Ramai perokok mula beralih kepada vape sejak ia diperkenalkan di pasaran beberapa tahun dulu dengan alasan untuk mengurangkan jumlah rokok yang dihisap atau sekadar suka-suka mengikut teman.
Namun apa yang membimbangkan terdapat idea yang bertentangan mengenai menghisap vape dan bukti yang mengaitkannya dengan ancaman kesihatan atau kematian yang dikatakan berpunca daripada penggunaan minyak kanabis di dalamnya.
Justeru, sesetengah negara tidak membenarkan vape masuk ke pasaran mereka manakala sesetengah negara lagi membenarkan penjualannya.
Pakar Psikiatri, Dr. Alzilal Abdul Wahid berkata, vape dikenalpasti sebagai rokok elektronik (e-rokok) yang digunakan untuk mengurangkan tabiat merokok dengan kos lebih rendah.
“Menghisap vape adalah satu bantuan pemberhentian yang paling popular di United Kingdom sejak 2013. Di Scotland, walaupun kebanyakan e-rokok mengandungi nikotin, vape memiliki risiko lebih rendah berbanding rokok biasa dan ia dicadangkan kepada mereka yang ingin bertukar kepada e-rokok.
“Di Switzerland, rokok elektronik dipreskripsi oleh doktor, kakitangan perubatan, Farmasi dan sebagainya. Vape di anggap kurang merbahaya berbanding rokok konvensional. Di AS vape menunjukkan kurang bahaya dan boleh membantu berhenti merokok,” katanya pada Persidangan Evolving Treatment Methodologies in Addiction (ETMA), baru-baru ini.
Katanya 18 peratus daripada 886 orang yang sudah tidak merokok selama setahun, akan menghisap vape berbanding 9.9 peratus beralih kepada rokok. Manakala empat peratus kanak-kanak yang tidak pernah merokok mencuba vape dan kurang satu peratus menjadi perokok.
E-rokok lebih selamat?
Dr. Alzilal berkata, boleh dikatakan e-rokok adalah sejenis terapi penggantian nikotin (NRT) kerana ia menunjukkan keberkesanan dalam usaha menghentikan tabiat merokok.
“Perokok ketagih kepada nikotin dan menghisap rokok elektronik boleh memberikan rasa nikotin tetapi ia tidak dikawal dan boleh menjadi lebih merbahaya daripada NRT sebenar. Bukti menunjukkan kemudaratan e-rokok boleh melebihi lima peratus kemudaratan berbanding rokok konvensional.
“E-rokok memaksa syarikat sama ada menyesuaikan diri atau ‘mati’ kerana tidak ramai yang melihat NRT sebagai cara berkesan untuk berhenti merokok dan juga kurang menghisap rokok konvensional. Syarikat tembakau dan NRT kini mengalami kerugian berbanding pengeluar vape,” katanya yang turut menjelaskan shisha lebih merbahaya kerana membabitkan pembakaran.
NRT lebih berkesan untuk berhenti merokok
Nikotin tidak selamat jadi perlu mencari NRT untuk berhenti merokok.
Prof. Dr. Karl Fagerstrom berkata, SNUS iaitu produk tembakau di Sweden banyak digunakan sekitar 1930 hingga 1940 an berbanding rokok dan ia meningkat lebih banyak pada tahun 1970 an.
“Nikotin menyebabkan ketagihan teruk dan ketagih rokok perlu diatasi dengan menawarkan ubat alternatif nikotin.
“SNUS pertama kali dibangunkan di Sweden dan antara salah satu alternatif yang diluluskan oleh Pentadbiran Makanan dan Ubat-Ubatan Ameriksa Syarikat (FDA). Ia mempunyai risiko lebih rendah ke atas kesihatan berbanding rokok,” katanya ketika membentangkan ucapan bertajuk Nikotin-Keselamatan, Kebergantungan dan Pengurangan Mudarat.
Bagaimanapun katanya terdapat kesan buruk penggunaan SNUS seperti kesan ke atas janin dan komplikasi ketika bersalin, penyakit jantung dan strok.
SNUS turut mengurangkan kebergantungan kepada tembakau sebanyak lima peratus.
“Kadar kematian di Sweden dan negara Kesatuan Eropah dikaitkan dengan tembakau membabitkan kanser paru-paru (87-91), kanser lain (36-41), semua kardiovaskular (72-107) dan sebab lain (222-378).
“Produk nikotin asli mempunyai kesan sama dengan kafein dan kurang mudarat berbanding alkohol. E-rokok mempunyai kadar kebergantungan yang rendah berbanding rokok konvensional,” katanya.
Sementara itu, Pengarah Penyelidikan Bait Al Amanah, Benedict Weerasena dan Perawat ketagihan, Dr. Khafidz Mohd. Ishak menerusi pembentangan bertajuk Pengurangan Mudarat Tembakau-Prinsip dan Polisi, menjelaskan tiada alasan mengapa bertukar daripada tembakau tidak patut digalakkan.
“Sejarah menunjukkan sekitar 1932 sehingga 2009, orang merokok kerana nikotin tetapi maut akibat tar. Kadar berhenti merokok menggunakan vape adalah 18 peratus berbanding 9.9 peratus menggunakan NRT.
“Tiga kunci utama perlu dipertimbangkan apakah risiko kesihatan dalam jangka panjang daripada produk bebas asap rokok? Adakah produk bebas rokok menggantikan rokok, bagaimana kita mengimbangkan pengunaannya,” katanya.
Katanya rang undang-undang di New Zealand yang meluluskan akta ke atas produk tertentu tetapi rang undang-undang di Malaysia disatukan tanpa membezakan antara produk. Malaysia mungkin perlu mengikuti langkah New Zealand untuk membezakan antara produk dan rawatan.
“Dasar generasi penamat (GEG) menawarkan bantuan untuk berhenti menggunakan tembakau membabitkan larangan pengiklanan tembakau, promosi dan penajaan, cukai, strategi mengawal pengambilan berdasarkan bekalan dan permintaan.
“Terdapat keperluan untuk menumpukan kepada mendidik cara untuk berhenti, mudarat, rawatan dan pengurangannya. Pengambilan ubat untuk berhenti merokok boleh dikurangkan sedikit demi sedikit menggunakan kaedah terapi tingkah laku kognitif (CBT),” katanya.
Katanya di New Zealand, mereka menggunakan pendekatan integrasi dengan menyasarkan permintaan dan bekalan tetapi turut mengiktiraf kebaikan THR.
‘Berhenti merokok selepas hidung dibedah’
Muhammad Ikhwan Syafiq Idham Kholid,28, sudah lama merokok iaitu sejak di tingkatan tiga lagi tetapi sekitar tahun 2019 dan awal 2020, dia berhajat untuk berhenti merokok.
“Saya rasa dah tak nak merokok lagi dan ketika sedang cuba berhenti, saya bertemu dengan isteri saya sekarang. Kebetulan dia pun tak nak saya menghisap rokok walaupun saya masih merokok ketika berkenalan dengan dia.
“Jadi, saya pun fikir, sudah alang-alang hendak berhenti, jadi saya berhentilah. Sebelum ini pun, saya sudah cuba berhenti tetapi memang susah. Namun saya tidak putus asa dan mencuba banyak kali untuk berhenti merokok,” katanya.
Katanya dia boleh menghisap sekotak rokok sehari atau sehari setengah. Bagi mengurangkan tabiat merokok, dia memilih menggunakan vape pada tahun 2017 tetapi tidak berjaya menghilangkan ketagihan pada rokok.
Bagaimanapun, Muhammad Ikhwan berkata, dia cuba menghisap vape semula pada tahun 2019 dan berjaya melupakan rokok konvensional sehingga sekarang.
“Alhamdulillah saya sudah betul-betul berhenti menghisap rokok sejak dua tahun lalu. Mula-mula saya hisap tiga batang sehari selepas hisap vape. Selepas itu, saya kurangkan jadi sebatang. Lama-kelamaan saya tidak lagi menghisap rokok.
“Sebenarnya bagi saya, orang yang merokok lepas tukar pada vape, bukan vape yang menghalang merokok. Orang merokok, bila sudah biasa menghisap rokok, ada nikotin dalam badan. Jadi hendak berhenti memang susah. Mereka sudah biasa dapat nikotin yang banyak, jadi bila kurang rasa tidak sedap badan,” katanya.
Katanya justeru, beliau memilih vape supaya badan tidak terkejut sebab kekurangan nikotin secara tiba-tiba yang menyebabkan demam serta sakit badan.
Tambahnya lagi, dia pernah tidak menghisap rokok atau vape selama seminggu selepas dimasukkan ke wad dan menjalani pembedahan hidung akibat resdung. Bagaimanapun, dia mencarinya semula selepas keluar daripada wad.
“Memang rasa hendak berhenti terus tetapi keinginan itu masih ada dan membuatkan saya mencari-cari untuk menghisapnya walaupun sedikit. Namun, selepas itu saya berazam untuk tidak lagi menghisap vape terus dan kini berjaya merealisasikannya,” katanya.









