Merdeka itu patriotisme atau nasionalisme?

Merdeka itu patriotisme atau nasionalisme?

RAKYAT perlu sedar betapa pentingnya nilai patriotisme bagi memupuk semangat perpaduan yang tinggi sekali gus menentukan hala tuju ke arah negara maju yang kukuh.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MERDEKA! Merdeka! Merdeka.

Teriakan suara hangat, suara penuh semangat, suara keramat yang keluar dari jiwa yang merdeka. Zaman dulu-dulu, nenek moyang kita menyebut serta melafazkan perkataan ini dengan suara bergetar yang mempunyai rasa dalam jiwa kerana berasa sangat-sangat terharu, sangat gembira dan sangat bersyukur.

Kini bagaimana perasaan kita apabila perkataan merdeka ini disebut atau dilafazkan? Adakah kita rasa terharu, bersyukur atau bangga?

Selama 65 tahun negara merdeka daripada penjajahan. Alhamdulillah.

Tidak boleh tidak, setiap kali munculnya Ogos, isu berkaitan semangat patriotisme sering kali menjadi bualan masyarakat. Patriotisme sering kali dikaitkan dengan cintakan watan yang menjadi satu semangat atau nilai perlu dihayati oleh segenap lapisan masyarakat khususnya generasi muda.

Nilai patriotisme yang menjadi sebahagian daripada nilai murni, sekiranya dapat dijiwai dan diamalkan sebaik mungkin akan dapat menyumbang ke arah pembentukan generasi berhemah tinggi dan berakhlak mulia.

Selain itu, patriotisme berkait rapat dengan nasionalisme dan kedua-dua istilah ini sering ditukar ganti penggunaannya seolah-olah sinonim satu sama lain. Patriotisme juga membayangkan seseorang wajar mengutamakan kepentingan negara berbanding diri dan kelompoknya. Ketika peperangan, mungkin nyawa diri yang perlu dikorbankan. Gugur dalam pertempuran demi tanah air adalah contoh tipikal bagi patriotisme yang aulia atau ekstrem.

Walaupun patriotisme sering disamakan dengan nasionalisme, kedua-duanya ada perbezaan. Semangat patriotik dapat disimpulkan sebagai roh atau kumpulan orang yang mempunyai pendapat sama dalam mengekalkan dan melindungi negara tercinta. Nasionalisme pula wujud selepas patriotisme dibina dalam jiwa setiap individu dalam masyarakat. Ia wujud selepas beransur-ansur penjanaan nilai-nilai positif patriotik dalam individu untuk mempertahankan semangat nasionalisme.

Patriotisme juga banyak bergantung kepada tindakan simbolik seperti mempamerkan bendera, menyanyi lagu kebangsaan, menyertai perhimpunan berunsurkan kenegaraan secara beramai-ramai, meletakkan pelekat patriotik pada kenderaan atau apa-apa cara sekalipun untuk menyatakan kesetiaan kepada negara pada peringkat umum.

Bagaimanapun, masyarakat sekarang seakan-akan lupa pentingnya memupuk semangat patriotisme dalam diri masing-masing. Hal ini kerana sering kali melihat anak bangsa tidak mengambil endah isu-isu yang menonjolkan semangat patriotisme seperti bangga pencapaian negara dan budaya bangsa, kehendak memelihara ciri-ciri bangsa dan dasar budayanya dan identifikasi dengan ahli-ahli lain dalam bangsa.

KONFLIK BERDARAH
Tanpa kita sedar, patriotisme memainkan peranan sangat penting dalam mengekalkan kemerdekaan yang telah dicapai selama ini. Antara signifikasi patriotisme adalah membina nilai persefahaman dan penyatuan antara kaum, menjadi pemacu kepada kemajuan negara serta satu pelaburan strategik ke arah keselamatan negara.

Mungkin kita tidak pernah perasan, kebanyakan tema kemerdekaan berkaitan dengan perpaduan rakyat. Dari sini, kita dapat lihat bertapa pentingnya perpaduan sebagai pengikat dalam kalangan rakyat majmuk.

Pernahkah kita berfikir apa yang akan terjadi pada kemajuan negara jika nilai patriotisme tidak diterap dalam diri? Lihatlah apa yang terjadi melalui peperangan Iraq dan Afghanistan, penjajahan Israel ke atas Palestin, Mexico dengan masalah dadah serta Thailand dengan konflik berdarah oleh kumpulan Baju Merah lawan Baju Kuning. Kesan kepada keadaan yang dihadapi menyebabkan perkembangan ekonomi mereka terencat serta mengganggu hubungan baik antara negara.

Kestabilan ekonomi sesebuah negara tidak dapat dikekalkan jika masalah-masalah dalaman yang telah atau sedang harungi, tidak dirungkai. Rakyat Malaysia perlu sedar betapa pentingnya nilai patriotisme bagi memupuk semangat perpaduan yang tinggi sekali gus menentukan hala tuju ke arah negara maju yang kukuh. Kejayaan yang dicapai hari ini bukanlah bergantung kepada individu semata-mata, tetapi merangkumi semua aspek seperti patriotisme rakyat.

Tidak dinafikan tugas menjaga keselamatan negara diterajui sepenuhnya oleh pihak berkenaan seperti polis dan tentera. Namun begitu, tanggungjawab ini juga sepatutnya digalas oleh setiap warganegara.

Dengan semangat patriotisme yang tinggi, rakyat menjadi semakin peka dan prihatin terhadap maruah dan kedaulatan negara. Lantaran itu, jumlah anggota yang diperlukan dalam Rejimen Askar Wataniah (AW) dan Ikatan Relawan Rakyat Malaysia (Rela) yang menjadi benteng kedua keselamatan negara dapat dipenuhi. Selain itu, gerakan pihak subversif yang sering menghasut minda masyarakat, dapat disekati.

Justeru, patriotisme adalah ejen sosialisasi yang berkesan dan mantap untuk mengekalkan kemerdekaan sehingga akan datang. Bagaimanapun, terdapat banyak kekangan untuk mencapai objektif ke arah sifat patriotisme dan negara bertamadun tinggi.

Sehubungan itu, perlunya inti pati semangat ini diselitkan dalam pendidikan negara terutama dari sekolah rendah, bak kata pepatah Melayu, melentur buluh biarlah dari rebungnya. Oleh itu, pendidik perlu menyemai semangat patriotisme dengan lebih kreatif supaya pelajar dapat menjiwai lebih mendalam.-UTUSAN

DR. Ahmad Zaharuddin Sani Sabri ialah pemerhati politik dan sosial.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×