Kampung Sungai Jernih sahut cabaran bebas asap rokok - Utusan Malaysia

Kampung Sungai Jernih sahut cabaran bebas asap rokok

JAAFAR Atan menampal pelekat Rumah Bebas Asap Rokok di rumah seorang penduduk Kampung Sungai Jernih di Lubok Cina, Melaka yang mengambil bahagian dalam program MyHouse.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ZON larangan merokok lazimnya diwartakan di kawasan tertentu, namun Kampung Sungai Jernih di Lubok Cina, Alor Gajah, Melaka mengambil inisiatif lebih berani apabila mewujudkan perkampungan bebas asap rokok.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Sungai Jernih, Jaafar Atan berkata, kerajaan negeri memanggil semua pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) untuk memberi penerangan mengenai program Melaka Bebas Asap Rokok (MBAR) pada 2010.

Selesai sahaja taklimat katanya, Kementerian Kesihatan (KKM) mencabar siapa antara JKKK yang berani mengisytiharkan kampung mereka bebas asap rokok.

“Saya mewakili kampung atas tiket Panel Penasihat Kesihatan Lubok Cina kerana Pengerusi JKKK tidak dapat hadir. Hampir 20 buah kampung sanggup isytihar bebas asap rokok, tapi menurun kepada lima kampung selepas beberapa siri penerangan dibuat.

“KKM menetapkan syarat tidak boleh memiliki sebarang jenama rokok dalam rumah termasuk pada barang peribadi. Justeru, Kampung Sungai Jernih tampil untuk menyertai Komuniti Bebas Asap Rokok (KBAR) pada 2012 dengan peruntukan RM4,000 setahun,” katanya.

Peruntukan tersebut diterima untuk tempoh dua tahun sehingga 2013. Selepas itu diperoleh melalui penglibatan dalam aktiviti Komuniti Sihat Pembina Negara (Kospen).

Kata Jaafar, pada peringkat awal penduduk agak sukar memahami tindakannya menyertai KBAR kerana beliau sendiri mempunyai kedai runcit yang menjual rokok.

“KBAR bukan bermaksud mereka dipaksa berhenti merokok, tetapi sebagai medium mewujudkan persekitaran sihat. Sesiapa yang mahu sertai program ini akan diberikan pelekat Rumah Bebas Asap Rokok (MyHouse).

“Institusi kekeluargaan bermula di rumah dan jika tidak diberi kesedaran awal, orang lain yang tidak merokok akan menderita kesan buruknya.

“Saya ada menjual rokok di kedai runcit yang diwarisi daripada arwah ayah, tetapi saya bukan perokok. Setelah sertai KBAR, saya hentikan penjualan rokok perlahan-lahan dengan tidak menambah bekalan baharu.Lama-kelamaan orang ramai dapat menerimanya dan usaha saya diikuti beberapa kedai runcit lain,” katanya.

Kejayaan KBAR dilihat melalui perubahan sikap penduduk yang tidak lagi merokok secara terbuka di kawasan awam serta menghormati pendirian tuan rumah yang menyertai MyHouse.

Kampung Sungai Jernih layak digelar kawasan bebas rokok selepas 40 daripada 80 buah rumah menyertai MyHouse dan mereka komited memastikan tiada aktiviti menghisap rokok dalam kalangan ahli keluarga di rumah.

Gegantung dan papan tanda diletakkan di tempat awam seperti balai raya, masjid dan pintu masuk utama bagi memaklumkan pelawat memasuki kawasan larangan merokok.

Nyata kegigihan Kampung Sungai Jernih melaksanakan KBAR mendapat pengiktirafan apabila dianugerahkan Reben Biru oleh KKM pada 2018.

Berhenti merokok selepas menyertai MyHouse
KEPUTUSAN berhenti merokok bukan satu tugas mudah lebih-lebih lagi sudah terjebak dengan aktiviti tidak sihat itu lebih 40 tahun lalu.

Bekas perokok tegar, Ilham Harun, 64, sudah lama berhasrat untuk meninggalkan tabiat merokok, namun usaha yang dilakukannya itu terhenti separuh jalan.

Dia yang mula merokok sejak berusia 15 tahun, 13 kali cuba berhenti merokok, akhirnya berjaya selepas menyertai program MyHouse.

“Umur saya sudah menginjak 57 tahun ketika berhenti merokok.

“Saya nekad berubah selepas menyertai MyHouse pada 2017 kerana sedar jika tidak mula dari rumah, bagaimana hendak tunjuk contoh baik kepada ahli keluarga dan masyarakat.

“Peringkat awal agak sukar, namun kerana komitmen program ini membuatkan saya kuat. Persekitaran yang diwujudkan MyHouse sangat berkesan sekaligus membantu saya berhenti,” katanya.

Sementara itu, peserta MyHouse, Norizan Abdul Mulok, 57, berkata, dia menyertai program berkenaan pada 2012 kerana mahu kediamannya bebas asap rokok.

Katanya, plak MyHouse ditampal di pintu masuk rumah membuatkan ahli keluarga serta tetamu yang datang menghormati pendiriannya yang tidak membenarkan aktiviti merokok.

“Banyak kesan buruk asap rokok kepada perokok pasif atau yang tidak merokok seperti batuk dan kerosakan paru-paru.

“Ia turut mewujudkan rasa tidak selesa kerana menyebabkan orang lain sukar bernafas.

“Lama-kelamaan mereka faham dan hormati keputusan saya. Jika hendak merokok, boleh berbuat demikian di luar rumah, bawah pokok dan bukan di khalayak ramai,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×