Seringkali kita dengar ibu bapa atau penjaga mengesan benjolan pada bahagian ari-ari dan kadang-kala hingga ke skrotum (kantung buah zakar) anak lelaki mereka sewaktu ingin memandikan atau menukar lampin mereka.
Benjolan ini menjadi lebih ketara apabila anak mereka menangis atau meneran, tetapi hilang apabila mereka berada dalam keadaan rehat dan baring. Penyakit ini dikenali sebagai angin pasang atau istilah perubatannya inguinal hernia.
Menurut Pakar Bedah Kanak-kanak Hospital Pakar KPJ Puteri, Dr. Mohd. Razali Zakaria, angin pasang terjadi kerana terdapat bukaan pada bahagian ari-ari individu.
Bukaan ini pada asalnya adalah laluan untuk testis (buah zakar) turun ke dalam skrotum.
Ia akan tertutup secara semula jadi apabila testis turun ke dalam skrotum sebelum atau selepas bayi dilahirkan sehingga usia enam bulan.
“Namun lubang yang masih terbuka membolehkan organ di bahagian abdomen seperti usus atau selaput lemak (omentum) turun memasuki lubang tersebut apabila terdapat tekanan bahagian dalam ronnga perut (abdomen) dengan sebab menagis atau meneran atau mengikut daya graviti semasa berdiri,” jelasnya.
Dianggarkan lima peratus daripada kanak-kanak lelaki akan mendapat angin pasang. Ia boleh berlaku pada semua peringkat umur tetapi lebih banyak menunjukkan tanda-tanda pada usia di bawah satu tahun dan peratusan yang lebih tinggi untuk bayi pra-matang.
TAK SAKIT TAPI TAK SELESA
Angin pasang boleh terjadi pada sebelah atau kedua-dua belah bahagian ari-ari dan boleh juga berlaku dalam kalangan kanak-kanak perempuan tetapi bilangannya sangat kecil.
Kata Dr. Mohd. Razali, bagi kanak-kanak perempuan, organ yang biasa termasuk ke dalam kantung hernia adalah ovari.
“Angin pasang tidak menyebabkan kesakitan tetapi boleh memberi rasa tidak selesa kepada pesakit jika saiznya terlalu besar. Ini kerana organ di dalam kantung hernia bebas masuk dan keluar daripada kantungnya mengikut aktiviti dilakukan pesakit (benjolan timbul dan surut).
“Walaubagaimanapun, ia perlu dirawat secepat mungkin secara pembedahan, tidak kira peringkat umur kerana komplikasi boleh berlaku di mana organ yang keluar dan masuk itu boleh tersekat atau tersumbat dalam kantung,” ujarnya.
Angin pasang yang tersumbat menyebabkan rasa sakit, kembung perut dan muntah.
Ketidak selesaan itu menyebabkan ibu bapa perlu membawa anak mereka segera mendapatkan rawatan.
Paling ditakuti sekiranya bekalan darah pada organ yang tersumbat akan terhenti.
Situasi berkenaan boleh menyebabkan bahagian yang tersumbat itu mati dan keadaan akan menjadi lebih serius.
Dr. Mohd. Razali berkata, satu lagi keadaan yang hampir sama dengan angin pasang ialah angin pasang berair (hydrocele). Bezanya ialah pada kandungan di dalam kantungnya iaitu cecair dari peritoneum (rongga abdomen).
“Doktor dapat membezakan angin pasang dan angin pasang berair melalui pemeriksaan kerana benjolan pada angin pasang berair tidak dapat ditolak masuk ke dalam rongga abdomen berbanding angin pasang. Kebanyakan angin pasang berair pada kanak-kanak yang berumur kurang dua tahun tidak memerlukan pembedahan kerana benjolan ini boleh hilang dengan sendiri. Selepas daripada umur dua tahun, jika hydrocele berterusan, adalah dinasihatkan untuk menjalani pembedahan mengeluarkan cecair tersebut,” katanya.
Sementara itu, pembedahan untuk angin pasang dan angin pasang berair adalah pembedahan kecil.
Ia boleh dibuat secara kes bedah harian jika pesakit tidak mempunyai masalah kesihatan yang lain.
Proses penyembuhan adalah cepat dan kadar komplikasi pembedahan adalah rendah.










