Tidak mengapa rugi secupak

Tidak mengapa rugi secupak

TAKLIMAT khas Presiden UMNO pada 27 Ogos lalu dikaitkan dengan usaha membina semangat solidariti dalam kalangan pemimpin dan ahli parti. – UTUSAN/AFIQ RAZALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BAHAWA takdir menentukan segala. Dan segala yang ditentukan perlu diterima dengan penuh reda dan syukur. Ujian selalunya hadir bersama pengajaran dan iktibar demi kebaikan. Tidak salah sesekali menoleh ke belakang. Tujuannya mencari punca permasalahan, menginsafi kekhilafan.

Benar, lumrah bagi seseorang insan biasa, ada kala timbul marah dan geram. Selalunya gangguan perasaan berbangkit ekoran terdapatnya hal-hal yang kurang memuaskan hati atau yang menimbulkan keraguan. Namun, penawar baginya adalah menerima segala ketentuan sebagai cabaran bagi menghimpun kekuatan meneruskan perjuangan.

Ya, hidup dan perjuangan perlu diteruskan. Apatah lagi bagi ehwal dan urusan yang berkaitan dengan kepentingan agama bangsa dan tanah air. Ada kala, walau pahit tetapi terpaksa ditelan, rugi secupak jangan sampai hilang segantang. Jangan berputus asa selagi nadi berdenyut nafas beralun, masih ada cara dan usaha memulih suasana.

Semua orang tahu, UMNO parti politik yang begitu lama mendominasi pemerintahan negara dan dikaitkan secara langsung dengan memerdekakan tanah air ini daripada penjajah, kini sedang menghadapi sedikit cabaran ekoran hukuman penjara melibatkan seorang bekas tokoh utama mereka.

Bagusnya, apa pun gangguan yang mencengkam perasaan, tiada siapa pun dari parti itu keluar ke tempat awam untuk mendemonstrasi atau menunjuk perasaan. Mereka tetap menerima dan menghormati kedaulatan undang-undang. Kalau ada pun, terdapat pihak lain yang cuba mencuri keuntungan (mileage) untuk kepentingan politik mereka.

Tidak ada yang bersifat ‘luar biasa’ bagi sebuah perhimpunan seperti yang diadakan di Pusat Dagangan Dunia (WTC) tempoh hari. Perhimpunan itu merupakan sebuah pertemuan keluarga UMNO bagi membincangkan nasib menimpa, menenang jiwa, menyusun langkah ke hadapan. UMNO parti perjuangan, bukan serpihan.

Lebih relevan, perhimpunan itu dikaitkan dengan usaha membina semangat solidariti dalam kalangan pemimpin dan ahli-ahli parti. Hampir semua yang berkenaan hadir.

Biasalah, dalam sebuah keluarga bukan semua adik beradik dapat hadir walaupun perjumpaan itu dianjur oleh ibu atau bapa. Mungkin ada yang sudah rasa mendapat tapak kukuh dan tidak perlu lagi bergantung kepada ibu bapa atau keluarga?

Solidariti penting dalam konteks perjuangan dan meyakinkan rakyat. Perlu ada semangat setiakawan. Sebaliknya pertelagahan yang terbuka memberi ruang kepada pihak ketiga menimba keuntungan. Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) semakin dekat. Tidak banyak masa untuk membina semula keyakinan. Elak harapan dan impian murni rakyat terburai.

Disebut demikian kerana UMNO semakin kembali di hati rakyat. Kehidupan rakyat sudah teruji dengan warna politik yang pelbagai. Cukup memberi pengalaman dan pengajaran yang dapat mengukur tentang efisiensi dan daya kemampuan sebenar. Malaysia tidak mampu menjadi bahan uji pemerintahan yang hanya mahu mengaut keuntungan segera dan mementingkan kaum-kaum tertentu.

Sejarah kestabilan Malaysia berpijak pada pemerintahan yang bersefahaman, bersederhana, inklusif dan adil saksama untuk semua. Kenyataannya, Malaysia stabil dan maju makmur sejak sekian lama. Hidup tidak selalu indah, namun banyak hal yang masih indah perlu dipelihara dan dikekalkan sampai bila-bila. Syukurilah nikmat yang ada.

Semoga rakyat tidak tercalar harapan, terusik kepercayaan dalam mencari parti yang bersifat realistik memerintah negara, yang mampu menyusun pembangunan negara dan kesejahteraan rakyat bagi jangka pendek mahu pun jangka panjang.

Sebaliknya, parti yang hanya tahu mencuri ‘populis’ haluannya tidak sampai ke mana.

Tentu rakyat mudah mengenali dan membezakan di antara pemimpin yang boleh dianggap berwibawa dan berkebolehan dengan kalangan yang hanya suka menghasut dan mengelirukan rakyat. Mereka yang terang-terang mendustai rakyat wajib ditolak. Apatah lagi tokoh-tokoh yang terang-terang menaja kerja-kerja menghasut rakyat.

Usah terkeliru dengan skrip dan lakonan di ambang PRU15. Kalangan pemimpin yang selama ini ‘monyok’ seolah-olah tiba-tiba kembali ‘segar’ dan tahu mengeluarkan pelbagai kenyataan semasa.

Kebanyakannya menyebut tentang kelemahan dan kesilapan orang lain. Mereka langsung tidak menginsafi kelemahan diri sendiri semasa diberi mandat memerintah negara.

Tautkan semangat solidariti yang kukuh. Tiada siapa yang boleh mendakwa dirinya gagah tanpa pertolongan orang lain, sama ada ahli keluarga, sahabat atau rakan. Tidak perlu remehkan sesiapa. Setiap seseorang memiliki keistimewaan dan kebolehan yang tersendiri. Organisasi dan perjuangan menjadi kuat jika mampu dihimpun dan diurus segala sumber keistimewaan yang ada.

Rakyat pula jangan mudah tersasar arah. Pilih yang benar-benar layak dan berkemampuan. Dunia semakin mencabar dengan krisis yang pelbagai. Segalanya memerlukan daya tadbir urus negara yang cekap dan berdaya tinggi.

Kesal apa pada malam jika bulan dan bintang tidak gemerlapan. Namun, esok masih ada sinar mentarinya tentu terbit memancarkan cahaya.-UTUSAN

DATUK SAYUTI MUKHTAR ialah penganalisis sosiopolitik tanah air.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×