KAMI rakyat Malaysia ingin menzahirkan kebimbangan, ketidaksetujuan dan bantahan kami terhadap pemakaian Basic Structure Doctrine (BSD) atau Doktrin Struktur Asas oleh Mahkamah tertinggi di Malaysia kebelakangan ini.
BSD yang diceduk dari India ini sudah ditolak penggunaannya oleh mahkamah tertinggi di Malaysia selama lebih 60 tahun dan oleh hakim-hakim agung seperti Almarhum Sultan Azlan Shah, Tun Mohd Sufian dan Tun Abdul Hamid. Ini kerana pada pandangan mereka, kita tidak perlu mencedok acuan dari negara luar untuk memahami Perlembagaan Persekutuan kita dan mereka juga mendaulatkan kuasa rakyat melalui Parlimen untuk menggubal undang-undang atau meminda Perlembagaan Persekutuan.
Tetapi malangnya pada sekitar 2018, Mahkamah Persekutuan telah menggunapakai BSD dan menolak serta membelakangkan keputusan-keputusan Mahkamah tertinggi terdahulu.
Doktrin ini merbahaya kepada fabrik asas negara dan bakal menimbulkan pertembungan besar di negara kita. BSD yang cuba diterima dan diperkenalkan oleh Mahkamah Persekutuan sekarang ini mempunyai ciri-ciri berikut:
(i) Pendirian bahawa Perlembagaan kita mempunyai basic structure (struktur asas) yang ditentukan oleh Mahkamah yang tidak boleh dipinda oleh Parlimen.
(ii) Atas nama semak dan imbang, mahkamah berkuasa menentukan sepenuhnya apakah skop stuktur asas tersebut.
(iii) Mana-mana undang-undang ataupun pindaan perlembagaan yang digubal oleh Parlimen yang bertentangan dengan struktur asas yang ditentukan mahkamah adalah tidak berperlembagaan dan menjadi tidak sah.
Apa implikasinya?
Satu, walaupun persetujuan lebih dua per tiga ahli Parlimen dan perkenan Majlis Raja-Raja telah diperoleh, mana-mana pindaan Perlembagaan boleh menjadi tidak sah sekiranya ia difikirkan bertentangan dengan struktur asas oleh mahkamah. Ini bertentangan dengan amalan pengasingan kuasa perlembagaan kita selama ini di mana hak menggubal undang-undang sepenuhnya terletak di dalam tangan rakyat melalui Parlimen dan untuk perkara-perkara tertentu melalui perkenan Majlis Raja-Raja.
Kedua, Perlembagaan Persekutuan tidak menyatakan secara tersurat apakah struktur asas Perlembagaan Persekutuan tersebut. Tidak seperti India di mana perlembagaannya dengan jelas dan nyata mempunyai peruntukan (dalam bentuk mukadimah) yang telah diluluskan oleh Parlimen sebagai membentuk asas perlembagaan Negara India, Perlembagaan Persekutuan kita tidak mempunyai peruntukkan sedemikian (sama ada dalam bentuk mukadimah atau lain-lain).
Ini bermakna penentuan tentang apakah itu struktur asas Perlembagaan Persekutuan akan bergantung sepenuhnya kepada pendirian pendapat dan kecenderungan hakim-hakim. Kalau hakim adalah liberal maka unsur liberal boleh dimasukkan. Begitu juga jika konservatif.
Oleh kerana ia tidak tersurat dan terlalu subjektif, sehingga kini tiada siapa tahu dengan jelas skop lengkap struktur asas Perlembagaan Persekutuan dan apakah ciri-ciri yang membentuk struktur asas tersebut. Undang-undang kita menjadi tidak jelas, tidak menentu dan akan bergantung semata-mata kepada pendirian, pendapat dan kecenderungan hakim.
Setelah Mahkamah menentukan sesuatu struktur asas mengikut pendirian, pendapat dan kecenderungan mereka dan mengisytiharkan sesuatu undang-undang atau pindaan perlembagaan yang dibuat oleh Parlimen sebagai tidak sah, tiada siapa lagi boleh mencabar keputusan Mahkamah tersebut. Mahkamah menjadi ‘supreme’. Semak dan imbang akan menjadi mustahil.
Di bawah konsep pengasingan kuasa yang kita telah amalkan sejak merdeka, Parlimen yang merupakan suara rakyat berhak menggubal undang-undang dan meminda perlembagaan sekiranya perlu lantaran daripada perubahan masa dan keadaan, walaupun ia bertentangan dengan keputusan mahkamah.
Terdapat beberapa kali keputusan Mahkamah tidak sesuai dengan kehendak dan keperluan rakyat dan rakyat melalui Parlimen telah menggubal undang-undang baru atau meminda Perlembagaan bagi membetulkannya. Contohnya pindaan Perlembagaan pada tahun 1988 dibuat kerana antara lain mahkamah sivil sering campur tangan (interfere) keputusan mahkamah syariah. Tetapi dengan BSD ini, kuasa Parlimen ini telah diambil (usurp) oleh mahkamah. Sekiranya mahkamah tentukan mana-mana perkara sebagai struktur asas Perlembagaan, Parlimen tiada lagi hak untuk menggubal undang-undang bagi membetulkannya. Ini sekali lagi jelas bertentangan dengan konsep pengasingan kuasa dan kuasa semak dan imbang yang dibayangkan oleh penggubal Perlembagaan dahulunya. Rakyat patut mempunyai hak menggubal undang-undang melalui Parlimen sekiranya mereka tidak puas hati dengan keputusan mahkamah.
Sebagai contoh, Mahkamah Persekutuan dalam kes Indira Ghandi telah menentukan bahawa Mahkamah Sivil adalah mengatasi Mahkamah Syariah dan ini merupakan struktur asas Perlembagaan, walaupun terdapat Perkara 121(1A). Implikasinya ialah apa-apa undang-undang untuk memperkasa bidang kuasa Mahkamah Syariah agar setaraf dengan Mahkamah Sivil boleh menjadi tidak berperlembagaan dan tidak sah.
Mahkamah Persekutuan di dalam kes ini seolah-olah tidak mahu memberi kesan sepenuhnya kepada niat pindaan Perlembagaan yang dibuat pada tahun 1988 untuk memperkasa bidang kuasa Mahkamah Syariah. Seperti dinyatakan Pindaan 1988 ini telah dibuat kerana Mahkamah Sivil sering campur tangan keputusan Mahkamah Syariah. Kenapa pula doktrin ini boleh menyekat hak rakyat dan kuasa Parlimen bagi membetulkan campur tangan sebegini?
Bagi umat Islam, dengan pemusatan kuasa penentuan keabasahan perundangan di tangan Mahkamah Sivil berikutan BSD ini, mahkamah sivil akan mengatasi sebarang institusi lain, termasuk institusi agama dan fatwa. Keabsahan Perkara 121(1A) Perlembagaan Persekutuan yang memperuntukkan bidangkuasa eksklusif Mahkamah Syariah berkenaan perkara-perkara berkaitan agama Islam, kini boleh dicabar melalui Mahkamah Sivil. Bidang kuasa Kehakiman dan perundangan Syariah disekat dan tidak boleh melangkaui fahaman dan doktrin asing ‘struktur asas’ ini. Adalah tidak mustahil selepas ini banyak lagi keputusan Mahkamah Syariah akan dicabar di Mahkamah Sivil. Malah Artikel 121(1A) itu sendiri boleh tergugat dan boleh diisytiharkan sebagai tidak sah oleh Mahkamah dalam kes-kes akan datang jika hujah sebegini terus diterimapakai.
Dengan itu, BSD ini perlu ditolak rakyat. Rakyat sepatutnya ada hak menggubal undang-undang melalui Parlimen sehingga memperbetulkan keputusan-keputusan Mahkamah yang tidak sesuai dengan konteks dan keperluan semasa. Umat Islam seharusnya mempunyai hak untuk mengangkat, memperkukuh dan mengarus-perdanakan kedudukan perundangan serta kehakiman syariah di negara ini, tanpa kacau-ganggu dari anasir asing seperti BSD ini. Kuasa menggubal undang-undang seharusnya terletak sepenuhnya kepada Parlimen dan bagi setengah perkara Majlis Raja-Raja seperti mana yang sudah diperuntukkan dalam Perlembagaan Persekutuan kita. Mahkamah bukan ‘supreme’ untuk menidakkan kuasa ini. Kita harus kembalikan pengasingan kuasa dan kuasa semak dan imbang seperti mana yang telah ditetapkan oleh mahkamah tertinggi dan hakim-hakim Agung sebelum 2018.
Keluhuran Perlembagaan tidak membenarkan apa-apa doktrin undang-undang mengambil alih dan mengatasi terma-terma tertulis di dalam Perlembagaan Persekutuan. Kita kembalikan keluhuran perlembagaan iaitu Perlembagaan Persekutuan sebagai undang-undang utama.
Atas dasar ini, kami tidak bersetuju dan membantah penggunaan Basic Structure Doctrine ini oleh mahkamah.
DATUK Zainul Rijal Abu Bakar, Lukman Sheriff Alias, Yusfarizal Yusoff, Aidil Khalid & Badruzzaman Ishak adalah peguambela dan peguam cara.











