MENONTON filem atau drama Korea (K-Drama), K-Show dan muzik Kumpulan K-Pop di televisyen dan media sosial berjam-jam setiap hari, bagaikan suatu ketagihan dalam kalangan peminat hiburan Korea Selatan itu.
Belum lagi cerita bab Konsert K-Pop yang ditunggu-tunggu. Sanggup berbelanja tiket berharga ribuan ringgit untuk menonton. Boleh dikatakan apa sahaja berkaitan K-Pop mereka jadi begitu taasub dan sanggup buat apa sahaja. Bak kata pepatah lautan api sanggup diredahi.
Ahli Bersekutu Etika Penyelidikan, Fakulti Pendidikan, Universiti Teknologi Mara (UiTM). Prof. Madya Dr. Siti Zuraida Maaruf berkata, budaya kontemporari ini seolah-olah seperti virus yang merebak pantas dalam kalangan anak-anak muda dan masyarakat, tidak kira bangsa dan agama sehingga sukar untuk membayangkan atau meneruskan kehidupan tanpanya.
Katanya keghairahan itu mendorong mereka alpa dan lupa akan adat serta tatasusila yang menjadi pegangan sebagai masyarakat Malaysia.
“K-Drama dan Muzik K-Pop yang berlegar di televisyen dan media sosial boleh dikatakan antara dua contoh budaya popular berjaya menyerap masuk dalam kehidupan remaja pada hari ini.
“Persoalannya, bagaimana budaya popular ini mempunyai kuasa yang hebat menarik dalam minat dalam kalangan generasi muda seluruh dunia, khususnya Malaysia?
“Anak-anak muda dilihat hanyut dibuai rasa fantasi yang dihidangkan dalam tontonan K-Drama, artis K-Pop membuatkan mereka berusaha untuk mengikut gaya hidup artis kegilaan mereka daripada aspek fesyen, makanan mahupun gaya komunikasi.
“Mereka sanggup mempelajari bahasa Korea untuk lebih mudah bertutur dan berkomunikasi. Ia sudah menjadi kebanggaan jika peminat budaya K-Pop mahir berbahasa Korea. Kebolehan berbahasa memang bagus namun sayangnya tulisan jawi semakin dipinggirkan,” katanya kepada Utusan Malaysia.
K-pop atau Pop Korea aliran muzik popular yang berasal dari Korea Selatan mengandungi campuran genre hip-hop, elektro, pop, rock dan R&B.
Ia menjadi satu cabang kebudayaan dalam kalangan remaja dan orang dewasa di seluruh dunia yang menimbulkan minat terhadap gaya dan fesyen daripada penyanyi dan kumpulan muzik Korea.
Capaian internet memudahkan lagi K-pop dicapai peminatnya yang berada di seluruh dunia. Genre ini sedang mengembangkan pengaruhnya di rantau ini, sama seperti muzik Amerika di Eropah sekitar tahun 80-an dan 90-an.
Kata Siti Zuraida, paling ketara dapat dilihat adalah daripada segi perubahan pengambilan pemakanan harian.
“Kalau dahulunya anak muda gemar kepada makanan segera seperti pizza dan burger, namun kini mereka lebih menggemari makanan jalanan Korea seperti Tteokbokki, oden, gimbab dan twigim.
Kemunculan makanan Korea yang baharu, pasti tidak boleh ketinggalan untuk dirasainya. Sesekali tidak salah namun apabila terlalu mengagungkan ia menjadi keterlaluan.
“Pengusaha restoran turut mengambil kesempatan dan berlumba-lumba membawa masuk makanan dari Korea kerana permintaan tinggi pelanggan yang menggemari makanan ini semakin bertambah dek kerana terpengaruh dengan K-Drama dan budaya mereka,” katanya.
Terikut-ikut gaya hidup Korea
Peminat K-Pop akan terikut-ikut atau meniru gaya artis dan idol K-Pop daripada pelbagai segi termasuklah cara berpakaian, penggayaan rambut dan aspek pemakanan. Sedangkan cara pemakaian tradisional seperti kain batik, sari dan sebagainya kurang mendapat sambutan.
Siti Zuraida berkata, lebih mengejutkan lagi, gaya oppa (lelaki Korea) sering menjadi ikutan bagi wanita berperwatakan seperti lelaki (tomboy) bahkan menjadi pujaan dan bangga dipuji di media sosial. Hakikatnya, ini suatu hal yang parah.
“Sejak kemunculan aplikasi TikTok, dapat kita lihat ramai yang berlumba-lumba mencari atau berkongsi kandungan di media tersebut untuk mencipta populariti.
“Mereka juga kian alpa dan tanpa segan silu menari dan bergelek mengikut rentak muzik terkini.
“Adakalanya kandungan ditawarkan juga kurang sesuai dipertontonkan namun ia sukar dibendung. Ramai yang telah hilang rasa hormat kerana terlalu ghairah berkongsi kandungan di media sosial.
“Hal ini dilihat bertentangan dengan amalan dan kepercayaan agama yang selama ini ditekankan dalam kehidupan masyarakat kita,” katanya.
TAK JAHIL BUDAYA ASAL
Fanatik budaya popular atau budaya pop ini dilihat sebagai virus yang semakin merebak. Sekiranya tidak dibendung, dikhuatiri memberi impak negatif terhadap keruntuhan akhlak dan moral generasi kini.
“Kita tidak menafikan budaya pop yang boleh ditakrifkan sebagai objek komersial, dihasilkan untuk kegunaan besar-besaran memberi kesan negatif terhadap anak-anak muda. Kesan negatif dapat dilihat apabila remaja atau anak muda menjadi terlalu fanatik dan obses dengan idol masing-masing. Menubuhkan kelab peminat, tidak boleh hidup tanpanya selain akan merintih atas pemergian artis kesayangan seolah-olah bukan sekadar minat tetapi mentuhankan artis kpop ini. Anak-anak ini masih lemah dan kurang faham makna antara berhibur dengan obses.
“Isu ini tidak boleh dipandang mudah. Kemasukan elemen budaya popular ini perlu dipantau dan dikawal dari semasa ke semasa supaya tidak melunturkan minat generasi muda terhadap budaya tempatan. Anak muda hari ini terutama pelajar perlu diberikan kesedaran terhadap budaya tempatan yang memiliki nilai estetika tinggi, imaginatif, kritikal, inovatif serta kreatif.
“Keunikan budaya kita serta amalan bangsa dan adat resam etnik yang pelbagai dan berbeza-beza antaranya Melayu, Cina dan India, inilah yang seharusnya diangkat, diperkenal untuk dikagumkan menjadi ‘inilah budaya Malaysia’,” katanya.
Tegas beliau, pelajar perlu didedahkan dengan mengenalpasti kepelbagaian budaya untuk tidak jahil budaya mahupun menjadi kelompok yang etno-sentrik.
“Kaedah pengajaran yang responsif terhadap budaya diperlukan.
“Dengan cara ini secara tidak langsung pelajar akan dapat mempelajari, memahami dan menghormati sesebuah kesenian, adat budaya dan amalan kaum yang berbeza dalam bentuk yang komprehensif dalam konteks sejarah, bahantara mahupun simbol serta motif yang digunakan oleh kaum-kaum tertentu.
“Bukan hanya terpengaruh dengan budaya popular yang hanya menghanyutkan sebaliknya mengangkat budaya asal kita sendiri,” katanya.










