Hasil lumayan punca penduduk pilih melombong secara haram

Hasil lumayan punca penduduk pilih melombong secara haram

KEADAAN lokasi kejadian yang meragut nyawa dua lelaki ketika melombong emas di kawasan anak sungai Ladang Sawit Jerimbong, Jeli, Kelantan. - UTUSAN/KAMARUL BISMI KAMARUZAMAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JELI: Hasil lebih lumayan yang diperoleh melalui aktiviti perlombongan haram emas berbanding mendulang menjadikan segelintir penduduk di sini memilih untuk berbuat demikian.

Seorang penduduk yang mahu dikenali sebagai Lee, 45, berkata, melalui aktiviti melombong seseorang individu mampu memperoleh sehingga 10 gram sehari sekiranya kawasan itu kaya dengan mineral berkenaan.

Katanya, bagaimanapun mereka berdepan risiko yang boleh meragut nyawa sebagaimana yang berlaku di Jerimbong kelmarin.

“Untuk dapatkan emas, kita perlu menggunakan jengkaut untuk menggali lubang besar bagi mendapatkan tanah yang dipercayai mengandungi emas.

“Ada yang menggali tanah sehingga beberapa meter tanpa sistem keselamatan yang mengundang berlakunya tanah runtuh,” katanya.

Lee memberitahu, situasi itu membuat ada dalam kalangan penduduk menjadi rambang mata dan memilih untuk melombong secara haram.

Katanya, hal ini kerana kerajaan tidak membuka lesen kepada individu untuk melombong kerana dibimbangi boleh memberi kesan tidak baik kepada alam sekitar.

“Lesen hanya diberikan kepada syarikat yang mempunyai modal besar. Untuk penduduk seperti kami ini hanyalah lesen mendulang. Kebanyakan aktiviti melombong haram dilakukan tengah-tengah hutan bagi mengelakkan dikesan pihak berkuasa.

“Kalau berhampiran dengan anak-anak sungai kecil mereka menggunakan yang dibeli dari China dengan harga sekitar RM300 hingga RM500 itu akan diubah suai seperti rakit untuk memudahkan pergerakan dan kerja mengepam di dalam air,” ujarnya.

Mengulas lanjut, Lee berkata, bagi aktiviti mendulang penduduk hanya mempu memperoleh sekitar 0.05 gram emas sahaja dalam tempoh sehari bermula dari 8 pagi hingga 6 petang.

Sementara itu, Mail, 55, berkata, kejadian yang meragut nyawa individu semasa melombong sebagaimana berlaku semalam pernah terjadi sekitar 30 tahun lalu.

Katanya, walaupun penduduk mengetahui kejadian itu namun mereka tetap mengambil mengambil risiko berbuat demikian walaupun sekadar mahu menambah pendapatan.

“Melombong emas atau mendulang menjadi pendapatan sampingan penduduk di sini sejak puluhan tahun lalu.

“Rata-rata mereka penoreh getah, buruh kasar atau petani,” ujarnya.

Utusan Malaysia sebelum ini melaporkan, dua lelaki maut tertimbus di dalam lubang yang digali mereka dipercayai untuk melombong emas di kawasan anak sungai Ladang Sawit Jerimbong.

Terdahulu, Kerajaan Kelantan pada tahun lalu mengesahkan sebanyak 20 buah syarikat diberikan lesen untuk melombong emas di negeri ini namun hanya empat yang aktif melakukan kerja-kerja tersebut.

Timbalan Menteri Besar Datuk Dr. Mohamed Fadzli Hassan berkata, syarikat berkenaan ialah CNMC dengan kerjasama Perbadanan Kemajuan Iktisad Negeri Kelantan (PKINK), Yayasan Kraftangan Malaysia, Warisan Tiara dan PKINK melalui Syarikat Prima Warisan Venture. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN