Tudung satin kembali digemarai wanita. Materialnya yang licin dan lembut berkilau selain mudah dibentuk, antara faktor ia digemari. Tudung satin yang lazimnya hadir dengan pelbagai corak sama ada floral, abstrak atau geometri sesuai digayakan dengan baju polos.
Namun, bukan mudah sebenarnya tudung fabrik satin ini mahu terletak elok di atas kepala. Kalau tidak kena gaya memakainya, tudung boleh jadi senget dan akan membuatkan mood kita jadi tak tentu arah.
Justeru, kunci utama bagi pemakaian tudung satin seperti ini adalah perlu tahu kedudukan untuk meletak jarum peniti yang sesuai.
Letak di bahagian tertentu supaya hijab terletak cantik di atas mahkotamu.
Bagi jenama terkenal, Rizman Ruzaini (RR) yang popular dengan koleksi tudung satin eksklusif, ia mengekalkan ketelitian dalam setiap corak diperkenalkan.
Terbaharu, jenama ini memperkenalkan siri koleksi Mono Scarves dengan suntikan gaya elegan dan sofistikated.
Kata Ruzaini, tudung jenis ini mudah dililit kerana saiznya yang tidak terlalu pendek.
Ukurannya yang tidak terlalu labuh memudahkan ia dilaras, biar bagaimanapun bentuk wajah wanita.
“Kepelbagaian warna memberikan warna lebih keseronokan kala bergaya,” katanya pada majlis ulang tahun pertama RR Mono Scarves baru-baru ini.
Majlis turut memperkenalkan tujuh selebriti menjadi wajah koleksi tudung Rizman Ruzaini, antaranya Ziana Zain, Izara Aishah, dan Kilafairy.
Bagi menghargai pelanggan setia, yang menyokong jenama itu hingga bertahan selama 17 tahun dalam industri, RR mengedarkan 300 tudung percuma kepada pembeli yang pernah membeli koleksi Mono Scarves yang dilancarkan pada tahun lepas.










