KEMURUNGAN atau depression biasanya disebabkan oleh gabungan tekanan daripada peristiwa-peristiwa hidup dahulu (kisah lampau), perkara semasa (pandemik) dan peristiwa yang berlaku secara berpanjangan dan berterusan seperti kehilangan sumber pendapatan, terperangkap dalam hubungan toksik, tekanan di tempat kerja dan pengasingan atau isolation.
Individu lebih berisiko mengalami kemurungan jika mereka mempunyai ahli keluarga yang mengalami kemurungan, personaliti neurotik iaitu senang risau, keyakinan diri yang rendah dan mempunyai penyakit kronik serta penyalahgunaan dadah atau alkohol.
Pegawai Psikologi Klinikal, Hospital Pakar KPJ Ampang Puteri, Shazrina Sabri berkata, peningkatan kes kemurungan kebelakangan ini menjadi trigger point untuk seseorang mengalami kemurungan lebih teruk.
“Perkara semasa seperti faktor pandemik, tekanan di tempat kerja, kehilangan kerja dan masalah kewangan menjadi faktor pencetus dan faktor maintaining kepada kemurungan untuk sesetengah individu. Semua ini mungkin kelihatan seperti pencetus yang menjurus ke arah kebimbangan melampau dan berlaku kemurungan,” katanya kepada Seri.
Umumnya, untuk tahu sama ada kita okay atau tidak adalah dengan bertanya pada diri sendiri ‘adakah saya okay?’.
“Kita tahu yang kita ‘tidak okay’ atau bermasalah oleh itu bila rasa ada perubahan dalam diri, segera dapatkan bantuan,” katanya.
CARA ATASI
Apabila seseorang mengalami kecelaruan kemurungan, kebanyakan masa terutamanya pada peringkat awal, minda bawah sedar lebih dominan daripada minda sedar.
Minda bawah sedar banyak mempengaruhi pemikiran dan tingkah laku kita.
Contoh, dari sudut pemikiran, kadang-kadang tidak sedar yang kita sebenarnya sedang berfikiran secara tidak rasional tentang perkara-perkara yang terjadi di sekeliling atau lebih dikenali sebagai negative automatic thoughts.
Salah satu daripadanya adalah mind reading atau membaca fikiran. Cara fikiran seperti ini sangat berbahaya kerana lama-kelamaan kita akan terbiasa fikir secara negatif dan ini akan membawa kesan kepada persepsi terhadap diri sendiri.
Sudut tingkah laku pula, selalu marah kepada anak tapi hakikatnya sebenarnya kita marah pada bos tetapi anak menjadi mangsa keadaan. Kebanyakan keadaan berlaku tanpa kita sedari. Oleh itu, kaedah psikoterapi seperti Cognitive Behaviour Therapy membantu individu untuk sedar terhadap pemikiran negatif yang berlaku dalam keadaan minda bawah sedar dan untuk membetulkan pemikiran tersebut secara rasional dan positif.
INTERVENSI PSIKOTERAPI
Psikoterapi adalah salah satu kaedah digunakan khas oleh ahli terapi yang dilaksanakan secara efektif dan kurang digalakkan ahli keluarga untuk membuat psikoterapi sendiri.
Setiap orang memainkan peranan penting sebagai sokongan emosi untuk individu yang mengalami masalah kesihatan mental di samping rawatan terapi.
Mendengar luahan masalah tanpa pemikiran judgmental.
Bertanya khabar, meluangkan masa bersama dan tanpa memaksanya. Ini penting untuk mengawal atau memastikan individu tersebut mengambil ubat-ubatan mengikut preskripsi pakar psikiatri.










