Cedera di wajah, saya tidak salahkan sesiapa- Zarif Ghazzi - Utusan Malaysia

Cedera di wajah, saya tidak salahkan sesiapa- Zarif Ghazzi

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Pelakon, Zarif Ghazzi mendedahkan dirinya mengalami kecederaan ringan pada bahagian muka ketika menjalani penggambaran drama Cela terbitan Viu Sabtu lalu.

Menurut Zarif, insiden itu berlaku ketika dia sedang melakonkan satu babak pada waktu malam apabila seorang daripada pelakon tambahan telah tersasar melakukan aksi menumbuk sehingga menyebabkan mukanya terkena hentakan dan mengalami pendarahan kecil.

Bagaimanapun, pelakon itu memuji tindakan pihak produksi yang mengutamakan aspek keselamatan apabila segera mencadangkan agar penggambaran dihentikan sementara.

“Ada satu pergerakan yang tersasar sehingga terkena sedikit pada muka saya. Sejurus kejadian berlaku, semua pihak termasuk pengarah dan penerbit terus meminta supaya penggambaran dihentikan dan disambung semula keesokan hari atau selepas keadaan saya benar-benar pulih.

“Namun sebagai pelakon, saya memang dahagakan rasa sebenar untuk disampaikan kepada penonton. Saya beritahu pengarah, ‘Bang, teruskan saja. Dah alang-alang kita habiskan babak ini.

“Alhamdulillah, selepas saya tengok semula hasil babak tersebut, saya rasa ia sangat berbaloi kerana emosi dan rasa yang dipaparkan memang lebih realistik,” katanya.

Mengulas tahap kecederaan dialami, Zarif berkata, luka tersebut hanyalah kecil dan tidak serius walaupun berlaku sedikit pendarahan pada bahagian pipi.

“Luka itu sebenarnya kecil sahaja. Ia memang tidak sepatutnya terkena, tetapi berlaku sedikit pendarahan. Saya mendapatkan pemeriksaan doktor dan mereka mengesahkan tiada kecederaan serius, cuma saya perlu berehat seketika.

“Selepas berbincang dengan pihak produksi, saya diberikan rehat selama tiga hari. Alhamdulillah, hari ini saya sudah kembali ke set penggambaran untuk menyambung kerja seperti biasa,” ujarnya.

Dalam pada itu, kata Zarif, kejadian itu menjadi peringatan buat dirinya agar tidak terlalu yakin ketika melaksanakan adegan aksi meskipun semua prosedur keselamatan telah dipatuhi.

“Babak itu sebenarnya bukan babak tumbuk betul. Pergerakan itu hanya seakan-akan menumbuk, tetapi memang tidak sepatutnya terkena. Kami juga bukan menjalani persiapan lagak ngeri yang rumit.

“Apa yang saya boleh katakan, produksi memang meletakkan prosedur keselamatan sebagai keutamaan.Namun, walau sehebat mana kita merancang untuk mengelakkan perkara tidak diingini, kalau sudah ditakdirkan sesuatu berlaku pada hari itu, ia tetap akan berlaku.

“Saya anggap ini sebagai satu pengajaran supaya jangan terlalu yakin ketika melakukan babak aksi. Keselamatan tetap perlu menjadi keutamaan.

“Saya juga langsung tidak menyalahkan sesiapa kerana ini memang satu insiden yang tidak dijangka. Sama seperti kita memandu kereta, walaupun sudah memakai tali pinggang keledar dan mematuhi segala langkah keselamatan, kalau ditakdirkan berlaku kemalangan, ia tetap boleh berlaku,”katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN