Pramugari tertua di dunia masih kuat terbang di awan biru - Utusan Malaysia

Pramugari tertua di dunia masih kuat terbang di awan biru

Bette Nash memulakan karier sejak 4 November 1957 dengan syarikat penerbangan Eastern Air Lines.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEKETIKA dahulu, kerjaya di awan biru menjadi impian ramai orang kerana dapat melancong ke pelbagai negara ketika bekerja.

Dengan hanya menyarung seragam pramugari, sudah menjadi ‘tiket sah’ untuk ke seluruh pelosok dunia.

Namun, sejak penularan pandemik Covid-19, dua tahun lalu, industri penerbangan antara yang terjejas teruk sehingga terpaksa mengambil langkah mengurangkan kakitangannya.

Ini ekoran penurunan permintaan tempahan penerbangan selepas banyak negara di dunia menutup pintu sempadan.

Siapa sangka selepas keadaan kembali reda dan dunia sudah mula memasuki fasa endemik, seorang pramugari berusia 86 tahun masih setia dengan seragam pramugari.

Di dadanya, tersemat lencana kesetiaan tanpa berbelah bahagi sehingga dinobatkan sebagai pramugari paling lama berkhidmat di dunia oleh Guinness World Records.

Individu itu adalah Bette Nash yang bekerja di syarikat penerbangan antarabangsa, American Airlines selama 65 tahun.

Wanita itu memulakan kerjaya sebagai pramugari ketika berusia 21 tahun.

Nash yang sudah bergelar pramugari senior memiliki sedikit kelebihan apabila boleh memilih laluan penerbangan yang diingininya.

Sebahagian besar karier dia melakukan penerbangan ulang alik dari New York-Washington – Boston.

Pilihan laluan itu bagi membolehkan dia pulang setiap malam untuk menjaga anak lelakinya yang kurang upaya.

KERJA SEJAK 1957
Nash memulakan karier sejak 4 November 1957 dengan syarikat penerbangan Eastern Air Lines.

Hari pertamanya bekerja adalah tepat sebulan selepas Kesatuan Soviet melancarkan Sputnik iaitu satelit buatan pertama di dunia dan setahun sebelum pesawat Boeing 707 memasuki perkhidmatan secara rasmi bagi perjalanan udara komersial.

Wanita itu juga pernah menaiki pesawat yang membawa bekas Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump pada 1980an.

Nash akhirnya memilih American Airlines sebagai syarikat terakhir untuk berkhidmat di awan biru.

Dia kini masih berkhidmat sebagai atendan penerbangan dan akan meraikan ulang tahun kerjayanya yang memasuki enam dekad pada musim gugur ini.

“Jika anda pernah terbang bersama kami, kemungkinan besar anda telah bertemu dengan legenda #AATeam Bette Nash.

“Dia telah terbang bersama kami selama 64 tahun dan mempunyai kerjaya pramugari paling lama dalam sejarah kami,” tulis American Airlines dalam catatan Instagram.

Potong gaji kalau berat badan naik
Bercerita mengenai pengalaman sepanjang menceburi kerjaya sebagai pramugari, Nash berkata, antara syarat tidak boleh dilupakannya adalah pramugari perlu kekal berstatus bujang.

Jelasnya, pihak syarikat penerbangan akan memeriksa rumah pekerja bagi memastikan dia tidak tinggal bersama lelaki.

Malah, katanya syarikat penerbangan juga akan menimbang berat badannya sebelum memulakan syif dan boleh menggantungnya jika berat badan bertambah.

“Anda perlu mempunyai ketinggian dan berat tertentu.

“Jika berat bertambah beberapa kilogram, anda perlu terus menimbang diri dan jika masih kekal seperti itu, mereka akan memotong gaji anda,” kongsinya.

Selain itu, Nash berkata, penumpang juga perlu membeli insurans nyawa dari mesin layan diri sebelum melakukan penerbangan.

Nash masih perlu menghadiri latihan kru penerbangan ditetapkan Jabatan Penerbangan Persekutuan dan sentiasa bersedia menyambut tetamu di pintu pesawat.

Dalam pada itu, Nash berkongsikan pengalaman apabila penumpang perlu membayar pramugari sebanyak AS$12 (RM50) semasa menaiki pesawat dari New York dan Washington.

“Kami perlu memberikan rokok dan mancis selepas menghidangkan makanan dalam pesawat. Ketika itu, jenama rokok seperti Kent dan Malboro sangat digemari penumpang,” katanya.

Selepas enam dekad berlalu, banyak perubahan sudah berlaku dalam industri penerbangan di seluruh dunia.

Namun, Nash masih kekal sebagai pelayan di awan biru dan tidak pernah jemu memberikan perkhidmatan terbaik kepada penumpang pesawat. – ABC NEWS

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN