KUALA LUMPUR : Terpalit kontroversi berkaitan nama VE, Cham, Adeep, Hakim dan Fakhiz sepakat untuk mengundur diri daripada kumpulan tersebut biarpun telah bertungkus lumus memberikan yang terbaik sepanjang pembabitan mereka di pentas Gegar Vaganza musim kesembilan (GV9).
Mewakili kumpulan, kata Adeep, keempat-empat mereka bersetuju dengan keputusan tersebut kerana enggan meneruskan perbalahan yang tidak berkesudahan dengan anggota asal VE iaitu Zaf.
“Keputusan ini tidak mudah kami lakukan. Kami menahan segala emosi dan perasaan ini sejak 13 minggu lalu sewaktu terbabit di pentas GV.
“Saya berterima kasih kepada Zaf, Lah dan Cham kerana menjemput saya untuk bersama-sama dengan VE sejak 2018. Tapi hari ini saya dengan segala hormatnya umumkan keluar daripada VE dan tak nak ada kena-mengena dengan kumpulan itu lagi.
“Saya bersama-sama tiga sahabat saya ini telah berusaha sebaiknya di pentas GV, yang mereka kata ciplak, penipu ini,” katanya.
Adeep berkata demikian dalam satu sidang media yang diadakan di sini, hari ini.
Keputusan itu disokong oleh Cham, Fakhiz dan Hakim yang turut mengakui sudah memikirkan perkara ini semasak-masaknya.
Tambah Adeep, berikutan terlalu banyak memendam rasa selain terpalit kontroversi ini, dia juga memutuskan untuk tidak lagi bersahabat dengan Zaf dan menganggap itu adalah jalan penyelesaian terbaik.
“Saya sayangkan kumpulan VE ini dan apabila berpeluang beraksi bersama di pentas GV bersama Cham, Hakim dan Fakhiz, saya rasa kami semua telah memainkan peranan untuk sama-sama angkat jenama VE.
“Namun, akhirnya keputusan ini terpaksa dibuat kerana kami enggan menjadi racun kepada kumpulan ini. Jika orang dah tak suka, kita bawa diri keluar dari situ.
“Kita semua sudah dewasa dan matang. Masing-masing sudah jadi bapa, tak perlu bersikap kebudak-budakan,” katanya.
Terdahulu, Ketua kumpulan yang juga ahli asal VE iaitu Zaf memberi saranan agar anggota yang menggunakan nama terbabit dalam Gegar Vaganza 9 (GV9) supaya bergerak dengan menggunakan nama baharu.
Tindakan itu dilakukan bukan untuk mengeruhkan keadaan, sebaliknya bertujuan menjaga hubungan silaturahim antara mereka selain mengelakkan kekeliruan.
Kata Zaf atau nama penuhnya Zafri Nazarudin, keputusan itu diambil secara aman bagi menjaga hubungan silaturahim pada masa akan datang.
Zaf mendedahkan konflik dengan kumpulan VE sebelum ini tercetus selepas dia diminta untuk tidak mencampuri urusan mereka dalam GV9 sebelum pertandingan itu bermula.
Menurut Zaf dia sudah memaklumkan kepada ahli kumpulan bahawa tidak dapat memberi komitmen ketika itu kerana urusan keria dan bersetuju untuk Fakhiz menggantikannya buat sementara waktu di GV9.










