Chuah jadi hab ekonomi baharu

Chuah jadi hab ekonomi baharu

YEW Boon Lye bertemu orang ramai semasa berkempen sempena PRN Negeri Sembilan di sekitar Chuah, Port Dickson. - UTUSAN/MOHD. SHAHJEHAN MAAMIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PORT DICKSON: Kawasan Chuah di sini dijangka muncul sebagai antara hab pertumbuhan ekonomi baharu di Negeri Sembilan menerusi pelaksanaan dua projek utama iaitu pembangunan kawasan industri halal dan taman perindustrian di bawah Malaysia Vision Valley (MVV) 2.0.

Pelaksanaan kedua-dua projek itu bukan sahaja dijangka menarik kemasukan pelaburan baharu malah berpotensi mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan serta merancakkan aktiviti ekonomi dan perniagaan setempat.

Limpahan ekonomi yang bakal terhasil juga mampu meningkatkan taraf sosioekonomi penduduk di Chuah dan kawasan sekitarnya sekali gus memperkukuh kedudukan Port Dickson sebagai antara pusat pertumbuhan ekonomi utama di negeri ini.

Calon Pakatan Harapan (PH) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Chuah, Datuk Yew Boon Lye berkata, pelaksanaan kedua-dua projek pembangunan berskala besar itu bakal membawa manfaat kepada penduduk tempatan khususnya dalam aspek peluang pekerjaan dan pembangunan ekonomi.

YEW BOON LYE

Menurutnya, pembangunan di Chuah pada masa hadapan banyak bergantung kepada kejayaan projek hab halal di Tanah Merah serta pembangunan taman perindustrian yang sedang dirancang itu.

“Saya melihat masa depan pembangunan Chuah bergantung kepada dua projek utama ini. Pertamanya adalah hab industri halal di Tanah Merah yang akan berkembang dari kawasan Bandar Enstek yang kini sudah mencapai kapasiti.

“Keduanya adalah pembangunan taman perindustrian seluas 483 hektar oleh EcoWorld dengan kerjasama NS Corporation.

“Apabila kedua-dua projek ini mula beroperasi, ia akan membuka lebih banyak peluang pekerjaan dan perniagaan kepada penduduk tempatan khususnya golongan belia.

“Saya percaya pembangunan ini juga mampu menarik anak-anak muda yang berhijrah untuk kembali ke kampung halaman kerana mereka bukan sahaja dapat mencari rezeki di sini malah berpeluang tinggal lebih dekat dengan ibu bapa dan keluarga.

“Limpahan pembangunan menerusi MVV 2.0 kelak akan benar-benar membuka potensi kawasan Chuah ini ditambah kedudukannya yang strategik iaitu berhampiran dengan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di Sepang,” katanya.

Sementara itu, Boon Lye berkata, meskipun tumpuan diberikan kepada pembangunan kawasan perindustrian, kebajikan penduduk yang bergantung kepada sektor pertanian dan perikanan di Chuah tetap menjadi keutamaan.

Katanya, pelbagai bentuk bantuan dan sokongan terus disalurkan kepada golongan petani menerusi Jabatan Pertanian bagi memastikan mereka tidak tercicir daripada arus pembangunan.

PEMBANGUNAN di sekitar Bukit Pelandok juga dijangka akan rancak selepas beberapa projek utama dilaksanakan di DUN Chuah.

“Pegawai Jabatan Pertanian kerap turun padang ke kawasan ini untuk memberikan khidmat nasihat serta bantuan kepada petani supaya mereka turut menikmati manfaat daripada pembangunan yang sedang dilaksanakan.

“Bagi golongan nelayan pula, persatuan nelayan di sini memainkan peranan yang aktif di samping menerima bantuan daripada Jabatan Perikanan dan Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM),” katanya.

Dalam pada itu, beliau menegaskan pembangunan perindustrian yang dirancang tidak boleh mengorbankan aspek pemeliharaan alam sekitar.

Menurutnya, kerajaan negeri tidak akan berkompromi terhadap sebarang aktiviti yang boleh membawa kepada pencemaran termasuk seperti insiden pembuangan sisa kimia yang berlaku di Bukit Pelandok pada tahun 2024.

“Dalam hal ini memang kita memerlukan kerjasama daripada semua penduduk juga, kita mungkin tak dapat masuk ke semua kawasan. Oleh itu laporan-laporan daripada penduduk adalah sangat penting.

“Seperti isu pembuangan bahan kimia tersebut, itu pun saya terima laporan terlebih dahulu daripada penduduk. Saya lihat kerjasama semua pihak termasuk di peringkat komuniti adalah sangat penting.

“Setakat ini penduduk memainkan peranan yang cukup baik jika berlaku apa-apa mereka cepat sampaikan maklumat kepada saya,” katanya.

Menjelang hari pengundian Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan pada 1 Ogos ini, Boon Lye berharap diberi sekali lagi mandat oleh pengundi untuk meneruskan khidmat dan agenda pembangunan di kawasan tersebut.

Menurut beliau, tempoh pentadbiran kerajaan negeri sejak 2018 telah membuktikan kemampuan PH membawa perubahan ketara khususnya dalam aspek pengurusan kewangan, tadbir urus serta pelaksanaan dasar yang memberi manfaat secara langsung kepada rakyat.

“Sejak tahun 2018, kita dapat melihat perubahan yang besar terutama daripaa segi pengurusan kewangan dan pentadbiran kerajaan negeri. Banyak program serta inisiatif yang membantu rakyat telah berjaya dilaksanakan,” katanya.

Beliau berkata, rekod pencapaian sepanjang mentadbir negeri serta manifesto yang baru dilancarkan wajar dijadikan asas pertimbangan pengundi dalam membuat pilihan pada hari pengundian nanti.

“Saya menyeru seluruh penduduk di DUN Chuah supaya menggunakan kebijaksanaan dalam menentukan masa depan negeri ini.

“Keluarlah mengundi beramai-ramai dan berikan sokongan kepada PH agar kesinambungan pembangunan, kestabilan pentadbiran serta kesejahteraan rakyat Negeri Sembilan dapat diteruskan,” katanya. – UTUSAN

KENALI CALON

PROFIL CALON PH DUN CHUAH

Nama: Datuk Yew Boon Lye

Umur: 55 tahun

Bermastautin: Bukit Pelandok, Port Dickson

Pendidikan: Sarjana Pentadbiran Perniagaan, Hsing Wu University, Taiwan

Kerjaya: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Chuah

Jawatan politik:

Naib Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri (MPN) Keadilan Negeri Sembilan

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN