TAHNIAH kepada Kementerian Pendidikan (KPM) yang baru-baru ini melancarkan program Sekolahku Sejahtera: Sepakat dan Selamat dengan kerjasama Kementerian Dalam Negeri (KDN). Program ini dahulunya dikenali sebagai Majlis Permuafakatan KPM dan Polis Diraja Malaysia (PDRM): Jom Ke Sekolah yang kini dijenamakan semula sejajar dengan konsep Sekolahku SEJAHTERA dilancarkan oleh Menteri Pendidikan, Datuk Dr. Radzi Jidin pada 21 Februari lalu.
Secara prinsipnya program ini memantapkan kolaborasi strategik antara KPM dengan KDN khususnya dengan penglibatan aktif PDRM dan Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK). Ini adalah satu langkah proaktif dan signifikan yang boleh membantu merancakkan lagi usaha dan inisiatif bagi menangani pelbagai permasalahan disiplin dan salah laku murid termasuk yang terbabit dengan najis dadah. Ironinya, kita perlu terima hakikat masalah disiplin murid ketika ini agak membimbangkan apabila sering didedahkan penglibatan mereka dalam aktiviti buli, pergaduhan, menghisap vape serta mencuba dadah baik dalam mahupun luar kawasan sekolah.
Penglibatan PDRM dalam kawasan sekolah adalah melalui Pegawai Perhubungan Sekolah (PPS) di semua sekolah KPM, manakala penglibatan AADK adalah melaksanakan ujian urin dan program pencegahan penyalahgunaan dadah.
Dalam konteks ini, kita sangat berharap agar PPS khususnya dapat selalu turun padang mendekati murid supaya mereka sedar sentiasa diawasi oleh pihak berkuasa. Kehadiran PPS di sekolah secara kerap boleh berlaku dalam pelbagai kaedah seperti dalam aktiviti kesedaran dan pencegahan berbentuk taklimat, pameran dan ceramah, rondaan secara berkala di samping melalui kerjasama dengan guru disiplin untuk melaksanakan pemeriksaan mengejut dari semasa ke semasa sama ada memeriksa beg murid mahupun melawat lokasi-lokasi yang sering menjadi tumpuan murid untuk melakukan aktiviti tidak diingini seperti dalam tandas, stor serta belakang bangunan.
Kita juga berharap AADK rajin turun padang secara berjadual supaya murid sentiasa diingatkan tentang bahaya penggunaan najis dadah yang boleh merosakkan masa depan mereka. Dalam hal ini, dicadangkan KDN dapat mewujudkan jawatan seperti PPS agar adanya pegawai yang dilantik khusus untuk menjaga sekolah di kawasan atau daerah masing-masing.
Secara prinsipnya apa yang kita hasratkan ialah sekolah boleh menjadi tempat yang paling selamat dan sejahtera kepada murid supaya mereka dapat fokus kepada aktiviti kurikulum dan kokurikulum yang boleh membantu kemenjadian secara holistik. Namun, hasrat ini tidak dapat dicapai jika hanya mengharapkan PDRM dan AADK semata-mata sebaliknya memerlukan penglibatan dan kerjasama semua pihak berkepentingan seperti persatuan ibu bapa dan guru (PIBG), ibu bapa dan masyarakat.
BULI
PIBG misalnya sebagai sebuah organisasi rasmi yang mewakili ibu bapa perlu terbabit secara aktif dalam membantu menangani isu disiplin dan keselamatan murid di sekolah mahupun di luar kawasan sekolah.
Kerjasama erat antara sekolah, pihak berkuasa dengan PIBG pastinya akan memberi impak yang sangat positif dalam isu ini. Justeru, sudah tiba masanya KPM melihat semula peranan PIBG agar dibuka lebih banyak ruang dan peluang bagi membantu meningkatkan kemenjadian murid.
Kita tidak mahu PIBG hanya dilihat sebagai organisasi yang diperlukan untuk menyalurkan bantuan kewangan kepada sekolah semata-mata tetapi perlu menjadi rakan kongsi strategik demi manfaat bersama yang akhirnya boleh menyumbang kepada kesejahteraan murid dan sekolah secara keseluruhannya.
Pihak berkuasa terutama PPS juga boleh melibatkan PIBG dan masyarakat setempat dalam melakukan aktiviti rondaan di luar kawasan sekolah bagi mencegah anak-anak daripada terlibat dalam aktiviti tidak sihat dengan rakan-rakan selepas waktu sekolah. Percayalah, PIBG dan masyarakat setempat lebih tahu apa yang sedang berlaku di sekeliling kawasan sekolah. Justeru, mereka memerlukan platform untuk sama-sama membantu menangani masalah sosial dan jenayah dalam kalangan murid sekolah.
Pada masa sama, ibu bapa juga perlu terus memainkan peranan aktif bagi melindungi anak masing-masing. Ibu bapa perlu ambil tahu setiap gerak geri anak terutama apa mereka buat selepas waktu persekolahan dan dengan siapa mereka berkawan. Dalam kebanyakan kes disiplin yang dilaporkan, kita dapati berlaku kecuaian yang sangat serius daripada ibu bapa antaranya tidak ambil peduli aktiviti anak-anak serta meletakkan sepenuhnya tanggungjawab di bahu pihak sekolah semata-mata. Ini jelas satu perbuatan yang tidak bertanggungjawab dan akhirnya akan memalukan serta merugikan mereka sendiri.
Selain itu, pelancaran Portal Aduan Buli diharap dapat mewujudkan platform yang baik untuk ibu bapa, sekolah dan KPM dalam menangani masalah buli dalam kalangan murid secara lebih berkesan di samping berharap pihak sekolah tidak akan menyorokkan kes buli yang berlaku di premis masing-masing.
Pokok pangkalnya, seperti kata Menteri Pendidikan, untuk menjadikan sesebuah sekolah itu selamat, ia memerlukan kerjasama semua pihak termasuk masyarakat setempat. Juteru, semoga kesepakatan erat antara sekolah, PDRM, AADK, PIBG, masyarakat setempat dan ibu bapa dapat menyumbang kepada kesejahteraan dan keselamatan anak-anak sekali gus menjadi pemangkin kemenjadian murid yang boleh dibentuk menjadi warganegara yang kental, berdaya tahan serta mempunyai jati diri yang tinggi.-UTUSAN
PENULIS ialah pentadbir di Universiti Putra Malaysia (UPM) serta Yang Dipertua Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) Sekolah Menengah Kebangsaan Seri Serdang.











