KUALA LUMPUR: Walaupun memahami kesibukan penyanyi, Muss, yang kini memberi tumpuan menjaga isterinya di Unit Rawatan Rapi (ICU), pemain gitar Barbarik, JoBranko, yakin sahabatnya itu tetap akan memberikan komitmen penuh menjelang Konsert Biru Mata Hitamku: 30 Tahun Anniversary yang dijadual berlangsung September ini.
JoBranko atau Abdul Zamin Abdul Kadir, 57, berkata, sepanjang mengenali Muss sejak era 1990-an, penyanyi itu sentiasa menunjukkan tahap profesionalisme dan komitmen tinggi terhadap kerjayanya.
“Dia antara penyanyi yang sudah faham hala tuju muzik yang kami mahu bawakan. Bila kita bincang, dia sudah tahu apa yang perlu dilakukan.
“Muss sangat komited dan serius dengan apa yang dibuatnya. Mungkin pengalaman ketika menyertai program Muzik-Muzik dahulu memberi motivasi kepadanya untuk terus bangkit dan memberikan yang terbaik,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia pada sidang media konsert berkenaan, baru-baru ini.
Menurut JoBranko, dia turut teringat pujian yang pernah diberikan oleh Datuk Ramli MS terhadap kemampuan vokal Muss, terutama dalam membawakan lagu bernada tinggi.
“Kadang-kadang daripada kegagalan, kita boleh bangkit dan berjaya dengan lebih cemerlang. Saya masih ingat dalam satu program bersama Datuk Ramli MS, Muss ‘membayar balik’ dengan persembahan yang sangat hebat pada malam itu.
“Kita dapat lihat persembahannya memang berbeza daripada penyanyi lain. Dia lebih menyerlah kerana bahagian yang sukar itu memang Ramli sendiri tahu hanya Muss mampu membawakannya dengan baik.
“Sebab itu sehingga hari ini cara kerja Muss masih sama. Terus terang, kalau tiada Muss, agak sukar juga untuk kami bergerak membuat persembahan kerana kami memerlukan penyanyi yang benar-benar komited seperti dirinya,” katanya.
Konsert Biru Mata Hitamku: 30 Tahun Anniversary yang turut menampilkan Black dan Eddie sempena ulang tahun ke-30 lagu berkenaan di Mega Star Arena membuktikan kesungguhan Muss apabila penyanyi itu sudah membuat persediaan lebih awal.
“Sejak awal lagi dia sudah bertanya apa yang perlu dibuat dan bagaimana konsep persembahan nanti. Dia memang komited walaupun pada masa sama masih aktif bergerak sebagai penyanyi solo,” katanya.
Sementara itu, mengulas mengenai konsert tersebut, JoBranko berkata, dia tidak mahu meletakkan tekanan kepada Muss, Eddie mahupun Black kerana mahu semua anggota menikmati persembahan dengan suasana yang santai.
“Begitu juga dengan Eddie dan Black. Saya mahu mereka seronok berada di atas pentas. Kita tidak perlu memaksa diri untuk membuat persembahan seperti 30 tahun dahulu ketika masing-masing masih muda.
“Peminat hadir ke Konsert Biru Mata Hitamku untuk berhibur. Jadi, bersyukurlah dan jangan mengharapkan sesuatu yang berlebihan kerana kami semua sudah berusia dan tidak lagi seperti dahulu,” katanya.
Dalam pada itu, JoBranko berharap persembahan selama kira-kira dua jam itu nanti mampu memenuhi harapan peminat.
“Semangat yang diberikan penonton itulah yang menjadi sumber tenaga kepada kami untuk memberikan persembahan terbaik, walaupun masing-masing sudah meningkat usia,” katanya. -UTUSAN










