SUBANG: Penyanyi, Azhar Osman mendedahkan bekas rakan duonya, Hael Husaini, tidak pernah berputus asa memujuknya untuk kembali aktif dalam industri muzik tempatan.
Azhar atau Mohd Azhar Osman, 38, berkata, penyanyi lagu Jampi itu saban tahun menawarkan pelbagai projek baharu, termasuk menghasilkan lagu khas dan mengajaknya menyertai album solo akan datang.
“Saya bukan merajuk dengan industri atau bergaduh dengan Hael. Kami masih berhubung rapat sehingga sekarang. Cuma selepas Azhael berpisah, Hael memberi tumpuan kepada kerjaya seni, manakala saya pula menghabiskan pengajian ijazah sebelum berjinak-jinak dalam bidang perubatan.
“Ramai yang tidak tahu, tetapi setiap tahun Hael tidak pernah jemu mengajak dan memujuk saya untuk kembali menyanyi. Dia juga selalu beritahu mahu hasilkan lagu untuk saya. Perkara itu sudah berlarutan hampir empat tahun.
“Malah, kami pernah berbual mengenai projek khas iaitu satu lagu kolaborasi ‘Hael x Azhar’ untuk dimuatkan dalam albumnya, jika semuanya menjadi kenyataan,” katanya ketika ditemui pada Kejohanan Blossom Rally Pickleball 2026 di Tomaz Pickleball Club, di sini, Ahad.
Bagaimanapun, Azhar mengakui masalah kegugupan melampau setiap kali membuat persembahan menjadi faktor utama yang menghalangnya daripada kembali aktif sebagai penyanyi.
“Hael sangat tahu rahsia saya ini. Setiap kali hendak membuat persembahan, suara saya akan bergetar. Perkara itu mengganggu aspek teknikal nyanyian sehingga saya menjadi tertekan dan hilang keyakinan.
“Hael selalu cuba menenangkan saya. Malah, dia pernah mengajak saya berjoging sebelum naik ke pentas untuk memanaskan badan. Namun, perasaan gemuruh itu tetap ada dan itulah punca utama saya memilih untuk berada di belakang tabir buat seketika.
“Alhamdulillah, saya masih menyanyi ketika memandu. Saya juga ada memuat naik beberapa lagu ‘cover’ di Instagram, tetapi itu pun beberapa bulan lalu. Sebenarnya saya lebih gemar bergerak secara berkumpulan atau berduo,” katanya.
Azhar yang kini mempunyai kumpulan acapella sendiri, Define dan Awesome Pella, turut menegaskan dia tidak pernah berasa iri hati terhadap kejayaan Hael, sebaliknya berbangga dengan pencapaian rakannya itu.
“Tidak timbul rasa tercabar atau apa-apa. Saya sangat bangga dengan dia.
“Hael tahu kemampuan saya dan saya juga tahu kelebihan yang dia ada. Sebab itu dia masih mahu mengajak saya bekerjasama sehingga sekarang. Insya-Allah, sebelum saya mencecah usia 40 tahun, saya akan cuba menghasilkan sebuah lagu bersama Hael,” katanya.
Terdahulu, pada 2017, Hael mengesahkan pengundurannya daripada kumpulan duo Azhael bukan berpunca daripada perselisihan faham, sebaliknya dibuat demi memberi ruang kepada perkembangan kerjaya masing-masing.
Azhael yang dianggotai Mohd Azhar Osman dan Hael Husaini mula mencipta nama selepas menyertai program Akademi Fantasia 2013 sebelum menghasilkan beberapa lagu popular sepanjang perjalanan mereka sebagai duo. -UTUSAN










