Tanda anak protes tidak mahu tinggal di asrama - Utusan Malaysia

Tanda anak protes tidak mahu tinggal di asrama

IBU bapa perlu mempersiapkan mental dan fizikal anak-anak sebelum memutuskan menghantar mereka memasuki sekolah berasrama.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IBU bapa mana yang tidak gembira apabila anak mereka ditawarkan di sekolah berasrama penuh (SBP), Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) mahu pun institusi pendidikan lain.

Sistem pembelajaran efektif, persekitaran kondusif dalam menimba ilmu selain membantu mengembangkan potensi anak-anak antara ciri-ciri impian ibu bapa.

Namun, konflik timbul apabila keinginan ibu bapa tidak selari dengan kemahuan anak-anak. Ada yang berkeras walaupun jenuh dipujuk.

Pensyarah kanan, Pusat Kajian Psikologi dan Kesejahteraan Manusia, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof. Madya Dr. Nor Ba’yah Abdul Kadir berkata, menangani konflik berkenaan, ibu bapa perlu melakukan persediaan awal seperti pendekatan memujuk mengenai kebaikan tinggal di asrama dan ia perlu disampaikan secara jelas dan konsisten, bukannya secara tiba-tiba melahirkan hasrat untuk memasukkan mereka ke asrama.

Kaedah itu secara tidak langsung dapat mengubah persepsi anak-anak yang kehidupan di asrama bukan semata-mata untuk belajar, sebaliknya bagi membina ikatan emosi dengan rakan, persahabatan dan memori.

“Beritahu anak sejak sekolah rendah lagi mengenai impian anda. Selitkan juga mengenai kebaikkan sekolah berasrama. Bila mereka bersedia daripada segi emosi saya yakin anak akan bersedia,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Beliau berkata demikian mengulas mengenai situasi ada pelajar yang tertekan bersekolah asrama hingga kemurungan. Walaupun tiada jumlah mengenai kes kemurungan tinggal di asrama, tetapi tinjauan Gaya mendapati beberapa insiden membabitkan pelajar tertekan berada di asrama ada dibincangkan di media sosial.

Tegas Nor Ba’yah, konflik berkenaan perlu ditangani dengan baik kerana tekanan boleh menjejaskan emosi remaja.

“Tekanan itu boleh ditunjukkan dengan sikap mudah resah, bimbang dan kerap berasa sedih. Dalam jangka masa panjang, kita khuatir ia menjejaskan kesihatan fizikal sekaligus menyebabkan prestasi akademik anak-anak merosot.

“Lebih buruk, apabila motivasi belajar golongan sasar menurun, di mana mereka kurang penglibatan dalam aktiviti sekolah dan hubungan interpersonal dengan rakan sebaya yang terganggu.

“Apabila anak menunjukkan rasa protes, antara langkah boleh dilakukan oleh ibu bapa ialah berbincang dengan kaunselor.

“Bawa anak berjumpa kaunselor di sekolah dan mereka boleh mencadangkan pendekatan sesuai sama ada terus berada di asrama atau sebaliknya. Paling mustahak ialah berbincang bagi mencari penyelesaian bersama,” katanya.

FAKTOR TOLAKAN
Kebergantungan tinggi kepada ibu bapa, enggan berdikari dan kemudahan belajar secara dalam talian antara faktor tolakan pelajar tinggal di asrama.

Pensyarah Kanan Program Kaunseling, Fakulti Kepimpinan dan Pengurusan Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Dr. Rezki Perdani Sawai berkata, dengan situasi pembelajaran dalam talian kesan pandemik Covid-19 lalu, merubah pandangan mereka mereka kepentingan tinggal di asrama.

“Mereka berfikiran belajar boleh diikuti secara dalam talian. Malah kemudahan kelas tambahan menjadikan proses menuntut ilmu itu menjadi lebih mudah,” katanya.

Beliau mencadangkan ibu bapa untuk mempersiapkan mental dan fizikal anak-anak sebelum memutuskan untuk menghantar anak memasuki sekolah berasrama.

Peningkatan kes buli di sekolah berasrama selain tidak mahu terkongkong dengan jadual padat dan peraturan ketat antara faktor tolakan asrama menjadi pilihan pelajar.

TANDA ANAK ENGGAN KE ASRAMA:
* Mahukan keselesaan dan keselamatan.

* Punca utama adalah kebimbangan berpisah dengan ibu bapa di samping takut bertemu kawan baru, makan di kantin asrama, ruang peribadi, berkongsi bilik mandi, peraturan yang ketat dan dibuli pelajar senior.

* Menunjukkan rasa kecewa, tertekan atau gejala fizikal seperti sakit kepala atau perut.

* Tidak menunjukkan kecenderungan antisosial yang teruk.

* Berterus terang mengenai masalah dihadapi kepada ibu bapa mengenai kehidupan di asrama yang tidak sesuai untuknya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN