media sosialnya.

“Saya tak boleh halang mereka memberi komen. Baik atau buruk, saya terima sahaja. Sehingga kini, kecaman itu datang bersilih ganti. Sudah-sudahlah. Bila saya release teaser, ramai yang teruja dan ramai juga yang mengata.

“Dunia nyanyian adalah cinta pertama saya. Apa pun yang orang cakap, kritik saya ambil peduli tetapi tidak sesekali sampai ke hati. Setiap kali saya lancarkan single baharu, percayalah itu adalah produk terbaik yang saya beri,” katanya.

Melancarkan lagu baharu, Aku Terluka baru-baru ini, sekali lagi wanita berusia 30 tahun ini menjadi sasaran segelintir netizen. Walau diperakui vokalnya semakin baik, namun ada sahaja yang tidak berpuas hati.

Maka tidak hairan, setiap kali dia naik ke pentas, pasti ada rasa gemuruh mengekori. Mungkin kerana setiap apa yang pernah berlaku termasuk insiden di pentas Anugerah Juara Lagu (AJL) Ke-35 memberi impak berbeza.

“Saya tak boleh menipu diri, judgement orang sentiasa bermain di fikiran. Macam-macam ada. Risau nyanyi tak sampai, terkucil. Kalau persembahan biasa pun saya gemuruh, apatah lagi di pentas besar.

“Selepas kejadian di AJL35, saya lebih berhati-hati. Saya cuba cari masa masuk kelas vokal. Perbaiki apa yang kurang. Berusaha untuk memberikan yang terbaik kepada peminat khususnya,” katanya.

Ditanya adakah dia masih dihantui trauma kegagalan menyanyi dengan baik di pentas AJL35, Nabila mengangguk setuju. Namun dia bulatkan semangat untuk cuba melangkah jauh dari episod hitam itu.

“Semestinya, trauma itu ada. Cuma tidak seteruk dulu. Saya cuba untuk membawa diri jauh dari kejadian itu. Tipu kalau saya boleh lupakan, tetapi sekurang-kurangnya saya belajar dari apa yang berlaku,” katanya.

AKU TERLUKA
Pertama kali berkolaborasi dengan komposer dan penyanyi, Amylea Azizan menerusi single baharunya, Aku Terluka, Nabila berkata, dia mahu mencuba sesuatu yang berbeza sesuai dengan kemampuan vokalnya.

Jelasnya, proses memilih material yang sesuai mengambil masa lama namun Aku Terluka mempunyai kekuatan dan keistimewaan yang membuatkan dia jatuh cinta tatkala pertama kali mendengarnya.

“Semestinya bila saya pilih lagu, ikut kemampuan vokal. Bila dengar Aku Terluka, seperti ada hook yang sangat kuat. Ini juga kali pertama saya berkerjasama dengan Amylea. Sesuatu yang lebih segar.

“Saya mahu keluar daripada zon selesa dan encabar diri untuk berkolaborasi dengan komposer lain. Amylea juga mengkaji suara serta vokal saya sebelum menghasilkan lagu. Bukan terus bagi lagu sahaja.

“Saya sangat berpuas hati dengan karya kali ini. Gandingan pertama dengan Amylea dan kerjasama berterus bersama MFMF selaku komposer bersama. Teruja sangat,” katanya yang juga seorang pelakon.

Menariknya, video muzik Aku Terluka yang dilancarkan Rabu lalu sekali lagi menampilkan, pelakon dan penyanyi rap, MK K-Clique yang sebelum ini juga pernah berkolaborasi dalam muzik video lagu, Peluang Kedua.

Menurut Nabila, pemilihan MK adalah bagi meneruskan jalan cerita untuk lagu Peluang Kedua yang selama ini menjadi tanda tanya peminat.

“Saya sengaja memilih MK sekali lagi untuk membintangi muzik video lagu baharu ini kerana sambutan luar biasa peminat terhadap lagu dan muzik video Peluang Kedua.

“Muzik video Aku Terluka menjawab pertanyaan ramai tentang pengakhiran mereka dalam lagu Peluang Kedua itu,” ujarnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN