EAST RUTHERFORD: Final Piala Dunia 2026 bukan sahaja mencipta sejarah di atas padang, malah turut membuka lembaran baharu dalam dunia bola sepak apabila buat pertama kalinya menampilkan persembahan separuh masa bertaraf Super Bowl yang menghimpunkan barisan artis ternama antarabangsa.
Di hadapan lebih 80,000 penonton di Stadium New York New Jersey serta jutaan peminat yang menyaksikan siaran langsung di seluruh dunia, persembahan selama 12 minit itu berjaya mengubah suasana final bola sepak kepada sebuah pertunjukan hiburan bertaraf global.
Lebih istimewa, acara tersebut turut menampilkan dua legenda Brazil, Ronaldo dan Ronaldinho, selain pelakon siri popular Ted Lasso, Jason Sudeikis serta Brendan Hunt yang bersama-sama memeriahkan pentas bersejarah itu.
Madonna menjadi artis pertama mengambil alih pentas apabila dibawa masuk ke tengah padang menaiki buggy yang dipandu Ronaldo dan Ronaldinho sebelum menghiburkan penonton dengan lagu popularnya, Music.
Sorakan penonton terus bergema apabila persembahan diteruskan dengan segmen orkestra yang dikendalikan konduktor terkenal dunia, Gustavo Dudamel, menerusi lagu ikonik Seven Nation Army bersama barisan pemuzik dari Amerika Syarikat, Venezuela dan Iran.

Kumpulan sensasi K-pop, BTS kemudian mengambil alih pentas dengan mempersembahkan lagu hit mereka, Dynamite, yang diberikan sentuhan istimewa menerusi lirik bertemakan bola sepak dan semangat kesukanan sejagat.
Tidak lama kemudian, penyanyi Kanada, Justin Bieber menghiburkan penonton menerusi persembahan eksklusif lagu Everything Hallelujah yang mendapat sambutan hangat daripada peminat di stadium.
Kemuncak persembahan hadir apabila Shakira bergandingan dengan penyanyi Nigeria, Burna Boy untuk menyampaikan lagu tema rasmi Piala Dunia 2026, Dai Dai, yang turut diserikan persembahan penari profesional dari Uganda.
Gabungan muzik, tarian dan elemen kebudayaan dari pelbagai benua menjadikan persembahan itu antara yang paling berwarna-warni pernah disaksikan dalam sejarah kejohanan bola sepak dunia.
Dalam satu segmen penuh emosi, FIFA turut memberikan penghormatan kepada legenda Brazil, Pele menerusi tayangan rakaman ucapan terakhirnya di Stadium Giants pada 1977, lokasi yang kini menjadi tapak kepada Stadium MetLife.
Rakaman tersebut mengundang tepukan gemuruh penonton yang berdiri sebagai tanda penghormatan kepada pemain yang dianggap antara tokoh paling berpengaruh dalam sejarah bola sepak dunia.
Persembahan bersejarah itu kemudian ditutup dengan kemunculan kumpulan rock terkenal Britain, Coldplay bersama koir sekolah PS22 Chorus dari New York serta watak-watak ikonik The Muppets dan Sesame Street yang menceriakan suasana.
Menurut FIFA, penganjuran persembahan separuh masa itu bukan sekadar hiburan semata-mata, sebaliknya bertujuan menyokong FIFA Global Citizen Education Fund yang diwujudkan bagi memperluaskan akses pendidikan dan sukan kepada kanak-kanak kurang bernasib baik di seluruh dunia.
Dana tersebut menyasarkan kutipan sebanyak AS$100 juta (RM425 juta), dengan lebih AS$60 juta (RM255 juta) berjaya dikumpulkan setakat sebelum aksi final berlangsung, termasuk sumbangan AS$1 (RM4.25) daripada setiap tiket Piala Dunia yang dijual.
FIFA turut mengumumkan sebanyak 58 pertubuhan dari pelbagai negara akan menerima bantuan menerusi dana berkenaan yang dijangka memberi manfaat kepada kira-kira 400,000 kanak-kanak.
Dengan kejayaan persembahan separuh masa pertama dalam sejarah Piala Dunia itu, FIFA dilihat berjaya membawa dimensi baharu kepada kejohanan bola sepak paling berprestij dunia, sekali gus menggabungkan elemen sukan, hiburan dan kebajikan dalam satu pentas yang tidak akan dilupakan.-AGENSI










