Lima kru MV Berkat Tuah tiba di KLIA hari ini

Lima kru MV Berkat Tuah tiba di KLIA hari ini

LIMA kru kapal MV Berkat Tuah berjaya dibawa pulang ke Malaysia dengan dijangka tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) kira-kira pukul 8.30 pagi ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Lima kru kapal MV Berkat Tuah yang menjadi mangsa penganiayaan komersial lebih setahun di perairan Emiriah Arab Bersatu (UAE) berjaya dibawa pulang ke Malaysia, dengan dijangka tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) kira-kira pukul 8.30 pagi, hari ini.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Ketua Pengarah Laut Datuk Dickson Dollah berkata, usaha membawa pulang semua anak kapal itu berjaya dilaksanakan hasil kerjasama pelbagai pihak termasuk Pejabat Konsulat Malaysia di UAE, Kesatuan Kebang­saan Pelaut Semenanjung Malaysia (NUSPM) dan wakil Malaysia.

Menurutnya, pihak Jabatan Laut telah hadir ke Pejabat Konsulat Malaysia di UAE bersama beberapa wakil dari Malaysia ter­masuk NUSPM dan anak kapal MV Berkat Tuah bagi mengadakan rundingan secara terus dengan pihak berkuasa pelabuhan serta ejen di Hamriyah Port.

“Rundingan itu bertujuan me­mastikan segala urusan ber­kaitan repatriasi anak kapal dapat dilaksanakan serta-merta. Ini kerana isu pengabaian repatriasi anak kapal MV Berkat Tuah dan tunggakan gaji mereka te­lah melebihi had yang mampu ditanggung oleh pihak insurans.

“Malah, pertikaian komersi­al yang membabitkan kapal ini juga sangat kompleks dan memberi kesan secara langsung kepada pelbagai aspek statutori serta perlindungan insurans kapal,” katanya hari ini.

Sebelum ini, Utusan Malaysia melaporkan nasib lima kru kapal MV Berkat Tuah yang terus menunggu sinar kepulangan se­lepas hampir setahun terkandas di perairan UAE dengan gaji yang tertunggak.

Mereka ialah Mohamad Luq­man Yahaya, 31, dari Te­reng­­ganu; Mark Martin, 39, (Sarawak); Mohd. Shah Rizan Rahman, 33, (Sabah); Mohd. Fariduddin Muhamad Jainudin, 26, (Sabah) di samping kapten, Hendi Irawan, 43.

Syarikat pengendali dan pemilik kapal MV Berkat Tuah terdahulu didakwa menjadi mang­sa penganiayaan komersial.

Penderitaan dialami disebab­kan syarikat pengendali ber­de­pan kekangan dana meruncing.

Krisis berpunca daripada tindakan sebuah syarikat berpangkalan di Singapura yang menahan kapal itu dan mengingkari perintah mahkamah berhubung liabiliti kewangan.

Dalam pada itu, Dickson berkata, pemilik kapal turut dihubungi secara mandatori pada hari yang sama supaya segera menyediakan semua keperluan bagi proses pertukaran anak kapal termasuk pembaharuan perlindungan sekuriti pelaut.

“Jabatan Laut tidak akan ber­kompromi atau berdolak-dalik dalam isu penangguhan kepulangan anak kapal dan pembayaran gaji mereka.

“Tindakan tegas serta punitif akan dikenakan terhadap semua pihak yang mempunyai liabiliti tetapi terus-menerus menindas pelaut Malaysia,” katanya.

Dalam pada itu, Setiausaha NUSPM, Ikmal Azam Thanaraj Abdullah berkata, pihak bersyukur dan berharap perkara tersebut tidak berlaku lagi di masa hadapan terutama melibatkan kru-kru kapal dari negara ini. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN