Kebanjiran ikan pemangsa termasuk baung ekor merah atau nama saintifiknya Phractos cephalus hemipterus yang semakin banyak berkeliaran dan membiak di Sungai Pahang satu ancaman serius terhadap ekosistem Sungai Pahang.
Penemuan spesies ikan berkepala buaya atau alligator gar oleh nelayan sungai Pahang Aminallah Salleh,44, dari Kampung Salong, Pekan baru-baru ini menambah ancaman survival ikan asli Sungai Pahang.
Katanya, pengalaman hampir 20 tahun sebagai nelayan sepenuh masa bertukar menyeramkan dengan penemuan alligator gar seberat empat kilogram (kg).
“Ia bukan pengalaman biasa. Saya ingatkan buaya. Ikan pemangsa itu boleh mencapai berat lebih 20 kg dan mengancam keselamatan nelayan sungai,” katanya.
Tambah mengerunkan sejak beberapa tahun kebelakangan muncul spesies monster yang boleh menjangkau ke saiz gergasi iaitu ikan baung ekor merah Asia (Phractos cephalus hemipterus) yang bersifat pemangsa dan memakan ikan tempatan.
“Tangkapan ikan sungai menggunakan pelbagai kaedah seperti pancing, jala, jaring dan taut kini lebih banyak tangkapan ikan baung ekor merah berbanding ikan tempatan,” katanya menguatkan hujah.
Alligator gar mempunyai gigi tajam dan panjang sangat tahan lasak dan mampu hidup tanpa air beberapa jam berbanding spesies lain.
“Ikan itu saya simpan dalam kolam batu di kedai makan milik saya di Kampung Baru Salong untuk tatapan orang ramai.
“Kemunculan pelbagai spesies ikan asing di Sungai Pahang sudah lama menjadi ancaman terhadap ekosistem sekali gus turut menjejaskan pendapatan nelayan sungai.
“Ini terbukti tangkapan ikan sungai Pahang bernilai tinggi seperti tamalian, patin muncung, kelah, jelawat, tenggalan dan lain-lain semakin sukar diperoleh,” katanya.
Spesies ikan asing berbahaya yang biasa dijumpai di perairan umum di negara ini ialah patin siam (Pangasianodon hypophthalmus), ikan bandaraya (Hypostomus plecostomus), peacock bass (Cichla spp) dan udang kara air tawar (Cherax spp dan Procambarus spp).
Berdasarkan rekod terdapat 282 spesies ikan asli yang hidup di perairan awam negara pada masa ini, manakala terdapat kira-kira 50 spesies ikan luar, masuk ke ekosistem semulajadi.
SUKAR CARI IKAN
Beberapa nelayan memberitahu, mereka tertanya-tanya bagaimana ikan pemangsa seperti baung ekor merah, seakan-akan menguasai Sungai Pahang dari Pekan hingga ke Lipis.
Seorang nelayan sungai dari Temerloh Shamsuddin Mahmud,42, dikenali Petir Dean mengakui spesies ikan air tawar Sungai Pahang semakin sukar diperoleh sejak beberapa tahun ini.
Katanya, ikan popular Sungai Pahang seperti tamalian, patin juara, jelawat, udang semakin kurang dengan ketara malah spesies ikan patin muncung dilaporkan tidak didaratkan sejak tahun 2015 lagi.
“Baung ekor merah membiak dengan cepat dipercayai sangkar ikan ekor merah milik pengusaha ikan sangkar rakyat Kemboja pecah akibat banjir.
“Spesies ikan sungai adalah anugerah Allah terhadap rakyat Pahang mencari rezeki kerana keenakannya menarik selera semua golongan,” katanya.
Beliau berharap Jabatan Perikanan Pahang mengambil langkah drastik dan bersepadu ‘menghapus’ atau mengawal pembiakan ikan pemangsa.
“Individu yang melepaskan spesies ikan asing ke dalam sungai Pahang juga wajar ditahan,” katanya memberikan pandangan.
Kaedah-Kaedah Perikanan (Perairan Sungai) Pahang 1991 antara lain memperuntukkan kompaun dan mendakwa pesalah berkiatan isu terbabit.
Petir turut memberitahu penemuan alligator gar, menambah parah ekosistem Sungai Pahang yang didiami pelbagai spesies ikan bernilai tinggi.
Mereka turut menggesa Jabatan Perikanan Pahang segera bertindak dan menyiasat bagaimana spesies ikan pemangsa ini begitu mudah membiak di Sungai Pahang yang didiami ratusan spesies ikan asli bernilai tinggi.
“Proaktiflah untuk ‘terjah ‘ pengusaha ikan sangkar yang kemungkinan ada menternak ikan pemangsa,” dakwanya kepada Utusan Malaysia.
Ambil tindakan
Nelayan sungai dari Kampung Mentenang, Maran Mat Piah Jusoh,64, berkata, ikan baung ekor merah dilihat menguasai perairan Sungai Pahang.
Tegasnya, fakta itu perlu diambil perhatian oleh pihak berwajib bagi mengawal kaedah pembiakan spesies itu menjadi ‘raja’ baharu Sungai Pahang.
Menurutnya baung ikan merah juga kian mudah diperoleh berbanding ikan asli sungai Pahang dan mendapat permintaan restoran Cina dengan harga RM30 sekilogram.
“Penduduk yang mencari enak di lereng pasir sungai sering digigit baung ekor merah iaitu ‘ancaman ‘baharu kepada nelayan sungai,” katanya.
Bagaimanapun Ketua kampung di Kampung Tanjung Buluh, Lipis Najib Abu,47, di sini memperoleh rezeki lumayan apabila menjual ikan baung ekor merah seberat 50 kg hasil tangkapan di Sungai Jelai berdekatan kampung itu dengan harga RM1,250.
“Baung ekor merah itu ditangkap menggunakan ‘taut’ yang mana tali pancingnya dipasang pada dahan pokok di tepi sungai tersebut dengan menggunakan umpan ikan keli hidup,” katanya berkongsi pengalaman.










