Gelombang haba 'berbahaya' landa AS menjelang cuti umum

Gelombang haba ‘berbahaya’ landa AS menjelang cuti umum

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

WASHINGTON: Fenomena gelombang haba yang berpanjangan dan berbahaya diramal semakin memuncak di seluruh Amerika Syarikat (AS) minggu ini sekali gus membawa cuaca panas terik, kelembapan tinggi serta suhu malam yang membahang.

Menurut Perkhidmatan Cuaca Kebangsaan (NWS), dianggarkan sekitar 120 juta penduduk di seluruh negara kini diletakkan di bawah amaran cuaca panas melampau setakat Selasa, ketika warga AS bersiap sedia untuk menyambut cuti hujung minggu sempena Hari Kemerdekaan 4 Julai.

Di New York, Datuk Bandar Zohran Mamdani telah mengaktifkan pelan kecemasan haba dengan mengarahkan beratus-ratus pusat perlindungan cuaca panas dibuka di seluruh bandar raya itu bermula Rabu.

Dengan cuaca yang sangat panas, lokasi beberapa perlawanan Piala Dunia dikhuatiri mencatatkan indeks haba yang melebihi tahap yang dianggap tidak selamat untuk bermain oleh kesatuan pemain global Fifpro.

Cuaca paling panas juga dijangka berlaku di Texas, yang kebanyakannya akan memberi kesan kepada peminat yang bergerak menuju atau pulang dari stadium berhawa dingin di Houston dan Arlington.

Di Philadelphia, sebahagian Festival Peminat Piala Dunia FIFA pada hari Khamis dan Jumaat terpaksa dipindahkan ke khemah berhawa dingin.

Sementara itu di utara, sebahagian besar wilayah Kanada turut mula mengalami gelombang haba bermula Selasa, dengan suhu di Ontario dijangka mencecah sehingga 37 darjah Celsius.

Situasi di benua Amerika ini berlaku susulan gelombang haba awal musim panas luar biasa yang ‘membakar’ beberapa buah negara di Eropah baru-baru ini, sehingga menyaksikan rekod suhu tertinggi di benua berkenaan pecah.

Laporan cuaca meramalkan impak gelombang haba kali ini akan melanda kawasan yang luas, meliputi pantai timur AS sehingga ke wilayah tengah negara itu.

Suhu ekstrem yang berpunca daripada fenomena kubah haba ini dijangka memuncak di wilayah Midwest dan Lembah Mississippi menjelang Khamis, sebelum bergerak ke timur menuju Lembah Ohio dan Pantai Timur sepanjang hujung minggu ini.

Suhu sekitar 35 hingga 40.6 darjah Celsius yang bertembung dengan kadar kelembapan tinggi bakal melonjakkan indeks haba (suhu dirasai) antara 38 hingga 46 darjah Celsius.

NWS turut menjangkakan rekod suhu harian bagi hari Khamis dan Jumaat akan diatasi, malah ada kemungkinan rekod bulanan serta rekod tertinggi sepanjang zaman di beberapa kawasan akan turut dipecahkan.

Susulan ancaman cuaca ekstrem itu, pihak berkuasa menggesa penduduk di kawasan terjejas agar mengehadkan aktiviti di luar rumah, meminum air secukupnya serta memastikan mereka mempunyai akses kepada sistem pendingin hawa atau pusat perlindungan suhu. -AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN