MUKADIMAH
‘BERGEGAR’ seluruh Malaysia susulan pendedahan laporan Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) berhubung projek kapal tempur pesisir (LCS) membabitkan Boustead Naval Shipyard Sdn. Bhd. (BNS).
Isu ini turut memberi tamparan sekali lagi kepada kerajaan Malaysia dan industri pertahanan negara di mata dunia selepas kegagalan projek kapal peronda generasi baharu (NGPV) kira-kira 20 tahun lalu.
Apa yang menyedihkan wang sebanyak RM 6.083 bilion telah pun dibayar, namun malangnya tiada satu pun kapal yang siap dan dapat diserahkan kepada Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM).
Bagi mendapatkan perspektif lebih mendalam, wartawan Mingguan Malaysia, MOHAMAD HAFIZ YUSOFF BAKRI menemu bual Pengerusi PAC, WONG KAH WOH bagi mendapatkan perspektif dan pengalaman beliau sepanjang berlangsungnya prosiding LCS. Turut membantu, jurufoto FAIZ ALIF AHMAD ZUBIR dan jurukamera, MOHD. FIKRI FADZIL.
MINGGUAN MALAYSIA: Berhubung laporan pendedahan siasatan terhadap kapal LCS. Apakah perbezaan antara Laporan Ketua Audit Negara dan laporan membabitkan PAC?
Kah Woh: Laporan Ketua Audit Negara tertakluk kepada Perkara 106 dan 107 Perlembagaan Persekutuan dan juga Akta Audit 1957. Untuk Laporan PAC, kita ditubuhkan di bawah Peraturan Mesyuarat Dewan Rakyat 77 (1) yang mana sejumlah ahli dilantik Parlimen dengan kuasa-kuasa yang dinyatakan.
Jadi seperti sayakan katakan tadi, Laporan Ketua Audit Negara ada punca kuasanya. Tanggungjawab Jabatan Audit Negara adalah menjalankan empat jenis pengauditan. Pertama mengaudit penyata kewangan semua agensi dan kementerian, kedua pematuhan, ketiga prestasi dan keempat mengaudit syarikat kerajaan.
PAC mempunyai kuasa menyiasat apa sahaja perbelanjaan wang kerajaan yang dibenarkan Parlimen. Kita turut menyiasat perkara berkaitan pentadbiran selain laporan yang dibentang Ketua Audit Negara di samping isu yang PAC fikir sesuai untuk menyiasat.
Berkenaan perbezaan siasatan antara Laporan Ketua Audit Negara dan PAC, ia sebenarnya amat berkait rapat. Kita laksanakan tanggungjawab yang hampir sama tapi punca kuasa berlainan. Setiap kali laporan Ketua Audit Negara dibentangkan ke Parlimen pada hari yang sama. Ketua Audit Negara akan memberikan taklimat kepada PAC untuk memastikan isu yang dibangkit boleh dibawa ke perhatian PAC.
Selepas itu, kita akan duduk dan bincang apakah isu yang perlu diambil tindakan untuk lakukan siasatan. Itu hubung kait tugas antara Jabatan Audit Negara dan PAC. Bagi PAC, selain laporan yang dibentangkan Ketua Audit Negara, kita juga ada kuasa untuk masuk apa jua perkara yang PAC fikir sesuai untuk disiasat.
PROSEDUR SIASATAN LCS
Bagaimana prosedur dan kriteria yang diambil kira untuk melakukan siasatan dalam satu-satu isu oleh pihak PAC termasuk berkaitan LCS?
PAC menyiasat perkara berkenaan dengan kira-kira wang negara dan segala perbelanjaan kerajaan. Namun, kalau baca Laporan Ketua Audit Negara, sekurang-kurangnya 15 ke 20 isu akan dibangkitkan.
Tapi tidak mungkin PAC akan dapat mengambil semua isu tersebut. Justeru, selepas mendapat pembentangan Ketua Audit Negara, kita akan duduk dan bincang serta mengambil isu mana yang PAC fikir patut untuk disiasat. PAC akan menilai dan mempertimbangkan betapa seriusnya isu yang terbabit dan untuk isu melibatkan kepentingan awam, memang PAC berikan keutamaan untuk menyiasat dan lakukan prosiding. Saya selaku pengerusi dan ahli akan duduk berbincang serta mencapai persetujuan dengan kes yang perlu diambil tindakan.
PAC mempunyai kuasa untuk menentukan mana satu isu yang hendak diadakan prosiding. Itu budi bicara PAC. Oleh kerana PAC dilantik dan merupakan sebahagian badan perundangan serta Dewan Rakyat, kita bertanggungjawab kepada Dewan Rakyat dan sekiranya ada usul untuk membawa apa-apa isu ke PAC, maka kita bertanggungjawab menyiasat.
Saya bagi satu contoh pada 2018, ada satu usul diluluskan Dewan Rakyat supaya PAC membuka semula siasatan kes berkenaan 1Malaysia Development Berhad (1MDB). Selepas arahan Dewan Rakyat, PAC memulakan prosiding pada ketika itu. Jadi, itu antara cara bagaimana PAC tentukan kes yang akan dipanggil. Ahli PAC ada ahli Parlimen dari pembangkang dan kerajaan.
Saya bersyukur sebab setiap ahli yang duduk dalam PAC apabila masuk dalam jawatankuasa ini, mereka tinggalkan pendirian politik. Ini penting untuk pastikan rumusan adil dan tidak memihak kepada sesiapa ,
Setiap keputusan juga akan dipastikan mendapat persetujuan dan konsensus antara semua ahli. Segala pendapat dan laporan PAC bebas daripada pengaruh politik. Saya bersyukur sebab ahli amat profesional mengendalikan kes sejak dari zaman Datuk Seri Dr. Ronald Kiandee dan Datuk Seri Noraini Ahmad. Tidak kira kes berlaku pada zaman siapa pun sama ada Pakatan Harapan (PH), Perikatan Nasional (PN) atau Barisan Nasional (BN), semua akan disiasat tanpa rasa gentar dan pilih kasih.
STRATEGI POLITIK?
Pendedahan kapal LCS dibuat di saat banyak pihak memperkatakan tentang Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) dan mengaitkan ia sebagai strategi politik. Apa pandangan YB?
Saya berharap semua pihak boleh memahami bagaimana PAC menjalankan tanggungjawab dan menyiasat satu-satu kes. Dalam isu rumit seperti LCS ini, kita telah pun mengadakan lebih 10 prosiding dan panggil 15 saksi di samping turun membuat lawatan tapak. Selepas itu barulah duduk dan muktamad laporan kita. Laporan LCS ambil masa lebih kurang setahun lapan bulan disiapkan.
Kita mulakan prosiding Disember 2020, hampir dua tahun lepas. Ia mengambil masa sebab proses siasatan dan memanggil saksi. Pada masa sama tumpuan bukan siasat untuk satu kes sahaja. Kita ada kes lain seperti 1 BestariNet, Program Malaysia Rumah Keduaku (MM2H) dan MySejahtera.
Untuk laporan ini memang kita tahu ia rumit dan ambil masa panjang. Boleh lihat laporan kita setebal 250 muka surat tidak termasuk paparan dan hansard. Hansard sahaja lebih 500 muka surat. Itu semua kerja keras dan komitmen daripada pasukan PAC.
Setelah panggil semua saksi, perlu hantar hansard untuk disahkan saksi berkenaan dan tunggu maklum balas. Selepas itu sekretariat perlu teliti semua hansard, paparan pembentangan dan menyediakan draf laporan. Ia kemudian dibawa masuk mesyuarat PAC untuk disahkan dan dipersetujui setiap perkataan. Ia mengambil masa. Kali ini kita sempat membentangkan pada hari terakhir persidangan Dewan Rakyat.
