SRI GADING: Bekas Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin turun membantu calon Barisan Nasional (BN) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Parit Yaani, Datuk Mohamad Najib Samuri.
Khairy tiba sekitar pukul 12.30 tengahari di Sup Kambing Kanopi Parit Besar, di sini dan disambut oleh Mohamad Najib dan Ketua UMNO Bahagian Sri Gading, Datuk Mohd Lassim Burhan.
Khairy berkata, beliau bersyukur diterima semula sebagai ahli UMNO selepas dipecat pada 28 Januari 2023.
Katanya, beliau turun berkempen kerana mahu menggunakan pengaruhnya untuk membantu calon BN PRN Johor dan membentuk kerajaan negeri selepas 11 Julai ini.
“Saya nak balas jasa pimpinan UMNO yang menerima saya kembali dengan membantu calon BN menang dalam PRN Johor.
“Saya tidak minta apa-apa jawatan dari Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi. Saya kata biar saya turun,” katanya ketika menyampaikan ucapan di sini, hari ini.
Mohamad Najib sebelum ini memenangi kerusi DUN Parit Yaani dengan majoriti 294 undi dalam pertembungan empat penjuru, sekali gus merampas kerusi berkenaan daripada Pakatan Harapan (PH).
Dalam siri PRN Johor ke-16, Mohamad Najib yang merupakan penyandang akan berhadapan dengan calon PH, Md Ezam Md Taslim.
DUN Parit Yaani melibatkan seramai 44,741 pengundi berdaftar. – UTUSAN










