KOTA TINGGI: Sebarang dakwaan atau sokongan daripada mana-mana pihak kepada Barisan Nasional (BN) hanya akan dibuktikan menerusi keputusan pengundian pada 11 Julai nanti.
Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, setakat ini BN menghormati pendirian mana-mana gabungan politik termasuk gesaan Pas supaya pengundi menolak Pakatan Harapan (PH).
Katanya, BN bagaimanapun tetap kekal memberi tumpuan kepada gerak kerja kempen dan calon-calonnya.
“Itu adalah pendekatan mereka. Kami bergerak secara profesional, kami memberikan tumpuan kepada calon-calon dan tentunya jika ada sokongan tambahan itu adalah lebih baik.
“Kami mahu melihat pencapaiannya pada 11 hari bulan nanti apabila peti-peti undi dibuka. Itulah bukti nyata sama ada apa yang mereka katakan itu benar atau sebaliknya,” katanya pada sidang media selepas menghadiri Majlis Apresiasi Kejora di sini, hari ini.
Media sebelum ini melaporkan, Pas menggesa pengundi tidak memberikan undi kepada Pakatan Harapan (PH) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor termasuk di kerusi yang menyaksikan pertandingan dua penjuru antara BN dan PH.
Presidennya, Tan Sri Abdul Hadi Awang berkata, ketetapan itu antara lima resolusi yang diputuskan dalam Mesyuarat Khas Jawatankuasa Kerja Pas Pusat, Isnin lalu.
Dalam pada itu, mengulas dakwaan sesetengah pihak bahawa kempen PRN Johor kali ini suram, Ahmad Zahid berkata, tanggapan itu hanya persepsi sesetengah pihak sedangkan BN kini sibuk berkempen dengan suasana rancak.
“Suasana suram itu mungkin tafsiran daripada pelbagai pihak yang lain, tetapi BN merasakan bahawa kempen ini sedang rancak dijalankan.
“Apa juga pendirian gabungan lain terhadap BN adalah hak mereka sama ada untuk menyokong atau sebaliknya.
“Tentunya kita berterima kasih jika sokongan itu dapat diterjemahkan dalam bentuk undi pada 11 hari bulan nanti dan membantu kemenangan calon-calon BN untuk PRN Johor,” katanya. – UTUSAN










