Sama ada di rumah, pasar raya, pejabat mahu pun di laman sosial rata-rata mengeluh harga barang meningkat hingga ada yang terpaksa mencatu perbelanjaan harian.
Keadaan bertambah buruk dengan kenaikan Kadar Dasar Semalaman (OPR) kepada 2.75 peratus pada awal bulan ini.
Kenaikan OPR itu merupakan yang keempat tahun ini bermula Mei, Julai dan September lalu.
Walaupun inflasi tidak dapat dielakkan, namun perubahan kecil dalam tabiat harian dilihat mampu mengurangkan kos sara hidup tanpa menjejaskan kualiti kehidupan seseorang. Berikut antara tipsnya:
1. Rancang keperluan makanan dan barang dapur
Mulakan amalan memasak di rumah. Sediakan menu secara mingguan untuk menjimatkan masa dan wang. Sebelum ke kedai, senaraikan dahulu barangan diperlukan. Bagi individu bujang anda disarankan berkongsi membeli barangan dapur dengan rakan serumah untuk mengelak pembaziran.
2. Bawa bekal ke pejabat
Kos makan tengah hari di pejabat mungkin melebihi RM10 sehari tidak termasuk minuman. Dengan membawa bekal, anda bukan sahaja dapat mengurangkan perbelanjaan, malah mampu menikmati menu lebih segar dan berkhasiat.
3. Sediakan makanan sejuk beku
Masak siap-siap hidangan untuk tempoh seminggu misalnya dan kemudian disejuk beku. Langkah ini memudahkan para ibu menyiapkan makanan untuk keluarga dalam masa singkat di sebalik kesibukan kerja.
4. Jimat tenaga elektrik
Amalan mudah seperti mematikan suis dan mencabut plag yang tidak digunakan mampu memberi perubahan ketara pada bil elektrik. Untuk lebih penjimatan tenaga, tukar peralatan lama kepada baharu. Walaupun kos permulaan untuk membeli peralatan baharu agak tinggi, namun ia dapat mengurangkan kos penggunaan elektrik di rumah.
5. Kurangkan kos pengangkutan
Manfaatkan pengangkutan awam untuk ke pejabat jika berdepan perbelanjaan petrol, tol, parkir dan penyelenggaraan berkala kereta yang tinggi. Selain menjimatkan wang, anda juga dapat mengurangkan tekanan akibat bersidai lama di dalam kesesakan lalu lintas pada waktu puncak.
6. Tumpang kereta
Jika pasangan atau teman serumah anda bekerja di syarikat sama atau berdekatan, anda disarankan menumpang kenderaan. Lakukan secara bergilir-gilir sama ada kereta anda mahu pun rakan.
7. Gosok baju dalam kuantiti banyak
Menggosok baju dalam kuantiti banyak secara sekali gus dapat mengurangkan kekerapan penggunaan seterika. Langkah ini juga dapat menjimatkan tenaga elektrik di rumah anda.









