Manfaat pembangunan perlu dirasai penduduk kawasan Pilah

Manfaat pembangunan perlu dirasai penduduk kawasan Pilah

NOORZUNITA Begum Mohd. Ibahim ketika berkunjung ke sebuah rumah penduduk kampung pada sesi walkabout di sekitar Kampung Tanjong Jati, Kuala Pilah. – UTUSAN/ISKANDAR ISHAK
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA PILAH: Pembangunan yang dirancang di Kuala Pilah perlu dirasai sehingga ke kawasan kampung supaya manfaatnya dapat dinikmati seluruh penduduk tanpa mengira lokasi.

Calon Pakatan Harapan (PH) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Pilah, Datuk Noorzunita Begum Mohd. Ibrahim berkata, pelaksanaan projek pembangunan bukan hanya memberi wajah baharu kepada daerah itu, malah bertujuan meningkatkan kesejahteraan masyarakat da­lam jangka masa panjang.

Katanya, usaha tersebut perlu diteruskan agar Kuala Pilah terus berkembang seiring de­ngan daerah-daerah lain di Ne­geri Sembilan.

“Pelbagai projek yang dilaksanakan sejak 2018 telah memberi kesan positif kepada kehi­dupan penduduk.

NOORZUNITA BEGUM MOHD. IBRAHIM

“Kalau kita masuk ke kampung-kampung, hampir semua jalan telah diturap. Kerja penurapan jalan kampung dan penyelenggaraan jalan di bawah seliaan pihak berkuasa tempatan (PBT) banyak membantu meningkatkan kemudahan kepada penduduk,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Menurut Noorzunita, pembangunan tidak boleh tertumpu kepada aspek fizikal semata-mata, sebaliknya pendidikan, ekonomi, kesihatan dan kebajikan perlu diperkasakan supaya rakyat menikmati pembangunan secara menyeluruh.

Beliau berkata, usaha memperluaskan peluang pekerjaan penting bagi memastikan lebih ramai anak muda dapat terus bekerja di Kuala Pilah.

“Pembangunan ekonomi per­lu bergerak seiring dengan pe­nyediaan peluang pekerjaan agar golongan muda tidak perlu berhijrah ke kawasan lain.

“Jika diberi mandat, saya mahu akses kepada kemudahan pendidikan terus dipertingkatkan bagi membantu anak-anak memperoleh sumber pembelajaran yang lebih baik,” katanya.

Dalam pada itu, Noorzunita berkata, isu kadar sewa tapak yang didakwa membebankan peniaga kecil di sekitar Kuala Pilah akan diberi perhatian serius.

NOORZUNITA Begum Mohd. Ibahim ketika sesi walkabout di sekitar Kampung Tanjong Jati, Kuala Pilah.

Beliau berkata, perkara itu merupakan antara aduan yang paling kerap diterimanya sepanjang tempoh berkempen ketika turun padang bertemu rakyat di pelbagai lokasi.

Katanya, aduan sama sekali lagi dibangkitkan ketika beliau mengadakan sesi walkabout di Pasar Malam Melang apabila ramai peniaga meluahkan kebimbangan mengenai kadar sewa tapak yang disifatkan agak tinggi.

“Isu berkenaan bukanlah per­kara baharu, malah telah beberapa kali disuarakan oleh peniaga sejak siri kempennya bermula.

“Sejak turun berkempen dari hari pertama lagi, saya menerima banyak maklum balas daripada peniaga mengenai perkara ini. Apabila saya ke Pasar Malam Melang, aduan yang sama sekali lagi dibangkitkan.

“Ini menunjukkan isu tersebut benar-benar memberi kesan kepada mereka dan bukan sekadar aduan terpencil,” katanya.

Menurut beliau, golongan pe­niaga kecil merupakan antara tulang belakang ekonomi tempatan kerana bukan sahaja menyediakan peluang pekerjaan, malah menjadi penggerak kepada aktiviti ekonomi harian di kawasan Pilah.

“Sebarang penyelesaian per­lu mengambil kira kebajikan peniaga tanpa mengabaikan ke­perluan pihak berkuasa tem­patan dalam menguruskan kemudahan awam.

“Pendekatan terbaik adalah mendapatkan pandangan se­mua pihak sebelum sesuatu ke­putusan dibuat agar penyelesaian yang dicapai bersifat menang-menang,” katanya.

Mengulas mengenai pendekatannya sebagai wakil rakyat, Noorzunita berkata, beliau akan terus memberi perhatian kepada semua lapisan masyarakat tanpa mengira kaum.

Ini kerana katanya, Kuala Pilah mempunyai masyarakat yang hidup harmoni dan setiap suara rakyat perlu dibawa kepada kerajaan untuk mencari penyelesaian terhadap isu yang dihadapi.

Beliau turut mengakui caba­ran untuk mempertahankan ke­rusi DUN Pilah dalam persai­ngan satu lawan satu oleh calon Barisan Nasional (BN) bukanlah sesuatu perkara yang mudah dan boleh dipandang ringan.

Namun, beliau bertekad un­tuk terus mempergiatkan ge­rak kerja turun padang dengan menyantuni penduduk di sekitar Pilah bagi sokongan dan men­dapatkan mandat rakyat.

Tambah beliau, persefahaman antara BN dan Perikatan Nasio­nal (PN) merupakan keputusan parti masing-masing manakala fokus beliau adalah meyakinkan rakyat supaya terus memberi kepercayaan kepada PH.

“Saya yakin PH mampu te­rus menerajui Negeri Sembilan sekiranya rakyat memilih sebuah kerajaan negeri yang stabil yang terus membawa suara rakyat dan meneruskan agenda pembangunan demi kesejahtera­an masyarakat,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN