WASHINGTON: Tentera Amerika Syarikat (AS) pada Ahad memaklumkan bahawa mereka telah melancarkan gelombang baharu serangan terhadap Iran, selepas pertempuran yang kembali tercetus di sekitar Selat Hormuz menyaksikan beberapa sekutu Washington di Teluk menjadi sasaran serangan.
Gelombang serangan terbaharu tentera AS bermula pada pukul 9 malam GMT Ahad, menurut Markas Pusat Amerika Syarikat (CENTCOM) menerusi platform X.
Sebelum itu, ia mengumumkan kira-kira 140 serangan telah dilancarkan pada malam sebelumnya.
Pertempuran yang kembali memuncak itu merupakan perkembangan terbaharu yang menggugat perjanjian sementara antara Washington dan Teheran yang bertujuan menamatkan perang antara kedua-dua negara, yang telah mencetuskan kejutan ekonomi global sejak bermula pada 28 Februari.
Harga minyak, yang sebelum ini merosot selepas pengumuman perjanjian tersebut, kembali meningkat lebih 3.5 peratus apabila dagangan niaga hadapan dibuka di Tokyo pada Isnin, dengan penanda aras minyak mentah AS, West Texas Intermediate (WTI), melonjak melepasi AS$74 (RM302) setong.
Iran melaporkan serangan pada petang Ahad ke atas dua pulau di selatan negara itu, manakala Kuwait, yang berulang kali menjadi sasaran serangan terhadap kemudahan AS oleh Teheran, berkata, beberapa pos sempadan dan sebuah pelantar minyak luar pesisir turut diserang.
Pertempuran baharu itu berlaku selepas Iran menyerang sebuah kapal dagang di Selat Hormuz awal Ahad, menyebabkan anak kapalnya terpaksa meninggalkan kapal selepas ia terbakar.
Kor Pengawal Revolusi Iran berkata selepas insiden itu bahawa Selat Hormuz akan ditutup sehingga diberitahu kelak dan sehingga campur tangan Amerika di rantau ini berakhir, menurut agensi berita negara IRNA. – AFP










