KEHIDUPAN bagaikan kopi, ada yang manis, ada yang pahit. Sedangkan lidah lagi tergigit, begitulah juga alam rumah tangga. Tidak semua perkahwinan berakhir hingga ke hembusan nafas terakhir. Sebaliknya ada juga pasangan yang berkahwin, dikurniakan anak terpaksa menelan kepahitan untuk menerima hakikat jodoh tidak panjang atas sebab-sebab tersendiri seterusnya terpaksa memilih untuk berpisah. Umum mengetahui, apabila berlaku perceraian, ada beberapa perkara yang timbul dan ia tidak akan selesai begitu sahaja sebaliknya perlu diuruskan. Antara perkara yang timbul dan boleh dituntut di mahkamah syariah berdasarkan Akta/Enakmen/Ordinan Undang-Undang Keluarga Islam adalah berkaitan hak hadanah dan nafkah anak.
Sejak zaman berzaman topik hangat dalam menyelesaikan isu perebutan dan nafkah anak, pihak yang terlibat perlu ‘berperang’ dan terpaksa berhadapan proses perbicaraan yang panjang, memakan masa dan kos tinggi bagi mendapatkan hak mereka. Malah sampai peringkat ada yang terpaksa dipenjarakan kerana gagal mematuhi perintah.
Keadaan ini sering menghantui minda pasangan yang telah bercerai dan menimbulkan beban emosi serta kewangan terutama kaum wanita kerana perlu kerap hadir ke mahkamah bagi menyelesaikan tuntutan ini. Liputan daripada media massa yang memberi cerminan negatif terhadap proses perbicaraan dilalui segelintir pelanggan turut menyumbang terhadap institusi mahkamah syariah.
Kesannya, masyarakat yang tidak terlibat dengan mahkamah syariah turut berasa marah dengan institusi ini sehinggakan mereka kadangkala terikut-ikut untuk mengecam. Sedangkan, pendengaran kes di mahkamah itu sendiri sifatnya terikat dengan pelbagai prosedur dan tatacara sepertimana diperuntukkan dalam undang-undang merangkumi sebutan kes, perbicaraan, keterangan, penghakiman dan perintah mengakibatkan sesuatu kes terpaksa berpanjangan.
Isu hak hadanah dan nafkah anak sangat praktikal dan relevan untuk ditangani pada masa ini. Sekiranya masalah berkaitan hak hadanah dan nafkah anak dapat diselesaikan dengan cepat dan baik, ini dapat memberi manfaat kepada anak-anak itu sendiri dan masyarakat amnya. Seandainya isu ini tidak dapat diselesaikan akan menyebabkan bebanan emosi terhadap pasangan yang bercerai, menimbulkan trauma psikologi kepada anak-anak dan meningkatkan masalah sosial terutama golongan belia dan akhirnya mempengaruhi perkembangan positif mereka. Oleh sebab itu, hak-hak selepas perceraian khususnya berkaitan hadanah dan nafkah anak adalah isu yang sangat penting untuk diuruskan.
Sehubungan itu, amat penting difahami bahawa pada masa ini penyelesaian pertikaian di mahkamah syariah tidak lagi terhad kepada satu cara sahaja sebaliknya mahkamah syariah telah mengorak langkah dengan menawarkan kepada masyarakat untuk menyelesaikan pertikaian melalui proses sulh.
Sulh adalah alternatif penyelesaian kes tanpa melalui proses perbicaraan penuh yang menawarkan faedah-faedah seperti perkhidmatan percuma dengan pengantara terdiri daripada pegawai yang berpengalaman serta berpengetahuan. Sulh juga antara lain dapat menjimatkan masa, bersifat tidak formal dan fleksibel yang membolehkan pihak-pihak terbabit lebih selesa untuk berbincang.
SANTAI
Berdasarkan pemerhatian saya terhadap statistik penyelesaian bagi kedua-dua kes ini, secara banding beza tempoh penyelesaian bagi kes yang diselesaikan secara proses sulh adalah jauh lebih pendek iaitu dalam dua ke tiga bulan sahaja. Berbanding kes yang melalui proses perbicaraan, memakan masa bertahun untuk diselesaikan.
Antara ciri lain yang terkandung dalam penyelesaian alternatif sulh, pelanggan berpeluang menyelesaikan kedua-dua tuntutan ini dengan cara yang baik, santai dan terhindar daripada pertelingkahan berpanjangan. Malah memperoleh situasi menang-menang.
Bentuk penyelesaian pertikaian alternatif secara sulh sudah disediakan, maka terpulang kepada pihak itu sendiri sama ada masih mahu menyelesaikan tuntutan dengan cara perbicaraan di mahkamah ataupun secara sulh.
Sempena sambutan bulan kemerdekaan, sudah sampai masanya untuk sama-sama fikirkan, adakah cara kita menyelesaikan sesuatu masalah sudah merdeka atau sebaliknya? Ayuh, tanamkan azam sempena bulan kemerdekaan ini dengan bersifat mudah dan memudahkan. Disebut dalam satu hadis yang mafhumnya daripada Aisyah r.a., beliau menceritakan: “Tidaklah Rasulullah SAW disuruh memilih antara dua urusan melainkan beliau memilih yang paling mudah, selama tidak mengandung dosa. Bila mengandungi dosa, beliaulah orang yang paling jauh darinya dan Rasulullah SAW tidak pernah marah sekalipun kecuali bila keharaman Allah dilanggar, beliau pun marah kerana Allah.” (Hadis riwayat Bukhari & Muslim)
Kita dianjurkan untuk memilih yang mudah agar tidak menyulitkan orang lain. Pernah diriwayatkan oleh Aisyah r.a. berkata: “Suatu hari Nabi SAW masuk menemui aku dan bersabda: “Ada apa-apa di sisi kamu (makanan)?” Kami menjawab: “Tiada”. Jawab baginda SAW: “Jika begitu, aku berpuasa.” Baginda SAW tidak pun melahirkan kemarahannya kepada isterinya Aisyah r.a. kerana tiada makanan, sebaliknya mengambil sikap mudah, berlapang dada lalu memilih berpuasa. Sifat bersikap bermudah inilah amat penting bagi kita dalam menjamin keharmonian, kerukunan hidup bermasyarakat sama ada dalam rumah tangga, pekerjaan mahupun hidup kita, komuniti setempat.
Elak bersikap cerewet atau suka memanjangkan sesuatu perkara. Apatah lagi dalam hal ehwal berkaitan anak. Berlebih kurang dengan bekas pasangan demi untuk anak-anak mengecap nikmat kehidupan. Pendekatan sikap ini amat bertepatan dengan tema Hari Kebangsaan tahun ini iaitu Keluarga Malaysia Teguh Bersama.
Sesungguhnya Allah berikan panas terik, rupanya ada teduh yang menanti. Allah berikan hujan dan petir, rupanya ada pelangi sebagai ganti. Bersangka baiklah kepada Allah dengan tiap takdir-Nya. Semoga kemerdekaan pada kali ini benar-benar memberi makna dalam kehidupan kita semua.-UTUSAN
PENULIS ialah Hakim Mahkamah Tinggi Syariah, Jabatan Kehakiman Syariah Negeri Sembilan.











