IPOH: Permohonan representasi yang dikemukakan Nurhaswani Afni Mohamad Zorki, 42, untuk menarik balik pertuduhan melakukan kekerasan jenayah terhadap Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah ditolak pihak pendakwaan.
Perkara itu dimaklumkan Timbalan Pendakwa Raya, Nasrul Hadi Abdul Ghani ketika prosiding sebutan semula kes di hadapan Majistret Norizan Riduan di Mahkamah Majistret di sini hari ini.
“Bagi prosiding hari ini, seperti yang dimaklumkan semasa pengurusan kes sebelum ini, pihak pendakwaan menerima arahan untuk meneruskan pendakwaan selepas permohonan representasi yang dikemukakan pihak pembelaan dikaji dan diteliti.
“Permohonan representasi itu antara lain bertujuan memohon agar pertuduhan ditarik balik, namun arahan yang diterima adalah supaya pendakwaan diteruskan,” katanya.
Sementara itu, peguam bela yang mewakili tertuduh, Zulzarif Zakuan mengesahkan perkara yang dimaklumkan pihak pendakwaan.
“Pihak pembelaan mengesahkan apa yang telah dijelaskan oleh pihak pendakwaan sebentar tadi. Justeru itu, saya memohon mahkamah menetapkan satu tarikh, tetapan paling singkat untuk pengurusan kes ini ditetapkan terlebih dahulu,” katanya.
Norizan kemudian menangguhkan prosiding berikutan ketidakhadiran peguam bela utama, Datuk Naran Singh.
Mahkamah menetapkan 6 Julai depan sebagai tarikh sebutan semula bagi tujuan pengurusan kes.
Pada 8 September tahun lalu, Nurhaswani Afni didakwa telah melakukan kekerasan jenayah terhadap Sultan Nazrin di hadapan bangunan Dewan Bandaran Ipoh, Jalan Panglima Bukit Gantang Wahab di dalam daerah Kinta pada pukul 8.20 pagi, 31 Ogos 2025.
Bagi pertuduhan tersebut, dia didakwa mengikut Seksyen 352 Kanun Keseksaan yang jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara selama tempoh yang boleh sampai tiga bulan atau denda sehingga RM1,000 atau kedua-duanya.
Tertuduh mengangguk faham selepas pertuduhan dibacakan namun tiada penerimaan pengakuan direkodkan daripada wanita terbabit.
Pihak pendakwaan kemudian mengemukakan permohonan mengikut Seksyen 342 Kanun Tatacara Jenayah agar tertuduh dihantar untuk menjalani pemeriksaan mental.
Mahkamah kemudian memerintahkan tertuduh menjalani pemeriksaan kesihatan mental di Hospital Bahagia Ulu Kinta (HBUK), Tanjung Rambutan.
Sambutan Hari Kebangsaan 2025 Peringkat Negeri Perak yang diadakan di Jalan Panglima Bukit Gantang Wahab dikejutkan dengan kejadian seorang wanita menceroboh naik ke pentas utama dan cuba mendekati Sultan Nazrin.
Wanita itu pada awalnya dilihat masuk melalui bahagian tepi pentas utama dan berdiri di barisan belakang sebelum berlari ke arah Sultan Nazrin yang sedang berdiri memberi tabik hormat ketika lagu kebesaran negeri Perak sedang dimainkan.
Kejadian yang berlaku pada pukul 8.20 pagi itu bagaimanapun berjaya dihentikan pasukan keselamatan yang bertindak pantas menahan suspek. – UTUSAN










