KOTA BHARU: Kementerian Pertahanan kini menjalankan siasatan mengikut prosedur operasi standard (SOP) dengan memberi tumpuan kepada penilaian faktor manusia dan aspek teknikal peralatan bagi mengenal pasti punca kejadian yang mengakibatkan dua anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM) cedera ketika latihan menggunakan senjata berat di Kem Hobart, Kedah pada 29 Jun lalu.
Timbalan Menteri Pertahanan, Adly Zahari berkata, langkah tersebut bagi mengelakkan insiden tersebut berulang pada masa akan datang.
Katanya, walaupun insiden seumpama itu jarang berlaku, setiap kejadian akan dinilai secara menyeluruh sebelum langkah penambahbaikan dilaksanakan bagi mengelakkan ia berulang.
“Walaupun kes ini jarang berlaku, kita menjalankan siasatan mengikut SOP dan mengambil kira semua aspek dengan menilai faktor manusia serta teknikal peralatan.
“Apabila menerima laporan siasatan, kita akan menentukan langkah susulan yang perlu diambil supaya kejadian seperti ini tidak berulang. Kita sentiasa membuat penilaian setiap kali berlaku sesuatu insiden,” katanya kepada pemberita selepas Jelajah Wira: Edisi Pantai Timur di Kem Desa Pahlawan, di sini hari ini.
Adly memberitahu, kementerian terus berpegang kepada SOP sedia ada dalam setiap latihan dan siasatan yang dijalankan akan menjadi asas kepada sebarang penambahbaikan aspek keselamatan.
Utusan Malaysia sebelum ini melaporkan bahawa dalam kejadian kira-kira pukul 6.05 petang pada 29 Jun lalu, seorang pelatih berpangkat koperal berusia 29 tahun cedera pada lutut kiri, manakala seorang jurulatih berpangkat sarjan berusia 35 tahun cedera pada paha kiri.
Ketika kejadian, kedua-dua mangsa bersama peserta lain sedang mengikuti latihan pelbagai senjata yang bermula pada 29 Jun dan dijadualkan berakhir hari ini. – UTUSAN










