Jawatankuasa khas rentas agensi tangani jenayah scam

Jawatankuasa khas rentas agensi tangani jenayah scam

FAHMI FADZIL
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Kerajaan telah menubuhkan sebuah jawatankuasa kerja dan kumpulan teknikal khas bagi menangani jenayah penipuan dalam talian atau scam daripada terus berleluasa di negara.

Jawatankuasa rentas kementerian yang ditubuhkan pada 18 Jun selepas dipersetujui Jemaah Menteri, berfungsi sebagai jawatankuasa kerja dan kumpulan teknikal yang melibatkan kementerian, agensi penguatkuasaan, sektor perbankan, syarikat telekomunikasi serta platform media sosial.

Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil berkata, penubuhan itu susulan pemukiman Jemaah Menteri yang membincangkan peningkatan kes jenayah berkenaan dan mesyuarat pertama jawatankuasa kerja itu akan diadakan dalam tempoh terdekat dengan penglibatan pelbagai kementerian, agensi dan jabatan berkaitan.

Katanya, pendekatan merentas agensi itu bagi memperkukuh usaha penguatkuasaan, perundangan dan siasatan bagi meningkatkan keselamatan pengguna di platform digital.

“Ini melibatkan pelbagai kementerian, agensi, jabatan malah buat pertama kalinya sektor perbankan, sektor telekomunikasi serta platform utama termasuk media sosial akan turut dilibatkan.

“Ini adalah satu langkah proaktif di pihak kerajaan untuk mengenal pasti isu yang dihadapi dan menguruskan sama ada dari segi penguatkuasaan, perundangan dan juga siasatan supaya rakyat Malaysia dapat menggunakan platform digital lebih selamat,” katanya pada Sidang Media Mingguan di Angkasapuri, hari ini.

Jurucakap Kerajaan Madani ini berkata, hasil penubuhan jawatankuasa berkenaan kerajaan menjangkakan beberapa perkembangan positif dapat dicapai dalam tempoh terdekat, bagaimanapun, tidak dapat memperincikan strategi dibincangkan bagi mengelakkan ia diketahui pihak tidak bertanggungjawab.

“Ya, kita jangkakan dalam masa terdekat, beberapa perkara akan dapat diuruskan. Saya tidak boleh bercakap terlalu terbuka kerana yang sedang menonton ini juga mungkin dalam kalangan scammer,” katanya.

Pendekatan merentas agensi itu sebelum ini pernah digunakan dalam menangani jenayah seksual terhadap kanak-kanak dan terbukti berkesan melalui beberapa operasi khas.

“Jadi kita jangka dengan adanya jawatankuasa kerja ini, tindakan yang lebih tegas, lebih pantas dan lebih tuntas dapat diambil terhadap scammer,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN