Dalam PRU kemenangan bukan segala-galanya – Faizal Azumu - Utusan Malaysia

Dalam PRU kemenangan bukan segala-galanya – Faizal Azumu

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MUKADIMAH

BULAN Oktober yang penuh debaran. Disebalik pembentangan Bajet 2023, angin Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) bertiup kencang dan semua mata tertumpu kepada soal calon dan parti yang bakal bertanding.
Dalam masa sama, barisan menteri yang dipertanggungjawab menjaga portfolio masing-masing cuba sehabis baik mengekalkan prestasi kementerian disebalik bahang PRU15 yang kian terasa.
Tidak terkecuali, Menteri Belia dan Sukan, DATUK SERI AHMAD FAIZAL AZUMU yang juga Timbalan Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).
Wartawan Mingguan Malaysia, MOHAMAD HAFIZ YUSOFF BAKRI menemuramah beliau bagi mendapatkan perspektifnya. Turut membantu jurugambar, FARIZ RUSADIO.

HSN TETAP DITERUSKAN

MINGGUAN MALAYSIA: Penganjuran Hari Sukan Negara (HSN) 2022 semalam dijangka menjadi acara terakhir sebelum Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15). Apakah yang Datuk Seri boleh simpulkan terhadap HSN kali ini?
AHMAD FAIZAL: Kalau pun bertukar menteri, Hari Sukan Negara (HSN) tetap diteruskan pada masa akan datang dan kita mahu sentiasa menambah baik HSN. Sekarang ini pun kita sudah perkenalkan Karnival SMILE di seluruh negara. Program ini adalah satu usaha untuk kita melibatkan kementerian dan agensi lain bagi mendekati pelbagai golongan terutama belia.
Hasrat kita mahu menggunakan sukan sebagai medium untuk mengadakan pelbagai program lain termasuk program peningkatan kemahiran (upskiling) dan pembentukan semula kemahiran (reskilling) golongan belia terutamanya.
Apabila sudah ramai orang datang, kita boleh panggil Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) sebagai contoh untuk tunjukkan bahaya penyalahgunaan dadah atau Polis Diraja Malaysia (PDRM) tentang keselamatan dan jenayah.

Kemelesetan ekonomi dijangka berlarutan sehingga tahun depan. Adakah Kementerian Belia dan Sukan (KBS) akan menstruktur semula program sebelum ini dengan mengikut situasi semasa?
Kalau menurut arahan daripada Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan Kementerian Kewangan, kita memang mengamalkan langkah-langkah penjimatan. Akan tetapi kalau hendak bercakap mengenai masalah ekonomi dan dalam masa sama kita hentikan terus budaya hidup sihat, itu tidak wajar.
Sebenarnya, ada cara untuk teruskan program berdasarkan situasi tertentu. Kita boleh lihat contoh sebagaimana ketika pandemik Covid-19 dengan mengadakan HSN menerusi kaedah hibrid.
Kita gunakan kreativiti sendiri untuk pastikan rakyat tetap menjaga kesihatan diri menerusi sukan dan membudayakan cara hidup sihat.
Begitu juga dengan pembangunan bakat baharu. Kita ada banyak lapisannya bermula daripada Majlis Sukan-Sukan Negeri (MSSN) sehingga ke program atlet berprestasi tinggi. Banyak bertanya adakah kita akan kurangkan peruntukan perbelanjaan? Jawapannya tidak, sebab ada yang telah diluluskan awal tahun ini (menerusi Bajet 2022).
Saya ada satu strategi baharu untuk KBS memperkasakan sukan tertentu bermula di sekolah-sekolah dan kampung. Mereka ada liga sendiri. Jadi apabila orang kita bermain dengan sasaran awal dengan penglibatan sebanyak tujuh juta orang, rantaian ekonomi bergerak.
Ada orang membeli produk sukan, makanan atau apa sahaja berkaitan. Dalam masa sama, rakyat sihat dan kerajaan turut mendapat keuntungan berdasarkan industri sukan.

BINA LITAR LUMBA
Bagaimana Datuk Seri melihat cadangan Perdana Menteri, untuk membina litar lumba drag di setiap negeri? Adakah ia sedang dalam perancangan?
Insya-Allah. Kita jangka membina dua litar dahulu sebagai permulaan. Setakat ini beberapa perkara perlu dinilai termasuk spesifikasi keselamatan litar dan lokasi.
Yang pasti lokasi akan dibina di kawasan yang mudah diakses oleh orang awam. Kami menyahut apa yang dicadangkan Perdana Menteri dan paling penting sudah tentulah keselamatan pelumba serta penonton.
Malah, pembinaan litar ini akan dilaksanakan dengan kerjasama Litar Antarabangsan Sepang (SIC) serta pakar-pakar dalam sukan permotoran.
Namun kita bukanlah mahu membina litar sahaja, sebaliknya banyak lagi kemudahan selepas ini. Cuma anggaran kami tidak dapat pastikan kerana spesifikasi masih lagi dikaji.
Perlu diingat litar drag ini spesifikasinya lain. Ia tidak boleh berlekuk walau sikit pun sebab akan menyebabkan kenderaan yang dipandu mudah terbabas. Sebab itu, untuk permulaan kami buat satu atau dua litar dahulu.

Masih ada mempersoalkan kewajaran di sebalik isu dua persatuan sepak takraw bagi mengawal sukan itu. Komen Datuk Seri?
Apabila saya menjawat jawatan sebagai Menteri Belia dan Sukan, saya dikunjungi oleh persatuan sepak takraw negeri-negeri.
Sebahagian besar berjumpa saya dan mereka semua menggesa agar membenarkan penubuhan satu organisasi sepak takraw yang baharu. Namun, saya tidak mengendahkan permintaan tersebut.
Namun begitu selepas Persekutuan Sepak Takraw Antarabangsa (ISTAF) dan Persekutuan Sepak Takraw Asia (ASTAF) menggantung serta memecat Persatuan Sepaktakraw Malaysia (PSM) sebagai ahli gabungan kedua-dua badan induk itu, kita terpaksa tubuhkan persatuan baharu.
Berdasarkan Akta 576, kita tidak boleh beri persatuan yang tidak mendapat pengiktirafan badan antarabangsa sebagai pengelola sukan di negara ini.
Jadi Pesuruhjaya Sukan Malaysia menasihati saya bahawa PSM bukan lagi pengelola yang sah mengikut peruntukan akta tersebut.
Apabila berlaku situasi sebegini, ada satu pihak mahu tubuhkan Persekutuan Sepak Takraw Malaysia (MASTAF) dan kita luluskan. Apabila diluluskan, ISTAF dan ASTAF memberitahu bahawa MASTAF berada di bawah gabungan mereka.
Ketika Sukan SEA di Hanoi, Vietnam, wakil ISTAF dan ASTAF menyatakan mereka tidak mahu lagi bekerjasama dengan PSM.
Namun, Presiden MASTAF, Datuk Suhaili Abdul Rahman kemudian membuat perakuan bahawa dia akan menerima masuk semua persatuan sepak takraw negeri masuk. Kemudian saya lihat MASTAF ada enam persatuan negeri dan 12 di bawah PSM.
Kemudian satu surat daripada PSM kata mereka tetapkan syarat tertentu untuk masuk.
Dan apabila baru-baru ini saya jumpa yang lain, rupanya baru tahu tawaran MASTAF tidak disampaikan kepada persatuan-persatuan negeri.
Tapi akhirnya di sebalik kemelut ini, sebagai menteri yang menjaga sukan mahu pastikan ia (sepak takraw) terus berjalan. Banyak implikasinya kalau kemelut ini berterusan.
Dalam hal perihal sukan, kerajaan tidak boleh masuk campur. Sekiranya ada campur tangan, ia boleh dibatalkan organisasi atau persatuan antarabangsa.

KBS KEDEKUT?
Ada yang mendakwa KBS kedekut untuk memberi peruntukan aktiviti sukan. Pandangan Datuk Seri?
Adakah sekarang ini kita mahu sasarkan pingat emas semata-mata atau mahu masyarakat bersukan dan menjadikan ia industri? Apa yang menjadi masalah sekarang kita terlalu fokus kepada pencapaian semata-mata.
Itu sebabnya apabila kalah sahaja kita terus ‘balun’ jurulatih manakala presiden kekal. Ini salah. Kalau kita mahu perkasakan sukan berprestasi tinggi, kita perlu fokus apa yang kita mahu.
Ini tidak. Apabila Dodge Ball menang terus hendak beri fokus dan pergi pada sukan itu pula. Ada yang tidak faham dan ingat apabila menang sahaja terus mahu kita beri tumpuan sedangkan pertandingan yang disertai tidak mendapat pengiktirafan peringkat persekutuan atau dunia.
Masuk pertandingan ibarat sekadar seronok. Sepatutnya perlu difahami dahulu apakah sumbangan atau return kepada kerajaan sekiranya dana diberikan.
Kerajaan tidak boleh beri dana pada semua sukan. Perlu diingat duit yang mahu diberi pada kerajaan itu adalah duit cukai yang dibayar rakyat kepada kerajaan.

