Ibu bapa stress burukkan lagi ekzema anak - Utusan Malaysia

Ibu bapa stress burukkan lagi ekzema anak

Lai Oi Ming bergambar bersama anaknya Min Ho.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Ibu bapa perlu bertenang membesarkan anak ekzema kerana stress bukan saja boleh memberikan kesan buruk kepada diri mereka sendiri tetapi juga anak terbabit.

Kanak-kanak akan rasa persekitarannya tidak selamat dan terancam apabila melihat ibu bapa mereka berada dalam keadaan tertekan atau kemurungan. Ini sekaligus akan menyebabkan ekzema mereka lebih teruk.

Pakar Psikologi Klinikal, Hospital Pengajar Universiti Putra Malaysia (UPM), Yasmin Hanani, berkata biasanya kanak-kanak akan menderita lebih teruk akibat tekanan berbanding orang dewasa.

“Berdasarkan garis panduan National Eczema Society, kitaran stress boleh berlaku dalam keluarga sekiranya ia tidak dikawal dengan baik dan stress adalah punca utama ekzema makin teruk. Memang bukan semua stress tidak baik. Kalau kita selalu sebut stress hari-hari, ini memang negatif tetapi stress yang baik akan mendorong kita melakukan sesuatu dengan lebih berkesan.

“Ibubapa perlu tahu petanda anak stress iaitu apabila mereka lebih suka bersendirian, enggan bercampur atau bermain dengan kanak-kanak lain atau tiada selera makan. Mereka mudah buat hal atau secara tiba-tiba menangis dan mengamuk dan membaling barang-barang yang ada di sekitar mereka,” katanya pada program Ekzema dan Kesihatan Mental di Hospital Pengajar UPM, baru-baru ini.

Kanak-kanak yang stress juga boleh mengalami masalah tumpuan di sekolah kerana tidur mereka biasanya terganggu disebabkan menggaru kulit yang kering dan gatal sehingga berdarah. Secara tidak langsung ia akan menganggu pembelajaran mereka.

Kanak-kanak juga boleh stress sekiranya tidak bebas bermain seperti kanak-kanak lain. Ramai ibubapa terlalu bimbang dengan kesihatan anak sehingga mereka terpaksa berkurung di rumah.

KEMURUNGAN BOLEH BERJANGKIT
Stress keterlaluan boleh menyebabkan kemurungan yang boleh berjangkit kepada ahli keluarga lain.

Pakar Psikiatrik Hospital Pengajar UPM, Dr. Chong Seng Choi, berkata, perasaan sedih adalah normal tetapi jika berpanjangan sehingga lebih dua minggu, itu tanda seseorang mengalami kemurungan.

“Ia boleh menyebabkan seseorang cepat marah dan hilang minat pada rutin harian selain rasa diri malang,” katanya.

Kemurungan menyebabkan hilang selera makan, mudah menjadi letih, sukar untuk fokus dengan kerja atau aktiviti dan sering mengalami masalah pencernaan berpanjangan. Bila stress cortisol dalam badan akan naik dan imun sistem akan lemah.

Dr. Chong berkata ramai yang risau hendak mendapatkan rawatan daripada doktor psikiatrik kerana tidak mahu dianggap sakit mental dan takut perlu makan ubat seumur hidup.

Hakikatnya ubat perlu untuk menstabilkan kimia di dalam otak dan bila baik, tidak perlu lagi makan ubat.

“Kegelisahan atau anxiety menyebabkan penghidapnya mengalami serangan panik, seolah-olah dunia akan berakhir. Tiba-tiba rasa sesak nafas, rasa nak pitam dan seakan hampir mati. Perasaan pula resah, kebas, sejuk tangan, mulut kering, otot rasa ketat dan jantung menjadi laju tapi bila pemeriksaan kesihatan dijalankan, tidak ada penyakit.