Saya memang mahu bentangkan awal pada minggu pertama, tetapi masalahnya laporan tidak siap minggu pertama dan saya pula kena Covid-19. Selain laporan LCS, kita sudah bentang tiga lagi laporan. Jumlah kali ini empat bukan satu. Cuma yang dapat perhatian kes LCS. Kes besar yang melibatkan banyak kontroversi.
Mengapa ada pihak lain yang tidak dipanggil dalam kes membabitkan LCS termasuk syarikat Perancis?
Dalam setiap prosiding PAC berhak panggil mana-mana saksi untuk hadir. Untuk kes LCS, sudah 10 prosiding dibuat dan turut membuat lawatan tapak serta memanggil 15 saksi.
PAC dalam menentukan siapa saksi yang akan dipanggil menilai semua keterangan saksi sebelumnya. Sekiranya PAC berpendapat bukti atau keterangan yang diperoleh itu cukup untuk PAC membuat satu laporan lengkap, maka kita akan teruskan buat laporan kita.
Tidak semestinya tidak ada hak atau siapa yang kena panggil atau siapa yang tidak. Tetapi itu bergantung kepada keputusan PAC. Untuk siasatan membabitkan LCS selepas panggil semua saksi ini, bagi saya siasatan kita lengkap dengan syor yang telah dikemukakan oleh kerajaan.
DEDAH PADA UMUM
Mengapa laporan PAC berhubung isu LCS terus didedahkan pada umum dan tidak terus disiasat pihak berkuasa?
PAC cabangnya daripada badan perundangan Parlimen. Kita memainkan peranan di bawah peraturan mesyuarat. Berkenaan agensi siasatan dan pelaksana seperti Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), mereka ada bidang kuasa sendiri.
Kita bincang berkenaan semak dan imbang badan perundangan terhadap eksekutif. Itu tanggungjawab kita. Tidak kira ia dalam siasatan PDRM atau SPRM. Kalau kita fikir perlu disiasat, kita siasat. Kadang-kadang PAC menyiasat satu-satu kes dan ada penyelewengan atau salah guna kuasa, kita akan syorkan SPRM ambil kes berkenaan untuk disiasat. PAC dapatkan hasil siasatan dengan rumusan yang ada. Kita bagi SPRM untuk ambil tindakan kerana mereka agensi penguatkuasaan. Kalau PDRM dan SPRM tidak sentuh pun, kita siasat dan rumuskan.
Untuk kes-kes lain pun, mungkin PDRM dan SPRM sedang siasat dan ia tidak bermakna kami tidak boleh siasat. Jadi memang kita mainkan peranan berlainan tapi dengan satu hasrat sahaja iaitu untuk pastikan setiap satu sen wang rakyat dijaga.
CABARAN SIASATAN
Apakah cabaran sepanjang mempengerusikan PAC terutama membabitkan kes besar seperti LCS yang mengambil masa panjang?
Secara umum, prosiding LCS ini sama dengan prosiding lain. Saya syukur sebab ada pasukan yang bertanggungjawab biarpun wakil daripada pembangkang atau kerajaan. Semua ahli sentiasa tunjuk dan paparkan semangat profesional dan laksanakan tanggungjawab kita.
Dari segi hubungan kerja tiada masalah. Saya tidak akan buat keputusan tanpa merujuk kepada ahli saya. Dalam masa sama, ahli beri kepercayaan pada saya dalam menentukan hala tuju PAC. Jadi berkenaan cabaran, oleh kerana PAC ini sejak awal lagi memang mempunyai satu kedudukan yang istimewa dalam badan perundangan kita, setiap kali saksi dipanggil sama ada Ketua Setiausaha, Menteri atau Ketua Pengarah akan hadir. Dan memang dalam pengalaman saya dalam PAC selama empat tahun, kehadiran saksi tidak pernah jadi masalah.
Namun, kadang-kadang ada berjumpa atau berhadapan dengan isu berkenaan perundangan. Contohnya, berkenaan isu yang dibawa ke mahkamah. Katakan 1Malaysia Development Malaysia Berhad (1MDB) yang ada kaitan dengan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak didakwa ke mahkamah. Sama ada patut PAC teruskan siasatan atau tidak.
Kedua, katakan ada kes sivil yang melibatkan kontraktor yang dapat kontrak sedang menyaman kerajaan Malaysia sama ada PAC mempunyai bidang kuasa untuk teruskan siasatan atau sebaliknya. Bagi saya, kita dengan persetujuan ahli PAC telah membuat pendirian. Walaupun satu-satu kes membabitkan mahkamah, ia tidak secara automatik membawa ke subjudis, selain sekiranya siasatan PAC atau pembentangan mempengaruhi secara negatif keputusan mahkamah.
Jadi, itu sebahagian daripada pandangan Peguam Negara yang diberikan kepada kita. Kerana selain ahli yang ada, kita ada wakil daripada Jabatan Audit Negara, Kementerian Kewangan, Jabatan Peguam Negara dan Unit Perancangan Ekonomi (EPU). Jadi daripada pandangan yang diberikan itu kita buat keputusan sama ada kita mahu teruskan siasatan atau tidak. Itu sedikit sebanyak antara cabaran dihadapi. Bagi saya satu prinsip tidak boleh digadai adalah peranan PAC sebagai semak dan imbang.
LAPORAN TEPAT
Sejauh mana laporan dan dapatan laporan PAC tepat apabila data Jawatankuasa Siasatan Tadbir Urus, Perolehan dan Kewangan Kerajaan (JKSTUPKK) dan PAC tidak selari?
Bagi saya apabila laporan ini diterbitkan dan dibentangkan di Parlimen, saya alu-alukan segala pandangan di luar sana berkenaan rumusan PAC. Secara umumnya saya nyatakan bahawa pendapat dan rumusan berpaksikan hansard, keterangan dokumen dan bukti yang dikemukakan kepada PAC oleh saksi.
Semua ini ada tercatat dalam hansard. Untuk memantapkan laporan PAC, memang kita petik percakapan saksi dan masuk ke dalam kandungan laporan. Kita tahu laporan kita dan kita pun ada hansard. Ia memang sesuatu yang tidak dapat dipinda dan memberi satu gambaran keterangan dengan jelas. Dalam laporan PAC kita ambil semua dokumen dan hansard yang ada. Selepas itu kita muktamadkan laporan kita.
Berkenaan dengan jadual itu (Lihat jadual disertakan) memang kita nampak daripada segi kemajuan dan pembayaran sama.
Kementerian Pertahanan memberi tahu kita LCS 1 kemajuan kerja sebenar 44. 1 peratus dengan jumlah yang telah dibayar RM63.77 peratus. Dan peratusan kemajuan di kolum lima ini berbeza dengan kemajuan yang dinyatakan Kementerian Pertahanan.
Ini kerana pembentangan kepada PAC pula pada hari berlainan. Jangan lupa laporan JKSTUPKK ini dimuktamadkan pada 2019.
Justeru, ia ada kemajuan sama ada setiap enam bulan atau setahun. Saya tidak akan kata laporan jawatankuasa itu tidak tepat atau sebaliknya. Sebab, kadang-kadang seperti saya kata JKSTUPKK mempunyai angka setakat tahun 2018 atau 2019.
Laporan siap mereka tidak panggil saksi lain lagi. Kami kami siasat pada 2021. Jadi ia ada progres tersendiri. Daripada segi fakta kadang-kadang tertukar sikit. Sudah tentu fakta berkenaan apa yang berlaku pada tahun-tahun itu tidak ubah . Tapi pada 2019 sampai 2020 hingga sekarang memang ada kemajuan dari segi angka dan fakta. – MINGGUAN MALAYSIA