Adakah terdapat pertambahan jumlah atlet pada kejohanan Sukan Asia dan Sukan SEA Kemboja dengan jangkaan kemelesetan ekonomi tahun depan?
Saya tidak pasti macam mana. Namun peruntukan untuk Sukan Asia sudah kerana sebelum ini ia ditangguhkan.
Saya cuma berharap Majlis Sukan Negara (MSN). Saya harap MSN perlu menghantar satu pasukan yang dapat memberi saingan dan yang betul-betul kuat.

POLITIK
Ke mana hala tuju Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) seandainya Pas bersama UMNO dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) ?
Saya lihat politik bukan perkahwinan antara parti seperti Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra) dengan Gerakan tanah Air (GTA), UMNO dengan Pas atau Parti Amanah Negara (Amanah) dengan PKR atau DAP.
Itu jangan kita perdebatkan. Kita hendak berdepan PRU dengan mengharap pertimbangan rakyat supaya parti politik dapat membentuk tubuh kerajaan.
Apakah kalau kami hendak sangat Pas itu perlu gadaikan prinsip perjuangan kami? Kami mahu perjuangan yang boleh meningkatkan syiar Islam, Melayu dan negara. Walaupun bunyinya retorik, tapi itulah perjuangan. Kalau kita mahu sangat berkuasa, kita boleh tinggalkan satu perkara dan berkawan serta tinggalkan mereka yang lain. UMNO hendak ke mana? Pas hendak ke mana? Atau Bersatu mahu ke mana itu bukan soalnya.
Dalam PRU kemenangan bukan segala-galanya, tapi mahu berikan perkhidmatan kepada rakyat dan saya harap parti akan buat perkara yang sama. Sekiranya ada pendirian sebegitu, sudah tentu kita akan gunakan kuasa untuk kekalkan kuasa.

Maknanya Bersatu sedia untuk berdepan kekalahan dalam PRU-15 ?
Sesiapa sahaja berdepan PRU perlu bersedia menerima kekalahan. Pernah dahulu ada yang ajak rakyat berguling atas jalan sebab tidak boleh menerima kekalahan. Kita tidak mahu sebegitu dan kita mahukan negara aman tanpa perlu demonstrasi di jalanan. Itu saja.

NASIB BILA BERSATU TERSUNGKUR?
Ke mana hala tuju Datuk Seri sekiranya Bersatu tersungkur?
Walaupun saya rasa itu satu tamparan, dalam masa sama ia bermakna kami sudah melakukan satu perkara yang betul dengan memperkasakan Perikatan Nasional (PN) dan tinggalkan ‘jenama’ Bersatu. Kami bawa jenama PN pula dan seandainya jenama PN lebih cerah dan dikenali, itu tanda apa yang dibuat oleh satu gabungan iaitu PN memberi impak baik kepada rakyat.

Kawasan yang bakal ditandingi dalam PRU15?
Kalau saya ada umur dan mendapat restu semua, saya harap dapat meneruskan perkhidmatan di Tambun. Sekiranya tewas sekalipun saya tetap berharap dapat memberi perkhidmatan di Tambun dan menjalankan tanggungjawab kepada Allah SWT, negara dan rakyat.

Pandangan Datuk Seri apabila Pas masih dilihat terhegeh-hegeh untuk bersama UMNO dan mengapa tidak memperkukuh gabungan dalam PN?
Sebenarnya Pas sedang cuba mencari titik dalam penyatuan ummah dan apa yang mereka buat sesuatu yang murni. Mereka mahu bekerjasama dengan blok lebih besar. Gerak kerja perlu tersusun dan step by step.
Apa masalahnya kalau Pas mahu bekerjasama dengan UMNO? Adakah perlu saya mengecam Perdana Menteri disebabkan beliau orang UMNO? Apakah yang sepatutnya diperangi sekarang? Rasuah dan salah guna kuasa.

Bagaimana proses pembahagian kerusi dalam PN setakat ini?
Sedang berjalan dan ada beberapa perkara lain lagi yang perlu diselesaikan. – Mingguan Malaysia

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×