“Tabiat hidup punca utama masalah kemurungan dan stress. Bagi menghilangkan stress, amalkan tidur mencukupi, bersenam, makan makanan sihat dan pastikan ada masa untuk bersendirian,” katanya.

‘Berjaga malam, murung’
Pengasas dan Penasihat Malaysia Eczema Support Community (MESC), Prof. Dr. Lai Oi Ming, berkata membesarkan anak mengalami ekzema selain menjaga ayah yang sakit cukup memeritkan sehingga beliau mengalami kemurungan.

Anaknya Min Ho yang dilahirkan pada tahun 2013 selepas lima tahun berkahwin merupakan anak yang dinantikan kelahirannya. Namun, runtun hati Dr. Lai bila anaknya yang baru berusia tiga bulan disahkan mengalami ekzema.

“Sukar saya hendak terima kenyataan itu sebab dalam keluarga saya, tiada seorang pun ada ekzema. Masa usia sebulan, saya perasan pipinya merah, merekah dan mengelupas.

“Di sebelah malam, saya jaga dia sebab Min Ho akan menggaru sehingga cadarnya terkena darah. Keadaan itu menyebabkan saya jadi kemurungan dan menangis. Suami kata keadaan itu tidak membantu dan meminta saya buat sesuatu. Masa itu baru saya tersedar,” katanya.

Sejak itu beliau menghabiskan masa selama dua tahun mencari maklumat mengenai ekzema dengan membaca jurnal perubatan untuk memahami penyakit kulit itu. Beliau dapati lebih tenang dirinya, ekzema Min Ho semakin berkurangan.

Menyedari kurangnya kesedaran ramai mengenai ekzema, beliau mengasaskan MESC pada 2018 bersama pakar dermatologi lain.

Setiap tahun, MESC menganjurkan bengkel kesedaran untuk ibu bapa.

Dr. Lai berkata kekurangan kesedaran menyebabkan ibu bapa berdepan tekanan sehingga ada pasangan yang berpisah, anak pula diminta pindah sekolah semata-mata kerana ekzema selain dilayan dengan tidak seimbang di taska.

Min Ho kini sudah berusia 9 tahun dan hampir pulih sepenuhnya.

“Jika ditanya, dia tidak ingatpun apa yang dilaluinya sebelum ini. Jangan biarkan ekzema menghentikan anda daripada menjalani kehidupan normal,” katanya.

Sementara itu, Ahli Farmasi, Lee Yeen Ling, berkata, ekzema berlaku apabila sistem imun terlalu aktif dan hipersensitif disebabkan oleh genetik dan persekitaran.

Ibu bapa perlu mengenalpasti punca sebenar yang boleh mencetuskan ekzema anak seperti pencuci lantai, sabun mandi, makanan atau haiwan peliharaan.

Buat diari makanan untuk mengetahui jenis makanan yang boleh memburukkan lagi ekzema anak.

Jika anak alah pada habuk atau haiwan peliharaan, pastikan rumah sentiasa bersih dan tidak terlalu sejuk atau panas.

“Teknologi kini membolehkan ujian alahan dibuat untuk mengesan punca alahan anak.

“Bagaimanapun, alahan ini boleh hilang atau bertukar mengikut masa,” katanya.

Ibu bapa boleh melembabkan kulit anak setiap dua hingga empat jam sehari.

Pilih pelembab sesuai untuk kulit mereka dan bebas pewangi.

“Tiada produk yang terbaik di pasaran kerana ia bergantung kepada anak sendiri,” katanya yang turut menggalakkan anak membawa krim ke sekolah kerana waktu sekolah adalah panjang.

“Ajar mereka cara menyapu krim. Nasihatkan mereka supaya tidak garu bahagian yang gatal kerana ia berisiko menyebabkan jangkitan.

“Jangan risau hendak sapu krim steroid kerana ia bukannya musuh sepanjang masa. Kalau perlu, jangan takut sapu pada bahagian yang kering dan gatal,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN