Filem Juang melawan peperangan tak terlihat

Filem Juang melawan peperangan tak terlihat

juang
Filem Juang.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BARANGKALI Juang bukan sebuah naskhah yang memperlihatkan pertempuran melawan musuh di medan perang, namun filem ini turut membawa erti perjuangan yang tersendiri.

Bezanya, peperangan itu adalah yang tidak terlihat dan itu yang dirasai rakyat ketika berdepan situasi getir, pandemik Covid-19 yang membadai negara, dua tahun lalu.

Isu itu diangkat dan menjadi inti pati utama naskhah yang menyaksikan lima pengarah bersatu mengerah keringat dan idea kreatif masing-masing untuk mencantikkan keseluruhan jalan cerita.

Mereka adalah Matt Lai, Aziz M Osman, Osman Ali, Yusry Abdul Halim dan Kabir Bhatia yang diberikan tanggungjawab menggarap setiap babak yang telah ditentukan.

Meskipun begitu, ia tidak mencacatkan keseluruhan plot yang telah disusun, malah konsep digarap ini memberi penonton peluang menikmati ‘air tangan’ setiap pengarah mengikut emosi dan situasi berbeza.

Mengetuai pembikinan filem ini, Matt berkata, dia bertuah terlibat dalam projek yang memberikannya pengalaman baharu.

“Walaupun ada lima pengarah dalam satu masa sama, setiap orang menyuntik rasa dan kreativiti berbeza. Jalan ceritanya berkesinambungan dan semua konsisten dalam mengatur perjalanan cerita.

“Kami menyajikan kisah yang pernah dilalui rakyat ketika pandemik. Mungkin 30 peratus daripadanya kisah benar, tetapi keseluruhan filem ini mendapat inspirasi daripada kejadian yang pernah berlaku.

“Sebagai contoh, babak di lapangan terbang melibatkan usaha membawa pulang lebih 100 rakyat Malaysia yang berada di Wuhan,China. Itu adalah kisah nyata yang digarap oleh Kabir dalam filem ini,” katanya.

Kata Matt, pihak produksi filem yang menelan belanja mencecah RM6 juta itu turut menekankan aspek pemilihan pelakon supaya kemunculan mereka mampu memberikan impak kepada penonton.

Ia bersesuaian dengan objektif utama filem ini iaitu memastikan setiap mesej positif yang diterapkan sampai kepada penonton.

“Kita memang mahukan pelakon yang berwibawa bagi membawakan setiap watak. Boleh dilihat, filem ini menampilkan pelakon utama pelbagai bangsa.

“Apa yang saya suka, kesemua mereka mampu membawakan watak yang diberikan dengan berkesan. Mungkin kerana itu, filem ini nampak ‘hidup’.

“Kalau ada yang perasan, tiada watak antagonis dalam Juang dan inilah yang menjadikan filem ini memiliki keistimewaan tersendiri,” katanya mengenai produksi yang membabitkan lebih 500 pemain industri hiburan.

BABIT 500 TENAGA KERJA

Matt juga meluahkan rasa bangga kerana hasil usaha mereka, Juang mendapat pengiktirafan Malaysia Book Of Records (MBOR) iatu Karyawan Paling Ramai Terbabit Dalam Satu Naskhah.

“Kolaborasi antara Asia Tropical Films Sdn Bhd bersama The Engine Sdn. Bhd. ini membabitkan 335 pelakon iaitu 100 pelakon membawa watak utama, manakala 235 lagi untuk watak sampingan.

“Lima pengarah hebat pula dibantu 165 tenaga di sebalik tabir yang cukup komited dan telah menjadikan Juang sebagai naskhah yang meninggalkan sejarah tersendiri,”ujarnya.

Tambah Matt, tayangan Juang bermula 8 September ini adalah tepat, meskipun mereka terpaksa ‘bersabar’ menanti.

“Filem ini membawa penonton mengenang dan mengimbau perjuangan, keperitan, kesedihan dan sejarah yang telah merubah dunia serta kehidupan setiap manusia.

“Paling penting adalah pengorbanan besar setiap individu yang kita gelar sebagai adiwira iaitu petugas di barisan hadapan,” katanya.

Juang membariskan pelakon handalan berbilang bangsa seperti Zul Ariffin, Zizan Razak, Janna Nick, Izzue Islam, Sangeeta Krishnasamy, Chew Kin Wah, Angelin Tan, Steve Yap serta penampilan Allahyarham Adibah Noor.

Ia memaparkan perit getir yang diinspirasikan sepanjang dua tahun negara berdepan pandemik yang cukup meninggalkan kesan mendalam.

Filem ini diperkuatkan dengan lagu tema Wira Hatiku dendangan Datuk Sheila Majid bersama iringan muzik dari Orkestra Filharmonik Malaysia (MPO).

Turut terlibat menyumbangkan suara untuk lagu tema ialah penyanyi terkemuka, Datuk Seri Siti Nurhaliza menerusi Sama-Sama. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya